Sunday, May 9, 2010

Brickfields jadi Little India




Kawasan Brickfields secara rasmi akan diisytiharkan sebagai Little India bermula awal tahun depan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perbincangan khusus untuk projek itu sudah berada di tahap akhir dan menunggu beberapa prosedur untuk diluluskan.
Jelasnya, kepentingan Brickfields sebagai kawasan tumpuan orang India dilihat boleh menjana sumber pendapatan dalam sektor pelancongan sekali gus menguntungkan negara.
"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai Little India awal tahun depan. Kita mahu kawasan ini diiktiraf sebagai lokasi pelancongan dan tumpuan orang India.
"Perbincangan mengenai projek itu sudah di tahap akhir. Kita mahu ia dikomersialkan seperti Jalan Petaling yang menjadi China Town untuk orang Cina di ibu kota," katanya selepas membuat lawatan ke bazar Deepavali 1Malaysia di sini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan dan Pengerusi Persatuan Peniaga Brickfields, S. Barath.
Terdahulu, Nong Chik dan Saravanan meluangkan masa kira-kira sejam setengah melawat tapak bazar berkenaan yang menempatkan 428 gerai jualan pelbagai barang keperluan sempena Deepavali yang akan disambut esok.
Tambah Nong Chik, keperluan untuk menjadikan Brickfields sebagai Little India dilihat penting untuk kemajuan kawasan itu sendiri.
Tegasnya, struktur gerai di situ akan disusun semula dengan lebih teratur untuk kemudahan pelancong asing mahupun pengunjung tempatan sendiri.
"Kita jadikan pembangunan kawasan ini satu keutamaan. Kita tahu prospek kawasan ini dan tidak mahu ia dipinggirkan.
"Semua gerai yang menjual barangan tradisional orang India akan disusun semula supaya ia teratur dan peniaga sendiri boleh membuka gerai mereka untuk sepanjang tahun," ujarnya.
Sementara itu S. Barath berkata, kehadiran Nong Chik dan Saravanan sendiri ke kawasan itu disifatkan tanda keprihatinan kedua-dua Menteri terhadap pembangunan Brickfields.
Jelasnya, perhatian kerajaan terhadap masalah yang dihadapi peniaga di Brickfields dan cadangan untuk menaik taraf kawasan itu kepada Little India benar-benar dihargai.
"Kita berbangga kerana dua menteri datang dan melihat sendiri peniaga di sini. Ini membuktikan kita tidak pernah dipinggirkan.
"Pengumuman untuk menjadikan Brickfields Little India awal tahun depan benar-benar menggembirakan. Ia menjamin kawasan ini menjadi sebuah destinasi pelancongan yang pasti membawa keuntungan kepada semua pihak," ujarnya.

