Tuesday, December 29, 2009

Tiada `Lena' Di Ibukota


Malam di Kuala Lumpur tidak pernah melabuhkan tirainya.

Tidak keterlaluan disifatkan ibukota ini tidak pernah tidur dan tetap menjadi tumpuan warga 1Malaysianya walau menjelang dinihari.

Katakan apa sahaja tempat berhibur, makan atau hanya lokasi untuk menghabiskan masa, semuanya terdapat di sini.

Dari hujung ke hujung ibukota, warganya sentiasa `hidup' dan memenuhi semua lokasi tumpuan malam di Kuala Lumpur.

Menyusuri pelbagai pusat hiburan di Bukit Bintang, Jalan Pinang dan Jalan Sultan Ismail yang sentiasa meriah pada waktu malam, saya menggambarkan Kuala Lumpur ini sentiasa ceria dan meriah kepada warganya.

Pusat berhibur yang dikategorikan lokasi dansa atau sekadar karaoke bersama teman-teman sehingga jam 3 pagi pada setiap hari di ibukota tidak pernah lengang daripada menyambut tetamu yang silih berganti saban malam.

Selain itu, warga kota juga gemar `menghidupkan' malam mereka dengan melepak di kedai makan di sekitar Kuala Lumpur.

Mencari kelainan dengan sekadar menghirup teh tarik atau menikmati makanan berat seperti nasi lemak, peminat kedai makan ini akan `bertapa' sehingga embun menitis pada pagi hari.

Mungkin berbual kosong atau bergelak ketawa di kedai makan yang `berbumbung' langit malam boleh memberi kelegaan dan mengurangkan tekanan di selepas seharian di tempat kerja.

Selain pusat hiburan dan gerai makan, warga kota turut menghabiskan malam mereka di pelbagai pusat membeli belah bertaraf dunia di sini.

Ada warga kota sekadar menjadi penggemar `window shopping' dan tidak ketinggalan membawa keluarga menikmati suasana malam di Kuala Lumpur.

Saya sendiri berpandangan kehidupan malam di ibukota tidak pernah `tidur' dan sentiasa menawarkan tarikan tersendiri pada setiap masa.

Malam saya juga kerap dihabiskan dengan menghirup teh tarik sebelum pulang ke rumah selepas selesai kerja.

Saya suka menikmati keindahan malam di kotaraya. Ia tidak pernah sunyi dan banyak tempat menjadi tumpuan sehingga pagi menjelma.

Selain makan, kadangkala saya sekadar berjalan-jalan dan bertukar-tukar lokasi menghirup teh tarik sambil `mencuci mata' di sekitar Kuala Lumpur.

Saya akui, kotaraya yang tidak pernah sunyi ini turut menyediakan pelbagai lokasi menarik yang menjadikannya sentiasa meriah pada setiap masa.

Tengok sendiri dan saksikan bagaimana warga kota sebenarnya seolah-olah tidak pernah tidur pada setiap malam.

Hampir setiap kawasan di Kuala Lumpur dihurung peminat tersendiri dan mereka gembira melakukan aktiviti sama hampir pada setiap malam.

Kadangkala, ada ketika saya menghabiskan malam bersama rakan-rakan dengan bersiar-siar dan menikmati kemeriahannya pada malam hari.

Saya yakin, ungkapan `Kuala Lumpur tidak pernah mati' yang disebut ramai benar-benar membuktikan `penghuninya' tidak pernah lena dengan pelbagai aktiviti malam mereka.

Aktiviti menarik seperti berhibur dan banyaknya lokasi menjamu selera di Kuala Lumpur menjadikannya salah satu destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Tarikan itu disifatkan dapat menambah keuntungan negara selain pada masa sama dapat mempromosi negara di mata dunia.

Mencari takrif di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat mengenai perkataan `Lena' itu sendiri yang bermaksud tidur benar-benar (sehingga tidak mudah dikejutkan); benar-benar tidak wujud untuk menggambarkan kemeriahan Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur untuk selama-lamanya.

Dan kotaraya ini akan terus `sedar' serta `terjaga' untuk menghiburkan warganya...

Sunday, December 27, 2009

Kuala Lumpur Kota 1Malaysia


Jika ada yang mencari sebuah lokasi di mana konsep 1Malaysia sudah dipraktikkan, saya boleh memberitahu tempatnya.

Saya juga bisa membawa sesiapa sahaja untuk membuktikan kehidupan 1Malaysia sudah lama wujud di sini.

Saya berani menjadi pemandu pelancong untuk menunjukkan semua tempat di sekitar ibukota yang menempatkan masyarakat majmuk dan berbilang kaum serta hidup di dalam aman harmoni.

Di bandar besar ini, di kota metropolitan ini, semangat 1Malaysia sudah lama diamalkan malah menjadi pegangan sesiapa sahaja yang sudah menjadi warganya.

Ada sesiapa yang hendak menafikan jika saya kata Kuala Lumpur ini kota 1Malaysia?

Atau mungkin ada individu yang hendak mempertikaikan kenyataan bandar 1Malaysia ini adalah Kuala Lumpur?

Pasti slogan 1Malaysia yang dicetus Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu seharusnya menjadi impian yang sebenarnya sudah lama direalisasikan di bandar metropolitan Kuala Lumpur.

Ini kenyataan di Kuala Lumpur. 1Malaysia sebenarnya menjadi kunci kepada keharmonian serta keamanan masyarakat majmuk di ibukota besar.

Malah tidak keterlaluan saya kata, tanpa 1Malaysia, masyarakat berbilang kaum di negara ini dan Kuala Lumpur terutamanya akan hidup di dalam keadaan kacau bilau dan tidak tenteram.

Pandang kiri anda akan lihat orang Melayu, toleh kanan menjelma pula orang Cina dan jenguk ke depan tentu ada orang India yang mewarnai kehidupan di kotaraya yang penuh keindahan ini.

Mencuri tumpuan dengan bandar 1Malaysia iaitu Kuala Lumpur ini, beberapa kawasan sekitar yang menjadi `tapak jajahan' orang Melayu, Cina dan India sendiri yang sudah diterima sejak berkurun dahulu.

