Thursday, November 12, 2009

Pasar Seni - Cermin Kebudayaan Negara


Sejak bangunan ini memulakan operasi sebagai sebuah pasar basah kira-kira 121 tahun lalu, realitinya Pasar Seni tidak pernah lesu dan lengang daripada menjadi tumpuan masyarakat.

Saya terbuka hati untuk mengunjungi semula bangunan indah yang mencatat tahun penubuhan 1888 dan menjadi pusat menjual pelbagai produk segar pada masa itu, menyedari kini telah mengalami banyak perubahan.

Namun perubahan menuju sebuah lokasi budaya dan pusat festival sejak awal 1980-an benar-benar memberikan Pasar Seni, satu evolusi baru terhadap produk pelancongan negara.

Katakan apa sahaja budaya tradisi di 14 negeri dalam Malaysia,semuanya ada di sini, lebih tepat lagi Pasar Seni merupakan cermin kepada pelbagai budaya, kesenian dan kraftangan tempatan.

Dibuka secara rasmi pada 15 April 1986, Pasar Seni mengekalkan struktur bangunan asalnya walaupun sudah menjadi sebuah pusat seni dan kebudayaan.

Bayangkan sebuah pasar basah satu ketika dahulu kini menjadi sebuah pusat pelancongan paling menarik di ibukota.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kunjungan pelancong ke negara ini tidak akan lengkap tanpa berkunjung ke Pasar Seni.

Terletak di sepanjang Jalan Hang Kasturi dan beberapa minit berjalan kaki dari Jalan Petaling, bangunan keramat itu juga dilihat jantung kepada Kuala Lumpur.

Lokasinya mudah untuk dikunjungi. Bertanyalah kepada siapa sahaja warga Kuala Lumpur, pasti mereka boleh menunjukkan jalan ke Pasar Seni.

Tiada hairanlah jika ramai yang menjadikan Pasar Seni sebagai titik pertemuan untuk bertemu rakan-rakan sebelum ke tempat lain.

Selain menggunakan sistem transit aliran ringan (LRT), pelbagai perkhidmatan bas juga boleh digunakan untuk ke Pasar Seni.

Malah, semasa bas mini beroperasi di ibu negara suatu ketika dahulu,semua perkhidmatan bas tersebut pasti melalui Pasar Seni atau lebih terkenal dengan nama CM (Central Market) di kalangan konduktor bas mini.

Ketika melangkah masuk ke Pasar Seni, pengunjung akan dapat merasakan suasana harmoni yang meliputi budaya tiga etnik terbesar di negara ini.

Konsep Melayu, Cina dan India yang diilhamkan sebagai tema di setiap sudut Pasar Seni cukup menjadi bukti bangunan itu sebenarnya lambang kepada keharmonian dan seni budaya negara.

Selain itu, pengumuman Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) baru-baru ini yang mahu menjadikan Pasar Seni sebagai pusat kesenian setempat dalam menyemarakkan seni dan budaya juga disifatkan langkah membangun dan memartabatkan lagi kebudayaan dan kesenian ke tahap yang lebih tinggi.

Kehadiran kira-kira 13,000 pengunjung pada hari biasa dan mencecah sehingga 18,000 orang pada hari minggu membuktikan Pasar Seni sememangnya mempunyai tarikan tersendiri.

Jumlah itu merangkumi 40 peratus pelancong asing dan selebihnya rakyat tempatan.

Sempat saya bertemu beberapa pelancong dan salah seorang adalah pelancong dari New Zealand, Andrew Bradi yang berkata, Pasar Seni merupakan salah satu lokasi yang wajib dikunjungi di negara ini.

Sambil mengaku sudah melawat Malaysia sebanyak empat kali, Bradi menjelaskan, Pasar Seni sudah melalui banyak perubahan yang menarik.

"Saya mesti ke sini untuk mencari cenderamata. Pasar Seni menghimpunkan semua budaya yang terdapat di negara ini.

"Saya sudah melancong sehingga ke Sabah dan mendapati setiap produk budaya di negeri-negeri itu boleh diperoleh di sini," ujarnya.

Katanya lagi, Pasar Seni juga menjadi bualan kawan-kawan di negaranya sebagai satu tempat tumpuan selain Menara Kuala Lumpur dan KLCC.


Bangunan Pusat Seni dibinapada 1888 dan menjadi pusat menjual pelbagai produk segar pada masaitu, kini telah mengalami banyak perubahan.


"Saya rasa Pasar Seni sudah lengkap dengan segala-galanya. Ia menggambarkan Malaysia dari setiap aspek.

"Harga barangannya juga berpatutan jika hendak dibandingkan dengan tempat asal cenderamata itu sendiri. Sebagai contoh saya dapat membeli kain batik Kelantan dengan harga yang tidak jauh beza jika dibeli disana," katanya.

Perjalanan diteruskan dengan bertemu pula dengan seorang lagi pelancong dari New Zealand, Norma menjelaskan,pembahagian tiga lorong iaitu Lorong Melayu, Selat Cina dan Little India dilihat sebagai keunikan bagi menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan masyarakatnya berbilang kaum.

"Ini (pembahagian kepada tiga lorong) usaha yang menunjukkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara yang mewakili pelbagai bangsa," jelasnya.

Pelancong Kanada, Ted Fromson pula berkata, perasaannya teruja apabila pertama kali melawat Pasar Seni kerana sebelum ini hanya membaca sahaja tentangnya.

"Saya membaca mengenai Pasar Seni di beberapa laman web dan mendapati realitinya jauh lebih cantik daripada gambar di Internet.

"Menarik dan saya akan datang lagi ke sini jika ke Malaysia satu hari nanti," katanya.

Isterinya, Jill turut mengakui kecantikan Pasar Seni dan sempat 'memborong' cenderamata kenangan untuk kawan-kawan di negaranya.

"Saya sudah mengelilingi Malaysia dan merumuskan Pasar Seni sememangnya menjadi cermin kepada negara ini.

"Katakan apa sahaja dari makanan atau pakaian etnik negara ini, semuanya ada di Pasar Seni," ujarnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Pasar Seni dan aktiviti berkaitan boleh melayari www.centralmarket.com.my, menghubungi talian 1300-22-8688 atau faks 03-2032 2399.

2 comments:

  1. lama betul tak ke CM, dulu tempat dating sekarang pun rasanya sama sahaja untuk orang muda...memang sesuai CM ni jadi lokasi utama pelancongan KL, dah la dekat Petaling Street...pelancong mesti suka punya

    ReplyDelete
  2. mmm...teringat kenangan blind date dengan xbf2..mula datang KL ni...tempat yang paling glamor untuk bertemu kekasih2 hati...

    ReplyDelete