Jalan Alor yang menjijikkan




Lokasinya terletak di kawasan paling terkenal di ibu negara. Malah, kononnya terkenal ke serata dunia kerana keenakan makanan yang dijual di situ sehinggakan penduduk dan peniaga di situ membantah apabila pada awal tahun ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhasrat menukarkan namanya kepada nama Jalan Kejora yang lebih manis.
Jalan Alor sepanjang kira-kira 1.5 kilometer (km) itu tidak boleh dinafikan merupakan lokasi menarik untuk warga kota menjamu selera pada waktu malam.
Deretan kedai makan kebanyakannya milik bangsa Cina menawarkan menu popular yang menjadi kegemaran pelbagai bangsa untuk menjamu selera.
Namun pada siangnya, siapa tahu ia sebenarnya kotor dan menjadi sarang kediaman warga asing selain pusat judi Internet.
Lokasi di dalam segi tiga emas ibu kota itu sebenarnya terlalu memualkan jika dinilai dari aspek kebersihan.
Masakan tidak, kedudukannya yang terletak benar-benar bersebelahan dengan Jalan Bukit Bintang ‘tidak melayakkannya’ untuk berada di sana.
Bagaimana boleh sebatang jalan yang kotor dan menjadi lokasi tempat tinggal warga asing diletakkan bersebelahan dengan Jalan Bukit Bintang.
Di mana penguat kuasa yang memantau kebersihan, kehadiran warga asing serta pusat judi Internet yang dikerumuni ramai pada waktu siang?
Premis-premis di sini kelihatan terlalu kotor dan ia tidak termasuk kawasan rumah kedai tiga tingkat yang majoritinya didiami warga asing kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh.
Beberapa premis judi Internet kelihatan turut aktif beroperasi selain beberapa pasar raya mini yang dikendalikan pekerja warga asing.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan ini seolah-olah terletak di sebuah kawasan terpencil dan tidak melambangkan keindahan Kuala Lumpur sebagai sebuah kawasan pelancongan.
Rasa malu timbul apabila melihat pelancong asing yang menyusuri Jalan Alor selepas membeli-belah di Jalan Bukit Bintang.
Keadaan terlalu berbeza di Jalan Alor, seolah-olah langit dengan bumi. Sampah-sarap dibuang sesuka hati di hadapan kedai dan bau busuk dapat dihidu di mana-mana sahaja di sini.
A.Suresh, Yong Siang Hong
Tinjauan turut dilakukan di sebuah pasar raya mini yang menjual barangan harian termasuk keperluan basah serta makanan laut.
Kelihatan dua warga asing yang bekerja di sana hanya meletakkan barangan basah di atas rak kotor di belakang kedai dan menunggu kehadiran pelanggan.
Jijik dan geli melihat pekerja Bangladesh mengasingkan udang yang dijual di atas lantai.
Tinjauan diteruskan di sepanjang jalan dan mendapati banyak longgokan sampah di hadapan premis serta rumah kedai.
Melihat dinding kebanyakan bangunan di sana yang berlumut membuktikan tiada ‘penjagaan’ diberikan pihak berkenaan di sana.
Seorang pekerja swasta, A. Suresh, 28, berkata, situasi itu benar-benar membuatkan warga tempatan malu kepada pelancong asing yang mengunjungi Jalan Alor.
Jelasnya, pihak berkuasa seharusnya mengambil langkah untuk memastikan kawasan itu tidak jauh berbeza daripada Jalan Bukit Bintang.
“Kotor dan tidak tersusun. Kita boleh lihat sendiri sampah bertaburan, limpahan warga asing selain banyaknya kedai judi Internet di sini.
“Ia hanya Bukit Bintang tetapi Jalan Alor langsung tidak melambangkan ia berhampiran kawasan tarikan pelancong,” ujarnya.
Seorang pemandu teksi, Yong Siang Hang, 52, berkata, keadaan bobrok di Jalan Alor disifatkan semakin hari semakin serius.
Tegasnya, kelihatan ramai warga asing yang mendiami kawasan rumah kedai di situ namun tiada pemantauan pihak berkuasa.
Katanya lagi, tahap kebersihan di premis dan kaki lima di Jalan Alor juga menyedihkan lebih-lebih lagi ia merupakan lokasi strategik untuk warga kota menjamu selera pada waktu malam.
“Kotor dan kotor. Sana sini kotor. Longkang kotor dan kaki lima juga kotor.
“Kalau pada waktu siang kita akan nampak sampah namun ia sedikit tersembunyi pada waktu malam. Mungkin kerana banyak gerai dibuka dan ramai pengunjung di sini,” katanya.
Tambahnya, keadaan yang sedikit lengang pada waktu siang seharusnya digunakan pihak berkuasa berkenaan untuk membersihkan Jalan Alor.
Jelasnya, situasi itu sudah berlarutan sejak lama namun ia seolah-olah tidak diperhatikan pihak berkenaan.
“Jalan ini memang agak sesak pada waktu malam kerana ramai orang menjamu selera di sini namun agak sunyi pada siang hari. Pada waktu inilah pihak berkenaan perlu membersihkan Jalan Alor.
“Bersihkan jalan ini bukan hanya pada sampah tetapi juga warga asing yang kelihatan semakin ramai. Takut juga jika lama-kelamaan mereka ini menjadi penjenayah dan mengganggu ketenteraman pelancong asing pula,” ujarnya.