Perhatikan pembentukan tiga kaum terbesar negara yang menghuni ibukota ini membentuk masyarakat majmuk penuh harmoni sekali gus mewujudkan komuniti sebenar 1Malaysia.

Orang Melayu boleh berbangga dengan kawasan Kampung Baru atau Kampung Kerinchi yang masih mengekalkan rentak hidup Melayu sebenar.

Dua kawasan yang penuh dengan tradisi kemasyarakatan serta kejiranan dan mengamalkan amalan bertukar juadah masih menjadi asas kehidupan di kedua kampung di `bandaraya' ini.

Menapak sedikit ke hadapan pasti akan terlihat kawasan orang India, Brickfields, yang masih `berirama' India.

Katakan apa sahaja juadah atau gaya hidup orang India, inilah lokasinya dan sejarah Brickfields sebagai Little India negara tidak akan terpudar sehingga bila-bila.

Datanglah pada bila-bila masa sahaja di sini, pasti kedengaran lagu India serta jualan juadah serta pelbagai barangan berkaitan kaum ini.

Sementara China Town di kawasan Jalan Petaling melambangkan kemeriahan kaum Cina yang hidup dan menjalankan aktiviti perniagaan dalam suasana aman tenteram.

Aktiviti `berniaga' orang Cina yang sudah lama menjadi sumber rezeki kepada mereka itu akan `dihurung' oleh orang Melayu dan India sebagai pelanggannya.

Dan kemesraan tawar-menawar di antara pembeli dan penjual yang pelbagai kaum di sini sebenarnya menjadi daya penarik kemesraan 1Malaysia.

Tiga kaum terbesar negara yang diadun dengan begitu cantik di dalam kehidupan kota penuh pancaroba melahirkan dunia 1Malaysia di Kuala Lumpur.

Suasana indah persepakatan berbilang kaum dan agama yang hidup didalam keamanan ini menjadi kebanggaan yang hanya boleh diperolehi di ibukota.

Toleh kiri, kanan, atas atau bawah, kesemua kaum ini pasti memeriahkan ibu negara Malaysia.

Tiada ajaibnya apabila melihat sebuah gerai orang India sekitar Kuala Lumpur yang dipenuhi masyarakat berbilang kaum.

Orang Melayu atau Cina sendiri sudah tidak malu mengakui tosai menjadi makanan utama mereka pada pagi hari.

Tiada hairannya juga melihat situasi sebuah kedai nasi lemak orang Melayu dipenuhi orang Cina atau India yang meminta sambal lebih dan menjadi rutin makanan pada waktu petang atau malam.

Tiada bezanya bangsa di bandar Kuala Lumpur ini. Semuanya sama. Semuanya 1Malaysia. Semuanya harmoni dan berkongsi suka duka bersama di sebuah ibu kota kebanggaan negara.

Saya yakin konsep 1Malaysia yang dicetus Najib dan menjadi salam 1Malaysia `identiti' Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan diikut seluruh warga kota.

Sesungguhnya konsep 1Malaysia sudah lama terserap di jiwa warga kota. Sememangnya kehidupan orang Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain di Kuala Lumpur sudah lama menjadi satu.

Kesefahaman warga kota seperti sebuah keluarga yang tidak akan terpisah selama-lamanya.

Kesepakatan masyarakat berbilang kaumnya akan tetap teguh dan utuh seperti pepatah persaudaraan erat `Air dicincang tidak akan putus'.

Dan adakah masih ada yang hendak berkata `tidak' serta menafikan Kuala Lumpur sebagai bandar 1Malaysia?

Kuala Lumpur ini kunci kejayaan 1Malaysia. `Umat' Melayu, Cina dan India yang menghuninya pasti mahu keharmonian ini kekal selama-lamanya.

Monday, December 21, 2009

Ini Dataran Sejarah Kita


Malam itu saya benar-benar runsing.

Mungkin tekanan dan beban kerja yang berat ditambah beberapa masalah peribadi menjadikan saya mahu mencari sebuah tempat untuk menenangkan diri.

Merehatkan minda tanpa ganguan dan melihat langit ibukota menjadi kegemaran sekali gus disifatkan penawar seandainya saya berada di dalam kekusutan.

Seolah jenaka namun percayalah saya bisa menenangkan diri apabila berada di Dataran Merdeka.

Angin lembut yang bertiup saban malam pasti membawa pengunjungnya ke dunia lain penuh ketenangan dan benar-benar membahagiakan.

Kawasan seluas padang bola yang menyamankan ditambah pemandangan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Kelab Diraja Selangor banyak memberi saya kepuasan dan menenangkan jiwa.

Bayangkan malam yang tenang di sini, lari daripada hiruk pikuk kotaraya yang menyerabutkan.

Inilah lokasi indah untuk berehat sekali gus tempat mengambil gambar kenangan kepada pelancong asing.

Saya jamin, Dataran Merdeka bukan tempat asing bagi warga kota.

Malahan, tiada sesiapa di Kuala Lumpur ini yang tidak tahu lokasi di mana Dataran Merdeka.

Ini dataran paling bersejarah di dalam negara kita dan ia terletak di ibukota. Pasti ini menjadi salah satu tarikan kepada mana-mana pelancong asing yang datang ke Malaysia.

Dataran yang tidak pernah sunyi daripada orang ini sebenarnya menyimpan sejarah kehebatan negara.

Sejarahnya Dataran Merdeka ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor dan terletak di pusat pentadbiran lama Kuala Lumpur.

Pada asalnya ia merupakan padang kriket bagi Kelab Selangor namun kini dinamakan Kelab Diraja Selangor.

Mencuri pemandangan mengelilingi padang tersebut adalah bangunan bersejarah termasuk Bangunan Kelab Diraja Selangor yang terletak di penjuru padang di mana orang-orang penting Kuala Lumpur sering bertemu untuk berbincang mengenai pelbagai cerita perniagaan serta kehidupan di ibukota.

Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Sejarah Kebangsaan, dan Perpustakaan Peringatan yang dibina pada 1909, kathedral St Mary's Anglican, bangunan stail Gothik yang berusia lebih seratus tahun dan kompleks Dayabumi moden yang menakjubkan dapat dilihat apabila anda berada di sini.

Tolehlah ke utara, selatan, timur atau barat, semuanya lokasi indah yang menjadi tumpuan pelancong asing di ibukota.

Mungkin tidak keterlaluan saya bicara Dataran Merdeka boleh menjadi titik mula perjalanan seorang pelancong asing untuk terus mengembara meneroka sekeliling Kuala Lumpur.

Di sinilah juga, di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957.

Dan semenjak dari itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 52 tahun dahulu.

Pelbagai acara pernah diadakan di sini seperti Citrawarna dan Larian Merdeka.

Tiang bendera setinggi 95-meter yang terdapat di penjuru selatan Dataran Merdeka juga merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Semua orang tahu, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan mercu tanda yang paling penting yang dibina oleh pihak British, yang mengadap kearah Dataran Merdeka.

Seni bina Moorish yang indah ini siap dibina pada 1897, menjadi pejabat beberapa jabatan penting semasa pentadbiran British satu masa dahulu.

Bangunan kayu separuh Tudor dibina pada 1890 dan menjadi tempat paling nostalgia menonton perlawanan Kriket pada petang Ahad.

Bangunan Kelab Diraja Selangor stail Tudor, yang dibina pada 1890 jauh berbeza dengan bangunan seni bina Moorish bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak arah bersetentangan dataran.

Lega, selepas `berehat' selama dua jam dan mengimbas sejarah dataran saya pulang ke rumah dengan hati yang benar-benar lapang daripada sebarang tekanan.

Wednesday, December 9, 2009

Perubahan Inci ke Inci Kampung Kerinchi



Siapa sangka kawasan Kerinchi di pinggir ibukota kini sudah berubah wajah.

Lokasi yang satu masa dahulu penuh dengan kawasan hutan dan tidak keterlaluan dikatakan tidak `dipandang' orang ramai kerana `titik hitamnya' kini sudah berubah.

Satu-satu perubahan dibuat, Kerinchi kini berubah inci demi inci dan dalam masa lapan tahun lagi, Bangsar South yang bakal muncul dilihat bandar moden yang menjadi titik tengah menghubungkan ibukota, Petaling Jaya serta seluruh kawasan berhampiran.

Saya tahu, Bangsar South merupakan bandar yang diilhamkan daripada mimpi masyarakat.

Bangsar South dilahirkan selepas mengetahui warga kota memerlukan kehidupan moden serba sempurna.

Saya sedar, pemaju di sini juga pasti sudah mengkaji dengan teliti dan pemilihan kawasan ini meletakkannya sebaris dengan bandar-bandar kontemporari lain di ibukota.

Terletak di akses Lebuhraya Persekutuan, Kerinchi Link serta Lebuhraya Pantai, Bangsar South sebenarnya dipecahkan kepada lima `bandar' sub yang tersendiri.

The Village, The Horizon, The Vertical, The Sphere dan The Park pasti mempunyai keistimewaan dan `tugas' masing-masing.

Saya lihat peranan lima `bandar' kecil itu saling berkaitan dan memenuhi keperluan masing-masing yang membentuk Bangsar South.

The village akan menjadi tarikan utama di sini. Pemandangan cantik yang pasti memukau dengan rekaan masa depan yang menjamin keuntungan kepada pembelinya

Ia menempatkan galeri hartanah selain unit contoh yang diperlukan oleh pembeli untuk terus menempah sebuah lokasi hartanah paling strategik alaf ini.

Ia memberi keyakinan kepada pengunjungnya tentang kepuasan berada di sesebuah kawasan yang penuh keseronokan.

The horizon pula merupakan tempat tumpuan perniagaan yang sempurna. Bukan sekadar dihidangkan dengan konsep pejabat terkini, ia memberi nafas baru dengan peluang menamakan bangunan pemilik dengan logo dan jenama syarikat sendiri.

Tujuh blok pejabat 10 tingkat yang memberi nafas baru dan berbeza daripada bangunan lain di ibukota.

Konsep itu sebenarnya menjadikan ia satu kelebihan berbanding tapak perniagaan lain dan pasti memberi peluang berada di hadapan berbanding pesaing dari sektor sama.

Dalam pada itu, The Vertical yang menjadi penguat horizon menjadi lokasi strategik untuk ahli korporat menjalankan perniagaan.

Sebanyak 10 blok pejabat akan dibina dengan setiap satunya mempunyai 20 tingkat pasti memberi suasana persendirian yang membuka lebih banyak peluang perniagaan serta pasti menguntungkan pemiliknya.

Konsep pintar dan pejabat eksekutif serba mewah yang dibawa membentuk satu dimensi baru di dalam dunia bisnes.

Tidak lengkap jika sebuah bandar moden tidak mempunyai sebuah pusat membeli belah ala hentian semua ada.

Sebut sahaja jenama yang terlintas di fikiran, The Sphere menjanjikan apa sahaja keperluan keluarga daripada jenis santai sehingga keperluan mesyuarat.

Ia lengkap dengan tempat pejalan kaki berbumbung yang memudahkan penghuni residen berhampiran untuk terus ke The Sphere.

Sementara kediaman The Park menghidangkan lapan buah kondominium yang sempurna dari setiap kemahuan penghuninya.

Pemandangan dari sejumlah 2,100 unit komdominium yang mengadap konsep bandar bangsar south akan menenangkan penghuninya pada setiap masa.

Dilengkap dengan `clubhouse' yang berkonsep mewah dan lengkap dengan gimnasium pasti memberi erti sebenar kepuasan kepada penghuninya.

Ini wajah baru Kerinchi, diubah inci ke inci untuk warga kota.

Tentu penghuni di sini tidak lena tidur dan tidak sabar menanti ia siap sekali gus menjadi bandar hebat setanding Kuala Lumpur di pinggir ibukota.

