Sunday, March 28, 2010

PPR, PA Lubuk Nyamuk Aedes




Awas penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA). Tempat tinggal anda dikenal pasti sebagai lokasi panas kes denggi di ibu negara.

PPR yang terlibat ialah Taman Mulia, Desa Tun Razak dan Kampung Limau manakala PA yang turut dikenal pasti ialah Sri Selangor, Sri Melaka, Taman Setapak Jaya, Keramat Wangsa (Kelompok Kuang, Teratai, Menara Merak Kayangan), Bandar Baru Sentul (Menara Orkid) dan Kuarters Pos Jalan San Peng.

Perumahan yang berada dalam kategori lokasi panas itu dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sewaktu merasmikan program bebas denggi sempena kempen kebersihan di Sentul Pasar di sini semalam.

Turut hadir timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) DBKL, Datuk Amin Nordin Abd. Aziz.

Menurut Nong Chik, sebanyak 4,472 kes dengan lapan kematian dicatat sepanjang tahun lepas dan 376 daripadanya merupakan positif denggi.

“Sehingga 13 Mac tahun ini sahaja, sebanyak 1,039 kes suspek denggi dilaporkan, dengan satu kematian manakala 472 daripadanya positif,” ujarnya.

Katanya lagi, kesedaran penduduk terutama di PPR dilihat masih rendah dan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mewajibkan kursus kesedaran dan pendidikan berkaitan kebersihan pada masa hadapan.

“Buat masa sekarang kami mahu meningkatkan tahap kesedaran terhadap kebersihan kepada penduduk PPR khasnya dan yang lain juga amnya.

“Kami tidak mahu lokasi PPR menjadi tempat panas denggi yang akan menyebabkan orang ramai mempunyai pandangan negatif terhadapnya,” katanya.

Sehubungan itu jelasnya, program kursus itu akan diadakan untuk membolehkan wakil penduduk atau wakil persatuan sesebuah kawasan perumahan mencari jalan terbaik dalam menyediakan persekitaran yang bersih di kawasan masing-masing.

“Sebab itu kita masukkan program pendidikan kebersihan dalam PPR atau PA.

“Kami mahu membantu menjadikan kawasan perumahan mereka bersih. Menerusi kursus seperti ini, mereka akan mempunyai kesedaran tentang menjaga kebersihan.

“Tidak ada gunanya peruntukan yang besar diberikan kerajaan kalau rakyat sendiri tidak main peranan menjaga kebersihan.

“Sebab itu kita mahu penduduk sendiri sedar untuk menjaga kebersihan. Kerajaan sudah berhabis banyak untuk isu ini dan ia memerlukan kerjasama dua pihak untuk memastikan kejayaannya,” tegasnya.

Lif, Lampu Kaki Lima Bermasalah Di Flora Damansara




Setiap hari, penduduk terpaksa membuang masa antara 15 hingga 30 minit semata-mata menunggu lif untuk turun. Semuanya kerana lif yang disediakan tidak mencukupi berikutan setiap hari ada sahaja lif yang tidak berfungsi.

Itulah luahan penduduk di dua blok apartmen kos rendah 24 tingkat di Flora Damansara dekat sini.

Daripada empat lif yang ada di setiap blok, pasti ada yang rosak.

Berikutan keadaan itu, ada penduduk di sini yang mengambil keputusan keluar rumah seawal pukul 5.30 pagi untuk mengelak daripada terlewat sampai di tempat kerja.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aduan yang diterima daripada penduduk terbabit memang benar-benar berlaku.

Selain lif, tinjauan turut mendapati lampu di kaki lima blok tersebut juga kebanyakannya tidak menyala.

Seorang penduduk, Norianti Mohammad, 28, berkata, masalah kerosakan lif sudah menjadi isu yang biasa kepada mereka di apartmen itu.

Jelasnya, penduduk juga sudah lali walaupun mengakui tertekan kerana terpaksa menghabiskan masa yang agak lama untuk menunggu lif.