Daifnya apartmen Desa Tasik




Melangkah masuk ke kawasan apartmen empat blok di Desa Tasik Fasa 1A di sini, satu pertanyaan terus muncul di fikiran, apakah kediaman ini rumah tinggal atau baru dilanda ribut.
Masakan tidak, kawasan apartmen yang mengandungi 530 unit serta berusia kira-kira 13 tahun itu seolah-olah sudah ditinggalkan selama untuk satu tempoh yang panjang sehingga kelihatan begitu usang.


Kawasan yang letaknya di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu seolah-olah dianak tiri dan dibiarkan tanpa sebarang penjagaan.

Menurut penduduk di sana, alasan DBKL ialah penghuni berhutang caj perkhidmatan dan kerana itu, semua usaha penjagaan infrastruktur dihentikan atau diperlahankan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati cat bangunan itu bukan sahaja sudah pudar tetapi banyak bahagian yang sudah menjadi kehitam-hitaman akibat terjahan cuaca.

Yang pasti, bangunan itu tidak pernah dicat semula sehingga benar-benar mencacatkan pemandangan.

Lebih memburukkan keadaan, ada dinding yang sudah diliputi lumut dan bau busuk di tangga menjadikan kawasan itu benar-benar menyedihkan.

Pengalaman menaiki lif di keempat-empat blok itu boleh diumpama memasuki keranda buruk yang reput dan benar-benar menakutkan.

Salah sebuah daripada dua lif di setiap blok juga rosak sejak bulan Mei lalu dan tiada usaha membaikinya dibuat.

Ini bermakna sebahagian penghuni terpaksa memanjat atau menurun tangga sebanyak empat tingkat untuk menggunakan lif.

Hampir separuh daripada butang untuk menaiki lif pula sudah hilang dan apa yang tinggal hanyalah wayar yang mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang menyentuhnya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Desa tasik Fasa 1A, Tan Ban Seng menjelaskan, masalah itu sudah lama diadu kepada DBKL namun sehingga kini tiada tindakan drastik diambil.

Tegasnya, infrastruktur buruk serta tidak diselenggara oleh pihak pengurusan menampakkan kelemahan mereka walaupun penghuni diminta membayar caj pengurusan kira-kira RM70 sebulan.

"Kita sudah mengadu dan meminta DBKL membetulkan pelbagai kerosakan di sini. Namun sedihnya mereka memberi alasan ada penduduk yang tidak membayar caj pengurusan.

"Ini tanggungjawab DBKL. Jika mereka tidak mahu menjaga kawasan ini siapa lagi yang perlu kami adu?," katanya yang mendiami kawasan itu sejak ia dibuka.

Tambahnya, pihak persatuan penduduk berhasrta mahu membawa perkara itu ke pengetahuan Menteri Wilayah Persekutuan seandainya tiada tindakan susulan segera daripada DBKL.

"Kita akan berjumpa menteri dan jika boleh Perdana Menteri untuk meminta pembelaan. Apa yang terjadi hari ini terlalu teruk dan kita seolah-olah dibiarkan," ujarnya.

Seorang penduduk, G. Jivarattinam, 48, berkata, masalah lif rosak yang tidak pernah selesai sudah dihadapinya sejak hari pertama dia mendiami kawasan itu lapan tahun dahulu.

Jelasnya, selain lif, dinding yang tidak dicat serta ketiadaan lampu di tangga menambahkan lagi kepayahan penduduk.

"Tengok sendiri lif di sini. Menakutkan, gelap dan kerap rosak. Mana DBKL yang seharusnya menyelesaikan pelbagai masalah kami? Ini benar-benar menyusahkan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Agus Norman Abd. Rahman, 35, menjelaskan, selain lif, penguatkuasaan keselamatan yang terlalu lemah menjadikan banyak kes kecurian berlaku di situ.

Namun, katanya, langkah persatuan penduduk mengupah syarikat keselamatan lain membawa sedikit perubahan dari segi keselamatan kawasan.

"Jumlah kes kecurian yang terlalu tinggi dahulu, kini berkurangan selepas kami menukar syarikat pengawal keselamatan.