Sunday, December 6, 2009

Ingat Aduan , Ingat 1800 88 3255


Apa lagi yang diharapkan oleh warga kota Kuala Lumpur selain setiap masalah mereka didengar dan diambil tindakan segera.

Apa juga yang berlaku di Kuala Lumpur seharusnya menjadi titik tolak melihat kecemerlangan dan penambahan kepada aspek kualiti sekali gus kecenderungan kepada kemajuan ibukota sendiri.

Katakan apa sahaja masalah atau rasa tidak puas hati terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT), warga kota disifatkan perlu mempunyai sebuah pusat aduan yang mendengar sekali gus mencatat masalah mereka untuk tindakan selanjutnya.

Saya sendiri salah seorang warga kota, saya pasti mahu ibukota ini sentiasa sempurna dan jika boleh tidak mahu sebarang kecacatan terdapat di Kuala Lumpur.

Masuklah di jalan mana sekali pun, jenguklah di lorong mana pun, atau jengahlah di kawasan perumahan mana di jajahan DBKL, tiada siapa mahu ia cacat atau tidak sempurna.

Saya tahu, keselesaaan dan keindahan Kuala Lumpur dapat menarik pelancong asing ke sini dan melawat pelbagai tempat indah di ibukota.

Kerana itu, warga kota kini boleh mengorak senyum lebar kerana Integrasi Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam (iSPAAA) yang akan dilancarkan sepenuhnya awal tahun depan akan menjadi pusat setempat yang mengambil setiap aduan dan bertindak segera untuk menyelesaikannya.

Apa yang perlu dilakukan adalah mengingat nombor 1800 88 3255 untuk sebarang aduan mengenai apa sahaja berkenaan PBT untuk warga kota.

Menggunakan sistem pembahagian aduan serta analisis berita di dalam akhbar, iSPAAA ini dijangka menyelesaikan banyak masalah serta isu warga kota sendiri.

Ketika mengumumkan berita gembira itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail menjelaskan, seramai 20 kakitangan terlatih akan menjadi kumpulan pertama yang bakal mengendali pusat iSPAAA di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tambahnya, buat permulaan, pusat itu akan beroperasi bermula pada pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan dijangka dibuka 24 jam menjelang tahun depan.

Ahmad Fuad akui, sistem itu masih di tahap ujian untuk melihat kemampuan pusat itu sendiri sebagai tempat mengambil aduan. Dari gerak bibirnya saya sendiri tahu ujian itu adalah tahap awal jaminan kakitangan yang bertanggungjawab di sana benar-benar terlatih dan penambahan ahli pasti akan diserap perlahan-lahan sehingga semuanya sempurna.

Kembang hidung saya sebagai seorang warga kota apabila mengetahui pusat pengendalian berkomputer itu merupakan usaha pertama PBT di negara ini sekali gus memuaskan masyarakat kota.

Saya tahu, iSPAAA bukannya pusat aduan hangat-hangat tahi ayam. Ini pusat untuk warga kota mengadu masalah mereka dan memastikan ibukota terus cemerlang sebagai sebuah bandaraya serba sempurna di mata dunia.

Friday, December 4, 2009

Malam `Habibi' Di Jalan Damai


Mencari sebuah kawasan `habibi' di ibukota jika tahu lokasinya tidaklah susah.

Saya sendiri pada asalnya terkejut kerana terdapat sebuah kawasan di Jalan Damai mempunyai deretan kedai Arab yang menawarkan kehidupan mereka di sana.

Pasti ada di sini jika anda inginkan kehidupan malam ala `Arab' dan menikmati kepulan asap sisha wangi daripada ekstrak tembakau buah-buahan.

Atau anda ingin merasai sendiri hidangan Arab yang berkonsep tersendiri dan pastinya terlalu jauh ramuannya berbeza daripada makanan negara.

Siapa sangka segala-galanya bukan lagi mustahil di sini. Jalan ini seolah-olah menjadi bayangan negara Arab.

Saya yang `ketagih' untuk melepak di sini pada hampir setiap malam terpegun dengan corak kehidupan mereka.

Lokasinya yang berhampiran kediaman kedutaan Perancis di Malaysia dan Plaza Yow CHuan akan `hidup' seawal pukul 8 malam sehingga jam 2 pagi pada setiap hari.

Suaasana itu pastinya menjadi lebih meriah apabila malam minggu.

Kawasan yang menjadi tumpuan anak-anak muda ibukota, pelajar serta keluarga menjamu selera itu tidak pernah lengang daripada peminatnya yang tersendiri.

Tujuan mereka sama, menikmati hidangan Arab dan sekali sekala beralih selera daripada makanan negara yang terkenal dengan `kepedasannya'.

Jelas, kepuasan terpancar daripada muka setiap pelanggannya yang datang selepas menikmati hidangan yang dipesan.

Namakan sahaja makanan Arab seperti kabssa ayam atau kambing, tashreeb, ummus dan tahinan, keju manaqeesh, makhalamah atau shakshukah.

Semuanya terdapat di sini dengan cita rasa sebenar seolah-olah menikmati hidangan di luar negara.

Walaupun nama makanan yang disebutkan agak ganjil namun percayalah, pelanggan yang mengunjungi kedai Arab ini akan tersenyum lebar selepas menikmati hidangan mereka.

Kelihatan juga beberapa tempat khas berkusyen yang diletakkan di dalam khemah di dalam kawasan restoran.

Saya tahu, kehadiran restoran seumpama ini sebenarnya menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini sekali gus mempromosi Kuala Lumpur sendiri sebagai sebuah destinasi wajib datang kepada mana-mana pelancong di dunia.

Sesunggunya ibukota kita tidak pernah sunyi daripada kemeriahan. Seharusnya itu yang dicari oleh setiap warganya. Keseronokan dan keceriaan di dalam perut ibukota sendiri.

Saya meninggalkan kedai Arab pada pukul 1.45 pagi dengan bau wangi asap sisha melekat di baju.

Saya pasti termimpi seorang `habibi' malam ini menemani tidur sehingga ke esok pagi.