“Kalau semua lif berfungsi, rasanya masa menunggu boleh disingkatkan. Ini tidak, kerosakan lif tidak dibaiki untuk masa yang lama.

“Kita mahu pengurusan memberi penjelasan, bukannya kita tidak membayar caj pengurusan tetapi mengapa ini yang kami dapat,” ujarnya.

Katanya lagi, masalah lampu yang tidak dibaiki terutama di kaki lima juga turut menyedihkan penduduk di situ.

“Masalah akan timbul apabila malam. Kita takut ada penjenayah atau orang membuat perkara tidak senonoh di kawasan kediaman kami ini.

“Kita harap pengurusan dapat memantau setiap aduan yang dikemukakan dan tidak menganggap masalah lampu sebagai isu kecil kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada penduduk,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Ayub Ahmad, 29, berkata, dia terpaksa keluar rumah sekurang-kurangnya satu jam lebih awal sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja.

“Sudahlah terpaksa menempuh kesesakan jalan raya, masalah kelewatan lif menambahkan lagi kelewatan setiap penduduk di sini.

“Dengan jumlah lif yang tidak cukup dan akan berhenti di setiap tingkat, untuk sampai ke bawah pasti mengambil masa yang agak lama.

“Masalah ini boleh dikurangkan jika semua keempat-empat lif berfungsi,” ujarnya.

Katanya lagi, penduduk di situ sebenarnya selalu mengadukan masalah itu dan juga masalah lampu di kaki lima kepada pihak pengurusan tetapi ia masih tidak dapat diselesaikan.

“Mungkin kos membaiki lif agak tinggi, namun mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk menukar mentol lampu kaki lima?

“Rasanya kos menggantikan lampu tidaklah terlalu tinggi dan mereka sewajarnya melakukannya dalam masa yang singkat,’’ jelasnya.

Seorang penduduk yang juga pelajar, Ezzy Abd. Shukri, 20, berkata, penduduk sudah banyak kali mengadu kepada pengurusan mengenai kerosakan lif.

Tegasnya, penduduk juga sudah muak untuk membuat aduan kerosakan lif kerana tahu pengurusan benar-benar ‘lambat’ untuk membaikinya.

“Biasa sangat lif ini rosak, ada empat lif dan sekurang-kurangnya satu atau dua lif mesti rosak.

“Rasanya penduduk di sini juga sudah banyak kali membuat aduan namun entahlah, seperti tidak ada sebarang kerja pembaikan dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flora Damansara menjelaskan, isu lif itu memang diketahui oleh pihaknya.

Dia yang enggan dikenali berkata, punca pihak JMB gagal membaiki segera kerosakan lif adalah penduduk sendiri.

“Hutang caj pengurusan penduduk di sini sebenarnya sudah mencecah RM500,000 dan setiap masalah yang diadu boleh diselesaikan dengan syarat setiap penduduk membayar caj pengurusan bulanan.

Angka itu merupakan jumlah hutang pada November lalu dan ia pastinya akan meningkat jika penduduk masih mengabaikan tanggungjawab mereka.

“Bagaimana pihak pengurusan hendak membaiki lif di sini jika hutang penduduk di sini sudah hampir setengah juta?

“Bukannya kami tidak menerima aduan penduduk tetapi kami tidak boleh bertindak jika tidak ada duit. Kita mahu penduduk bekerjasama dan membayar caj pengurusan setiap bulan,” katanya.

Difahamkan, sehingga hari ini, hanya kira-kira 70 peratus penduduk sahaja membayar caj pengurusan sebanyak RM33 sebulan.

Oleh itu, katanya, semua masalah itu akan selesai jika setiap 1,200 keluarga di dua blok di situ mempunyai kesedaran untuk membayar caj setiap bulan.

“Penduduk yang berhutang juga perlu kasihan dan berlaku adil kepada jiran mereka yang membayar caj itu setiap bulan,” katanya