"Kita minta DBKL menghentikan perkhidmatan pengawal keselamatan lama dan mengurangkan caj pengurusan mereka," katanya.

Katanya, keadaan di apartmen itu benar-benar menyedihkan dan penduduk kini terpaksa berhadapan dengan risiko setiap hari.

"Paling ketara lif yang ketiadaan panel serta sistem kebakaran yang tidak sempurna pasti mengundang kesusahan jika sebarang kecemasan berlaku," katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ben, 35, berkata, isu kelemahan DBKL dan pelbagai kecacatan di apartmen mereka menjatuhkan nilai kawasan perumahan itu.

"Semasa beli dahulu harganya mencecah RM100,000 namun jika dijual kini pasti turun nilainya.

"Siapa hendak beli rumah yang buruk dan terpaksa berhadapan masalah lif setiap kali balik kerja?," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Ridhuan Abdullah, 52, berkata, penduduk di sana sudah lali dengan masalah itu dan bosan dengan tindakan lambat DBKL.

Katanya, sikap DBKL yang melengah-lengahkan kerja akan menjadikan penduduk di situ memandang negatif kepada pihak berkuasa tempatan itu.

"Kita sudah tidak tahan dengan kelembapan DBKL bekerja dan memastikan penduduk di sini mendapat keselesaan yang wajib diberi mereka.

"Kenapa kami diabaikan? DBKL seharusnya bertindak segera sebelum kemarahan persatuan penduduk di sini benar-benar memuncak," jelasnya.

Pendatang kuasai City One




Kebanjiran warga asing di negara ini sudah lama menjadi isu dan dibincangkan dari semasa ke semasa. Namun, di sebalik kepekaan kita terhadap kebanjiran orang luar itu, jumlah mereka tidak pernah berkurangan.

Warga kota juga sudah terlalu lali dengan mereka sehingga sudah tidak peduli dengan kehadiran golongan itu selagi mereka tidak mengganggu.

Malah, beberapa kawasan di ibu kota seperti Chow Kit, sudah dianggap sebagai lubuk warga asing sehingga warga tempatan pula terasa asing jika berada di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu negara baru-baru ini mendapati warga asing kini mempunyai kawasan baru untuk berkumpul.

Lebih memeranjatkan, bukan sahaja warga Indonesia atau Bangladesh sahaja memenuhi kawasan itu tetapi warga asing dari negara-negara lain.

Ini termasuklah warga Filipina, Pakistan, Nepal, India, China, Vietnam, Myanmar dan negara-negara Afrika.

Kawasannya ialah di Plaza City One, yang terletak bersebelahan dengan Semua House di Jalan Masjid India.

Plaza itu pada asalnya dibangunkan sebagai salah satu pangsapuri mewah di tengah bandar raya tetapi sudah bertukar menjadi kawasan tumpuan warga asing.

Mungkin lokasinya di kawasan yang sesak dan tidak eksklusif menjadikan pemilik plaza itu tidak berminat untuk tinggal di kawasan tersebut.

Tinjauan mendapati tingkat bawah plaza yang memuatkan kedai-kedai perniagaan barangan harian itu merupakan kediaman utama warga asing yang bekerja di ibu kota.

Kediaman ala kondominium lebih 30 tingkat di situ difahamkan didiami lebih 80 peratus warga asing dan menjadi lokasi pertemuan mereka pada waktu malam.

Lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar dilihat menjadi tempat paling mudah untuk ke mana-mana, selain menjadi 'lambang' kemewahan warga asing itu sendiri.

Tinjauan turut mendapati majoriti premis yang menjalankan perniagaan di sana turut dikuasai warga asing selain pemandangan di lobi plaza yang tidak menggambarkan langsung suasana ibu kota.

Kira-kira 70 peratus daripada pekerja di premis itu merupakan warga asing dan ia dianggap sebagai satu kemudahan serta kelebihan kepada 'penduduk' di situ.

Lebih malang, pengawal keselamatan yang menjaga plaza itu juga merupakan warga asing dan tidak faham bahasa Malaysia, selain beberapa patah perkataan bahasa Inggeris.