Jangan `Kau Lupa Janji'


Petang tadi sempat saya menjengah ke Tasik Putrajaya berhampiran Menara Putrajaya Holdings (Pjh).

Saya tahu, pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin terletak di aras empat menara itu.

Lantas saya teringat janji Nong Chik yang pernah dilafaz di hadapan saya pada awal tahun ini.

Katanya yang mengakui cabaran sebagai menteri yang digalasnya kini adalah suatu tanggungjawab dan tugas yang berat.

Meskipun pada awalnya terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantiknya ke jawatan itu, Nong Chik bertekad membalas kepercayaan itu dengan berusaha lebih keras dan sedaya mungkin untuk mendalami dan menyelesaikan permasalahan warga kota.

Jangan lupa, Datuk sudah beranji untuk bekerja lebih kuat kerana setiap pergerakan kini dalam 'perhatian' rakyat.

Berpenampilan `low profile', Nong Chik barangkali kurang dikenali oleh mereka dari luar Kuala Lumpur. Tetapi bagi warga kota khususnya di Lembah Pantai dan Bangsar, sebut sahaja nama `Datuk Raja', pantas tersebar luahan tentang komitmen dan kesungguhannya dalam membantu menyelesaikan masalah setempat.

Berpengalaman luas dalam politik UMNO, daripada pemeriksa kira-kira di peringkat cawangan, ketua pemuda, ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, sehinggalah ke jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang disandang sekarang.

Saya jelas dan sedar, Kuala Lumpur bukannya asing buat Nong Chik, semua orang tahu sejak kecil lagi Datuk sudah berada di sini meskipun beliau berasal dari Taiping.

Sejarah Nong Chik sendiri yang ke sekolah dulu dengan menaiki bas merata dalam KL ini pasti mengukuhkan landasan untuk memastikan kesusahan semua kaum di ibukota dirasai dan dibela dengan segera.

Sebab itu janji Nong Chik lagi, matlamat beliau atas kapasiti jawatan Menteri adalah mahu membasmi dan mengurangkan semaksimum mungkin kemiskinan di bandar.

Jelasnya, masalah perumahan untuk warga kota dan tapak berniaga adalah isu yang akan diselesaikan dengan segera.

Saya bertanya lagi, adakah beliau maksudkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Pantai, Nong Chik berkata;

``Ya, ketika ini ia disewa dan saya sedang dalam proses untuk membantu penyewa di situ membeli kediaman mereka.''

Usaha untuk menukar syarat rumah sewa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini bagi membolehkan penyewanya membeli unit kediaman mereka pernah dibangkitkan untuk pertimbangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac lalu - beberapa hari menjelang pilihan raya umum ke-12. Namun, perkara itu 'tergantung' sehinggalah diusahakan kembali oleh Raja Nong Chik.

Dianggarkan lebih 3,000 penyewa rumah PPR berhasrat membeli rumah berkenaan.

Mengikut bancian DBKL, terdapat 20,000 setinggan melibatkan 3,689 keluarga tinggal di sekitar Lembah Pantai pada 2008.

Bagaimanapun sehingga hari ini sebanyak 3,189 keluarga telah dipindahkan dan yang belum berbuat demikian hanya lebih kurang 500 keluarga.

Nong Chik percaya kira-kira 30,000 orang berminat membeli rumah PPR berkenaan.

Bagi tapak berniaga pula, Nong Chik berkata, dalam keadaan ekonomi yang suram ketika ini, beliau bertekad mahu memberi peluang kepada keluarga yang berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan.

Dalam pada itu, Nong Chik juga tidak menolak bahawa perhatian serius akan diberi ke atas keberkesanan DBKL dalam menangani masalah warga kota. Ini kerana hampir 90 peratus aduan diterima oleh DBKL.

Antara isunya berkisar permintaan supaya ditambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sibuk, pusat beli-belah dan tempat tumpuan pelancong, kes pembuangan sampah dalam saluran air di kawasan tumpuan penjaja dan masalah banjir di beberapa kawasan yang memerlukan pembinaan tadahan air.

Saya tersenyum lagi teringat janjinya;

``Saya sudah merancang untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan berkelas dunia.

``Tetapi matlamat saya pada masa ini adalah untuk menumpukan kepada mereka yang berpendapatan rendah yang meliputi semua lapisan masyarakat.''

Jangan lupa Nong Chik, itu semua janji Datuk kepada warga kota, dan kami tahu ia akan direalisasikan dalam sedikit tempoh lagi.

Dan ketika saya meminta diri, saya menoleh dan melihat Nong Chik beberapa ketika kemudian kembali melemparkan pandangan ke Tasik Putrajaya.

Saya yakin hatinya berdebar teringatkan janji dan cabaran warga kota yang perlu dipenuhinya - Datuk kini berada dalam 'perhatian' rakyat.

Jangan lupa ya Datuk...

Thursday, December 3, 2009

PCMC - Hospital Masa Depan Di Ibukota




Sinonim bagi sebuah hospital adalah bau ubat yang menusuk kuat setiap kali kita masuk ke dalamnya dan keadaan di ruang legar atau kaunter pendaftaran yang agak sibuk.

Bau yang akan menusuk hidung itu tidak dapat dinafikan sudah menjadi salah satu `lambang’ kepada kebanyakan hospital di negara ini.

Akibat bau ubat itu juga, kadangkala ia menimbulkan rasa `takut’ kepada mana-mana pesakit yang ingin mendapatkan rawatan, lantaran mewujudkan situasi yang tidak mendorong kepada pemulihan yang lebih cepat.

Bau dan suasana di hospital itu akan terus `menghantui' pesakit sehingga mengganggu emosi mereka di saat pertama mereka melangkah masuk ke hospital.

Namun, suasana itu terlalu jauh bezanya, malah tidak wujud langsung di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Jalan Kia Peng di sini.

Kunjungan saya mendapati hospital itu bukan sahaja tidak berbau ubat, malah suasana dan keselesaannya terasa seperti memasuki sebuah hotel bertaraf antarabangsa.