Seorang pekerja syarikat swasta, Micheal, 39, menjelaskan, kebanjiran warga asing di situ merupakan masalah besar yang perlu diawasi.

Katanya, banyak kes ragut yang difahamkan dilakukan warga asing di kawasan itu.

"Saya pernah nampak kes ragut oleh warga asing yang mengambil beg tangan seorang wanita.
Kita tidak mahu perkara itu berulang.

"Kita minta ada pihak berkuasa yang memerhatikan warga asing di sini. Lihat sendiri kawasan ini seperti sudah menjadi kampung mereka," jelasnya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Hafzan Mohd. Bahari, 24, berkata, kebanjiran warga asing merupakan lumrah kepada warga kota termasuk di kawasan Plaza City One.

Tegasnya, kehadiran mereka sudah dianggap perkara biasa dan mereka hanya akan jadi perhatian jika berlaku kejadian jenayah membabitkan golongan itu.

"Jangan mereka buat jenayah dan pastikan kehadiran mereka adalah sah. Kita minta pihak berkenaan selalu memantau dan memeriksa mereka," ujarnya.

Lain pula halnya dengan seorang pembantu peribadi, Melati Roosly, 31, yang berpendapat kehadiran mereka akan meningkatkan hasil jualan peniaga di situ.

Katanya, perkembangan itu dilihat amat baik dan dapat meningkatkan keuntungan kepada peniaga tempatan selain membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada mereka.

Namun, katanya, kehadiran warga asing berkenaan juga perlu sah dan tidak menimbulkan masalah kepada warga tempatan.

"Kehadiran ramai warga asing ini baik sebenarnya kerana ia dapat menjana ekonomi kepada peniaga di sini dan ibu kota secara keseluruhannya.

"Tetapi jangan pula mereka ini melakukan jenayah dan kemasukan mereka di sini juga perlu sah selain pemantauan kerap daripada pihak berkuasa," katanya.

Kafe judi terus berleluasa




Isu kafe siber dijadikan pusat judi bukan sesuatu yang baru. Ia telah kerap dilaporkan oleh media dan pelbagai peraturan turut diperkenalkan untuk membanterasnya.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangat pengusaha premis untuk terus menawarkan perkhidmatan tersebut kerana ia membawa pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.
Malah, di Seksyen 3 Taman Kinrara di sini, pengusahanya 'mengubah suai' sedikit taktik mereka dengan meletakkan papan tanda kedai makan dan pusat snuker bagi mengabui kegiatan judi haram yang dijalankan.
Tinjauan mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga premis seperti itu di kawasan tersebut.
Penduduk di kawasan mempersoalkan bagaimana premis itu boleh beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan untuk satu tempoh yang agak panjang.
"Di mana pegawai yang seharusnya membuat pemeriksaan lesen atau hal berkaitan sehingga boleh menyebabkan lebih daripada tiga premis perjudian itu terus beroperasi," tanya mereka.
Kawasan yang agak tersembunyi daripada orang ramai itu boleh diibaratkan menjadi syurga bagi 'kaki judi' yang sanggup menghabiskan wang dan masa seharian di situ.
Tinjauan Utusan Malaysia yang memperoleh maklumat daripada pembaca baru-baru ini mendapati premis judi itu 'hidup' dengan purata kira-kira lapan orang berada di dalam sesebuah premis pada satu-satu masa.
Kedai yang menggunakan cermin gelap sepenuhnya itu kelihatan agak 'eksklusif' walaupun penjaga setiap kedai itu hanyalah pekerja warga Bangladesh atau Indonesia.
Penulis dan jurugambar yang berjaya memasuki sebuah premis berkenaan mendapati setiap komputer yang diubah suai menyediakan permainan judi berlainan.
Permainan roulette, slot games, black jack, baccarat dan jackpot menjadi pilihan setiap pengunjung untuk 'melabur' wang mereka di situ.
Kelihatan juga beberapa pengunjung yang bermain judi sambil meneguk minuman keras.
Melihatkan penjaga premis judi itu melemparkan renungan sinis, penulis dan jurugambar memutuskan untuk keluar daripada kedai berkenaan.
Seorang penduduk di situ, Novarica C. Thoblan, 26, menjelaskan, isu kafe siber yang ditukar menjadi kedai judi bukan perkara baru di kawasan itu.
Jelasnya, pihak penguat kuasa ada datang membuat rondaan serta operasi sita namun tindakan itu tidak mampu melumpuhkan operasi premis tersebut.
"Pengusaha ini seperti kebal dan boleh membuka kedai lain selepas sehari kedainya diserbu penguat kuasa.
"Pertambahan kedai begini memungkinkan masalah sosial meningkat. Bayangkan sendiri apa yang tahi judi boleh lakukan jika kesempitan wang," ujarnya.
Seorang guru memandu, Vincent Chong, 52, berkata, kewujudan premis judi itu menimbulkan kebimbangan penduduk dan orang ramai.
"Orang ramai akan takut. Apabila lebih ramai kaki judi wujud, akan menyebabkan kes curi meningkat, konsepnya tidak banyak beza dengan penagih.
"Kita juga mempersoalkan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan di sini. Mengapa kelihatan terlalu longgar sehingga empat atau lima premis begini wujud di kawasan yang sama," jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Hishamudin Mat Seden, 34, menjelaskan, kewujudan premis judi itu sebenarnya sudah lama dipertikaikan.
"Apa tiada penguat kuasa yang membuat rondaan di sini? Kita hanya mahu kawasan ini dibersihkan daripada judi, itu sahaja.
"Jangan sampai menjadi pusat jenayah pula sehingga menakutkan masyarakat untuk berbelanja di kedai runcit berdekatan," ujarnya.
Dalam pada itu, penduduk yang juga kakitangan kerajaan, Salina Maslan, 42, berkata, pemilik pusat internet itu mungkin telah menyalahgunakan lesen yang diperoleh.
Tegasnya, pemeriksaan bersepadu perlu dijalankan dengan lebih kerap untuk memastikan operasinya dihentikan segera.
"Nampak susah sebab kedai sebegini sudah merebak hampir ke seluruh negeri. Mereka boleh menyediakan dan menutup kedai dalam masa yang singkat.
"Penguat kuasa perlu selalu ada, lesen mesti selalu diperiksa dan jangan 'takut' untuk menyita mana-mana peniaga kafe siber yang menawarkan permainan judi," katanya.