Hospital milik penuh syarikat peneraju dalam minyak dan gas negara ini, Petronas dilihat benar-benar mampu memenuhi cita rasa pesakit dan keluarga mereka.

Hospital serba eksklusif yang dibuka pada bulan Julai 2008 itu dilihat membuka revolusi baru konsep hospital dan perkhidmatan rawatan terbaik untuk pesakit.

Walaupun disokong penuh oleh pasukan pengurusan antarabangsa, namun PCMC menggunakan sepenuhnya tenaga doktor pakar tempatan.

Hospital itu juga merupakan satu-satunya di negara ini yang bekerjasama di bawah konsortium dengan sebuah universiti penyelidikan perubatan yang terbesar di Eropah iaitu Medical University of Vienna (MUV).

Melangkah masuk ke hospital yang menjadi salah satu mercu tanda baru di ibu kota, tidak keterlaluan kalau dikatakan, inilah ciri hospital masa depan.

Kemudahan lobi bertaraf antarabangsa dengan ruang luas dan layanan pembantu yang sedia memberi sebarang maklumat mengenai apa sahaja pertanyaan, PCMC menjadi salah sebuah hospital terbaik di dalam kelasnya di negara ini.

Hospital yang dilengkapi dengan 300 katil persendirian setiap satu dan memenuhi standard Joint Commission International (JCI) sebagai salah sebuah hospital penuh sempurna dari aspek keselamatan serta kualiti kepada setiap pesakitnya.

Saya tahu, lima jabatan yang diwakili jantung dan paru-paru, rawatan kanser, perubatan ginjal dan urologi, wanita, kanak-kanak dan lelaki, kosmetik dan masalah kulit serta kebakaran itu dilihat cukup lengkap untuk keperluan setiap pesakit di sini.

Saya juga yakin perkhidmatan terbaik melalui servis paling sempurna untuk setiap pesakit dengan mengutamakan keselamatan pesakit selain meletakkan tanda aras tertinggi untuk kepuasan setiap pesakit ke PCMC

Penggunaan perisian terbaik, Total Hospital Information System (THIS) dapat memastikan kelancaran urusan pesakit daripada pendaftaran sehingga selesai prosedur rawatan.

PCMC melihat usaha itu bakal menjadikan mereka salah satu hospital terbaik di rantau ini.

Indahnya konsep hospital hijau di dalam taman yang memberi suasana berbeza kepada pesakitnya menjadi satu faktor yang membezakan PCMC daripada pusat perubatan lain.

Ditambah dengan suasana santai yang mewarnai persekitaran PCMC sebenarnya turut membantu proses penyembuhan seseorang pesakit.

Pasti setiap pesakit di sini akan merasa tidak seperti di hospital. Ruang sekeliling yang hijau, nyaman tidak akan memberi sebarang tekanan kepada mereka.

Keindahan faktor ini menjadikan keselesaan salah satu aspek yang mempercepatkan proses pemulihan.

Lokasinya di ibukota dan konsep ruang luas ini bakal menjadikannya sebagai satu keunikan kepada pendekatan perubatan yang moden.

Bangunan PCMC pula merupakan sebuah binaan enam tingkap dengan rekaan futuristik yang diilhamkan oleh firma seni bina dari Melbourne, Peddle Thorpe.

Pembinaannya melibatkan kos sebanyak RM544 juta manakala RM182 juta lagi dibelanjakan bagi pembelian peralatan perubatan yang menjadi penanda aras penubuhannya merupakan satu usaha memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat negara ini.

Pembinaannya juga merupakan sambutan kepada hasrat kerajaan untuk membangunkan program pelancongan kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan dan rawatan bertaraf antarabangsa dan kos-efektif bagi pesakit dari luar negara.

Semestinya status PCMC sebagai pusat perubatan swasta yang diakreditasi oleh JCI menjadikannya sebuah hospital berciri eksklusif dan bertaraf antarabangsa kepada para pesakit.

Lihat matlamatnya dalam menjadi pemberi penjagaan kesihatan swasta yang unggul, PCMC menerima pengurusan klinikal, teleperubatan dan sokongan perundingan dari MUV yang terkenal dengan asas penyelidikan mereka.

Selain itu, MUV juga menawarkan khidmat klinikal dan hala tuju pengurusan antarabangsa dengan penekanan diberikan terhadap keselamatan pesakit dan pengurusan risiko.

Kewujudan PCMC yang berazam memberikan lebih daripada jangkaan pesakit menerusi kepakaran dan teknologi yang dimilikinya pasti memberikan dimensi baru dalam pembangunan industri perkhidmatan hospital di negara ini.

Jadi, saya pasti, selain hasrat dan cita-cita PCMC sendiri untuk menjadi salah sebuah hospital terbaik negara dan rantau ini, kewujudannya tentu menambah keindahan Kuala Lumpur.

Dan seharusnya tidak syak lagi, ia sebenarnya menjadi salah satu mercu tanda ibukota yang pasti membanggakan negara.

Tuesday, December 1, 2009

Kisah `Biduan' Di Kuala Lumpur


Acap kali saya menitiskan airmata apabila mendengar lagu-lagu berkaitan ibukota. Saya terfikir apakah erti sebenar Kuala Lumpur ini bagi warganya.

Masakan tidak, setiap lagu yang mempunyai bait-bait berkenaan ibukota atau Kuala Lumpur pasti mempunyai maksud mendalam malah tidak keterlaluan ia menggambarkan suka duka ibu negara dari pelbagai sudut.

Ada yang beranggapan ia sebuah kota lengkap yang sedang maju malahan ada juga yang menganggap Kuala Lumpur sebuah tempat yang banyak mengajar anak-anak desa tentang erti kesusahan.

Entahlah, semua ada hak untuk berkata, semua boleh bersuara dan memberikan pendapat mereka tentang Kuala Lumpur.

Katakan apa sahaja tentang ibukota, tiada yang salah, malahan tiada siapa yang boleh mendabik dada dan berkata Kuala Lumpur ini milik mereka.