Syurga penyeluk saku



Setiap kali menjelang musim perayaan, perhentian bas merupakan antara tempat yang paling sibuk dengan warga kota.
Di ibu negara, selain Hentian Puduraya, Hentian Putra dan beberapa hentian bas sementara, Hentian Pekeliling di Jalan Tun Razak juga tidak kurang sibuknya.
Namun, hentian bas itu agak kurang 'popular' berbanding hentian lain, mungkin kerana ia hanya menyediakan perkhidmatan bas ke kawasan tengah negeri Pahang.
Bagaimanapun, faktor tidak popular itu tidak menjadikan hentian itu selamat daripada sasaran penjenayah, malah ia dikatakan syurga penyeluk saku kerana kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa.
Dalam keadaan berebut-rebut untuk menaiki bas, penjenayah terbabit akan mengambil kesempatan untuk melakukan tugasan mereka.
Utusan Malaysia menerima banyak aduan mengenai 'projek' seluk saku yang difahamkan dilakukan oleh penagih dadah.
Ada juga aduan yang memberitahu, kumpulan penyeluk saku itu terdiri daripada warga asing yang 'menyamar' menaiki bas, malah menolak-nolak penumpang lain bagi mewujudkan suasana kelam-kabut bagi membolehkan mereka menjalankan kerja mereka tanpa disedari.
Ini bermakna penumpang di sana tidak lagi selamat sepenuhnya dan perlu meningkatkan tahap keselamatan diri dan barangan mereka semasa menaiki bas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tahap keselamatan penumpang bas di hentian itu memang terdedah kepada kejadian seluk saku.
'Prosedur' menaiki bas yang lebih kepada konsep berebut-rebut menyumbang kepada peningkatan kes seluk saku.
Malah, penyeluk saku di kawasan itu dikatakan membawa pisau kecil untuk memotong bahagian tepi beg mangsanya terutama beg berzip yang menghalang mereka memasukkan tangan.
Seorang pelajar universiti, Rosli Mohd. Nor, 22, menjelaskan, tahap keselamatan penumpang di Hentian Pekeliling dilihat terlalu rendah dan seolah-olah tidak sistematik.
Katanya, kes-kes seluk saku kerap didengar di sini namun dia bersyukur kerana tidak pernah mengalaminya sehingga ke hari ini.
"Tengok sendiri penumpang yang ingin menaiki bas, mereka berebut-rebut. Ini memberi kelebihan kepada penyeluk saku untuk mencuri. Rempuhan menyebabkan kita tidak sedar jika dompet kita sudah dicuri," ujarnya.
Seorang pelajar kolej, Nurul Asikin Abd. Latif, 18, berkata, pihak berkuasa perlu mengadakan rondaan atau menempatkan beberapa pengawal keselamatan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.
Jelasnya, sepanjang pemerhatian, dia tidak nampak ada pengawal keselamatan meronda hentian itu.
"Mungkin jika ada rondaan yang kerap, penyeluk saku ini akan takut untuk mencuri," katanya.
Seorang penuntut politeknik, Saiful Bukhari Hanafi, 18, berkata, pengusaha bas perlu menguatkuasakan sistem beratur kepada setiap penumpang untuk menaiki bas.
"Cara berebut-rebut bukan sahaja tidak praktikal dan tidak bertamadun tetapi mendorong kepada kegiatan jenayah.
"Sediakan satu laluan khas untuk penumpang ini beratur sebelum menaiki bas supaya orang tua, golongan wanita dan kanak-kanak selesa menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Selain itu, katanya, para penumpang juga perlu prihatin terhadap barangan peribadi mereka dengan memastikan ia sentiasa di dalam jagaan mereka.
Tambahnya, pengusaha bas dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bekerjasama untuk menyediakan sistem menaiki bas yang lebih teratur.
Seorang pekerja swasta, Rajen Thiron, 37, menasihatkan orang ramai supaya meletakkan barangan berharga di dalam seluar.
Katanya, cara itu dilihat paling selamat dan dia yang mengamalkan perkara itu tidak pernah menjadi mangsa penyeluk saku.


'Kita sudah jadi kaum minoriti'




Di satu kawasan di Bandar Sultan Sulaiman di sini, terdapat sebuah kawasan perumahan yang istimewa dan keistimewaan itu ialah sebahagian besar kawasan itu kini didiami oleh warga Bangladesh yang bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.
Tinjauan mendapati 90 peratus daripada penghuni di 10 buah blok di situ didiami oleh warga Bangladesh manakala bakinya warga Indonesia dan sekumpulan kecil warga tempatan.
Kebanyakan mereka dilihat menaiki basikal dan hanya mengambil masa sekitar 15 minit untuk sampai ke tempat kerja mereka.
Yang menariknya, apabila rakyat tempatan memasuki kawasan itu, mereka pula terasa seperti warga asing dan apa yang dibimbangi ialah ada mata yang mengikuti pergerakan serta tindak-tanduk jika ada orang luar masuk ke situ.
Situasi itu sebenarnya menimbulkan kerisauan beberapa penduduk di sana yang merasakan pemantauan kerap daripada pihak berkuasa termasuk pihak polis sebagai sangat perlu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan itu kini benar-benar 'dikuasai' oleh warga bangladesh yang menjadikan kawasan itu sebagai negara mini mereka.
Malah, tidak keterlaluan kalau nama kawasan perumahan itu layak dipanggil Taman Sri Bangla.
Kawasan ini seperti sudah menjadi tanah jajahan mereka dan ini terbukti apabila beberapa premis dilihat menggunakan tulisan bahasa Bangladesh pada ruang iklan di kebanyakan kedai.
Semasa tinjauan dilakukan, kami telah diekori oleh kira-kira 10 warga Bangladesh yang seakan-akan sangsi dan tidak puas hati dengan kehadiran kami.
Mujurlah, mereka tidak mengganggu dan beredar selepas kami berjaya mencari 'perlindungan' di sebuah premis milik rakyat tempatan.
Seorang penduduk di situ, Normah Abdullah, 50, berkata, situasi itu sebenarnya sudah menjadi lumrah kepada mereka sejak 10 tahun yang lalu.
Jelasnya, keadaan itu nampak lebih ketara sejak tiga empat tahun kebelakangan ini dan melihat masalah itu sebagai membimbangkan jika tiada pemantauan daripada pihak berkuasa.
"Kami yang tinggal di sini sudah biasa. Mereka kerap berkumpul di bawah flat dan bergelak ketawa sesama sendiri.
"Memang ada yang mengganggu ketenteraman dengan membuat bising tetapi apa daya, kita hanya minoriti di sini," ujarnya.
Kata Normah lagi, warga Bangladesh yang mendiami kawasan itu disifatkan menakutkan lebih-lebih lagi ada aduan daripada penduduk setempat yang mereka mengganggu anak gadis di situ.
"Kita sudah jadi kaum minoriti di sini. Kita sentiasa berhati-hati takut-takut ada yang mengganggu.
"Mereka akan mula memenuhi kawasan kedai makan di sekitar sini pada waktu malam dan menjadikan sepanjang jalan di hadapan ini seperti medan selera," katanya.
Seorang lagi penduduk, Fauziah Asli , 47, menyifatkan kehadiran 'beribu-ribu' warga Bangladesh di kawasan mereka benar-benar menjadikan keluarganya bimbang.
"Mereka selalu bergaduh sesama sendiri. Kita minta sangat ada pihak berkuasa berkenaan yang memantau mereka ini.
"Takut juga kalau mereka bertindak melampau dan mencuri barangan kami," katanya.
Katanya lagi, penduduk tempatan di sini juga sudah biasa melihat mereka berkumpul dan berbuat bising seolah-olah kawasan ini adalah negara mereka sendiri.
"Biasanya mereka melepak di bawah pokok pada setiap petang selepas habis kerja. Mereka datang secara berbasikal dan akan minum di kedai sekitar sini.
"Mereka akan berada sehingga selewat 1 pagi setiap hari. Kebanyakan kedai di sini juga mengambil warga Bangladesh sebagai pekerja," ujarnya.
Seorang peniaga tempatan, Dedi Bujang, 37, berkata, kebanjiran warga Bangladesh di kawasan itu benar-benar mengurangkan keuntungan jualan harian makanannya.
Jelasnya, masyarakat tempatan seolah-olah tidak berani untuk ke premis makanannya dan sanggup beralih ke kedai yang lebih jauh untuk menjamu selera.
"Orang tempatan mungkin takut dengan kehadiran ramai warga Bangladesh di sini. Mereka mungkin rasa tidak selesa dan memilih untuk mencari kedai makan lain.
"Situasi itu menjadikan saya mengalami kerugian. Jika untung pun tidak banyak dan sekadar lepas kos harian sahaja," katanya.
Sementara seorang suri rumah yang mahu dikenali dengan nama Che Mah, menjelaskan, warga Bangladesh yang mendiami kawasan flat berhampiran lebih banyak dilihat merosakkan kawasan berkenaan.
Katanya, warga Bangladesh berkenaan tidak segan silu untuk membuat kotor dan ada yang memotong pagar semata-mata sebagai jalan pintas ke rumah mereka.
"Tengok sendiri gelagat mereka yang memotong pagar untuk ke rumah, itu belum dikira sampah yang dicampak di tangga serta kain baju yang disidai sesuka hati di mana-mana.
"Apalah hendak jadi di sini. Rasanya warga Bangladesh di sini memang hendak masyarakat tempatan mengosongkan kawasan ini dan merealisasikan impian mewujudkan 'Taman Sri Bangla' mereka," ujarnya.