Sesungguhnya Kuala Lumpur ini milik semua.

Pagi tadi saya tersentuh lagi, mendengar lagu dendangan orang lama, Dahlan Zainuddin bertajuk Kisah Seorang Biduan.

Lagu tiga rangkap yang benar-benar menggambarkan kesusahan yang dialami perantau desa ke kota.

Lirik yang menggunakan perlambangan `biduan' sebagai perantau di kota itu boleh ditakrifkan harapan setiap anak desa ke Kuala Lumpur.

Saya amati satu persatu ayatnya;

``Dari sebuah desa, Berbekal gitar tua, Datang ke ibukota, Dengan penuh harapan, Menjadi seorang biduan. Oh biduan pujaan, Pujaan tua muda, Kau ditaburi cahaya, Dan sinar kekaguman, Dan riuhnya tepukan. Meskipun kau tersenyum, Namun orang pun tahu, Apa isi hati mu, Tatkala kau lagukan, Lagu mu lagu sedih, Perjalanan hidup mu, Ditinggal kekasih mu.''

Biduan yang bermaksud penyanyi lelaki itu pasti menjadi lambang warga kota yang mengharung perit getir tinggal di Kuala Lumpur.

Sedarlah saya, betapa `keramatnya' Kuala Lumpur. Penuh misteri dan menyimpan rahsia setiap warganya dengan rapi.

Apa khabar agaknya penyanyi lagu itu, beliau yang kini berusia 68 tahun pasti tersenyum apabila lagu dendangannya masih berkumandang di radio.

Ibukota Kuala Lumpur yang letaknya di koordinat 3.1357°N 101.688°E sebenarnya terlalu indah walaupun warganya terus melalui perit getir kehidupan di perutnya.

Itulah Kuala Lumpur. Bandar kecil yang lahir pada 1850an sebagai sebuah bandar bijih di pertemuan Sungai Gombak dan Klang.

Seharusnya nama asalnya `Pengkalan Lumpur' namun kini bertukar kepada Kuala Lumpur selepas menjadi idaman setiap pelabur serata dunia kerana prospeknya dalam setiap bahagian ekonomi.

Kisah seorang biduan, lagu yang meniti di bibir setiap anak muda pada awal 1970an sebenarnya menjadi saksi perkembangan Kuala Lumpur, sebuah bandar yang tidak akan mati walaupun berbelas-belas generasi tinggal di sini.

Walaupun usia Kuala Lumpur kini sudah mencecah lebih 160 tahun dari kelahirannya, ia tidak pernah tua daripada warganya yang bersilih-ganti.

Dan Kuala Lumpur tidak akan melabuhkan tirainya malah akan kekal menjadi tumpuan dunia walau untuk 1000 tahun lagi.

Ciri Negara Di Royal Chulan Kuala Lumpur


Tiada siapa dapat menafikan realiti bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai terlalu banyak hotel bertaraf lima bintang.

Namun pencarian untuk sebuah hotel yang benar-benar bercirikan Malaysia disifatkan sesuatu yang sangat sukar.

Menyedari kekurangan itu, The Royale Chulan di Jalan Conlay di ibu negara tampil dengan ciri-ciri tersebut yang bukan sahaja terserlah Malaysianya tetapi juga Melayunya.

Terletak di satu kawasan yang strategik, Royale Chulan bukan sahaja menawarkan pemandangan Menara Berkembar Petronas dari hampir setiap biliknya tetapi yang lebih penting, ciri-ciri uniknya.

Dengan reka bentuk dan dekorasi dalaman bercirikan Malaysia serta layanan kelas pertama daripada kakitangannya, penginapan di hotel itu pastinya sukar dilupakan sepanjang hayat.

Royale Chulan yang mempunyai 402 bilik termasuk 102 apartmen servis terbentuk dari dua menara - satu lima tingkat dan satu lagi 13 tingkat berbentuk U.

Dengan hanya 10 minit berjalan kaki ke KLCC, lima minit dari Bukit Bintang dan 15 minit dari Menara Kuala Lumpur, kedudukan hotel ini yang terlalu `sempurna’ bagi setiap pengunjung dan penghuninya.

Melangkah masuk ke kawasan hotel, pengunjung pasti tertawan dengan struktur bumbung rumah Melayu yang menjadikan suasana nyaman pada setiap masa.

Kombinasi hotel yang bersambung dengan Menara Chulan itu menjadikan kedua-dua bangunan itu benar-benar mempersona dan tidak hairan mana-mana individu yang melintasi hotel ini pasti akan menoleh semula dek keindahannya.

Hasil ukiran kayu awan larat sepenuhnya di kawasan awam di hadapan hotel itu merupakan hasil dari hutan Terengganu.

Kemasan yang diilhamkan daripada rumah tradisional Terengganu dan dihasilkanoleh tukang diraja itu benar-benar menjadikan hasilnya yang terbaik dan tersendiri.

Teruja benar saya dengan keindahan dan keunikan corak awan larat yang terdapat di setiap sudut hotel itu sendiri.

Saya tahu keindahan corak yang tidak terdapat di mana-mana hotel lain ibu kota ini membawa konsep tradisional yang tidak ditelan kemodenan.

Pastinya pemandangan indah dari lebih 300 bilik hotel yang mengadap KLCC benar-benar menjanjikan kepuasan kepada pengunjung. Katakan sahaja aspek tradisional Malaysia, semuanya terdapat di sini.

Hotel yang lengkap dan beroperasi sepenuhnya pada awal September lepas itu juga menyediakan pelbagai fasiliti termasuk restoran kelas satu yang menyediakan pelbagai jenis makanan tradisional Melayu sehingga paling moden untuk pengunjungnya.

Namakan sahaja apa makanan tradisi masyarakat Melayu sehingga yang paling moden semuanya akan disediakan chef hotel itu yang berpengalaman.

Sungguh saya terpegun apabila mengetahui misi mereka yang mahu mengekalkan konsep sejarah dan kontemporari kepada setiap pengunjung.

Selain mempamerkan keindahan hotel, saya dapati pihak pengurusan juga tidak dapat lari daripada menarik perhatian golongan korporat untuk ke sana.

Penyediaan bilik mesyuarat eksekutif yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk Wi-Fi untuk apa juga acara korporat menjadi satu kewajipan kepada mereka untuk memastikan setiap perjalanan majlis korporat sesempurna mungkin dan konsep `one stop centre’ menjadi penyelesaian kepada setiap tetamu korporat hotel itu.

Apabila melangkah masuk ke dalam biliknya pula, saya seakan hilang kata-kata untuk menggambarkan keindahannya yang cukup menawan.

Terlalu indah. Campuran kayu, tekstil dan seramik yang menjadi asas setiap bilik disifatkan benar-benar sempurna.

Saya tahu, adunan seni yang diambil dari setiap negeri di negara ini menjadikan hotel itu benar-benar melambangkan seni dan budaya negara.

Tengok sahaja corak awan larat Terengganu, labu sayung yang direka sebagai lampu, dataran Mahsuri yang diambil namanya untuk tempat makan dan dewan besar yang dinamakan sempena sejarah negeri Melaka, itu sudah cukup rasanya untuk menggambarkan kehebatan hotel ini yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Apa lagi bahasa yang boleh menggambarkan erti lengkap, padat dan setiap lokasi lengkap dengan sejarahnya yang tersendiri.

Saya yakin pelancong tempatan dan asing akan puas apabila menetap di sini.

Belum puas saya berkhayal tentang keindahan bilik, keterujaan semakin bertambah apabila dihidangkan dengan kemudahan kontemporari moden seperti televisyen paparan cecair kristal (LCD) dan talian internet jalur lebar.

Unik, sungguh unik kerana di setiap bilik di Royale Chulan disiapkan beranda untuk tetamu berehat sambil menikmati udara segar dan pemandangan ibu negara.

Dalam hati saya berdetik;

``Ini konsep `ambil angin’ di luar rumah yang lazim diamalkan oleh orang Melayu di kampung dan diaplikasikan sepenuhnya dalam setiap bilik di hotel ini.''

Saya tahu pihak hotel ini tidak boleh tidak perlu mengekalkan konsep rakyat negara ini yang lebih senang mengambil angin di luar rumah sambil menikmati pemandangan cantik di luar sana.

Konsep balkoni ala rumah kampung ini menjadi satu kekuatan hotel ini dan ia benar-benar berbeza daripada hotel lain yang berhampiran.

Sesungguhnya, seindah namanya, Royale Chulan pasti menjadi kenangan paling manis untuk pengunjung yang benar-benar tahu menilai keindahan sebuah penginapan bertaraf diraja.

Betul kan kata saya. Semuanya ada di ibukota...

Monday, November 30, 2009

Menanti Menara `Nakhoda' Kuala Lumpur


Jalan-jalan di sekitar ibukota pada setiap malam sebelum pulang ke rumah sesudah kerja sudah menjadi rutin saya sejak bertahun dahulu.

Entah mengapa malam semalam saya tergerak untuk memandu di sekitar Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak sambil memerhati pemandangan di sana.

Di dalam hati, terpegun melihat sebuah pembinaan tapak lama tempat berlibur karaoke satu masa dahulu sudah `hilang' dan sedang dibina sebuah bangunan baru di sana.

Terlintas bangga, inilah makna kejayaan. Projek bertaraf dunia yang sedang dibina di tengah ibukota dan dijangka siap keseluruhannya pada 2012 itu akan menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur.

The Intermark. Nama yang sudah gah dan menanti masa disiapkan itu akan menjadi satu aset yang bakal menarik lebih ramai pelabur dan pelancong asing ke negara ini.

Ia merupakan `jelmaan semula' Bangunan Empire Tower, City Square, Plaza Ampang dan Crown Princess yang bakal diubah suai dan dinaik taraf menjadi aset terunggul di ibukota.

Siapa sangka, tapak indah di tengah bandaraya itu akan dibangunkan semula mengikut cita rasa terkini dan diberi nafas baru secara kontemporari serta penuh mewah

Ia hasrat mana-mana syarikat hartanah untuk meletakkan kepercayaan kepada pembinaan serta baik pulih semula dalam usaha meningkatkan status kawasan itu sendiri dan dalam masa yang sama `mencuri’ perhatian pelabur kepada `kekuatan’ kawasan baru itu.

Menara utama yang menjadi paksi `kekuatan' The Intermark itu juga bakal membuktikan erti sebenar kualiti dan suasana pejabat alaf baru.

Letaknya di pertemuan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak, pasti menara ini akan menjadi `nakhoda' kepada dua laluan utama ibukota itu sendiri.

Mencuri sedikit perhatian, saya tahu, mercu tanda 39 dan 62 tingkat itu dibina di atas konsep rekaan terbaru yang pasti memenuhi cita rasa sesiapa sahaja di dunia ini.

Perhatian diberi khusus kepada konsep kontemporari yang tidak akan `lari' daripada kehendak semasa sebuah pejabat masa kini.

Jelasnya, pembinaan semula menara itu dilihat `kehendak’ masyarakat sendiri untuk satu suasana baru sekali gus menaik taraf imej bandaraya Kuala Lumpur di mata dunia.

Mercu pertama yang dinamakan Menara Integra bakal membuka dimensi baru pejabat bergred tinggi di ibukota.

Jangan tidak percaya, tapak ini adalah Plaza Ampang yang di baikpulih dan diberi nafas baru pasti memukau pemiliknya dalam tempoh tiga tahun lagi.

The Intermark akan mengubah wajah Empire Tower menjadi bangunan pejabat gred A setinggi 62 tingkat yang akan dikenali sebagai Vista Tower, pusat membeli belah City Square pula akan dinamakan Intermark Mall manakala hotel Crystal Crown pula akan diubah menjadi Hotel Doubletree yang akan di` pegang' Hilton.

Mercu ini apabila siap kelak akan menjadi salah sebuah pejabat yang mengekalkan konsep terkini tanpa mengenepikan perhatian kepada kehijauan kepada setiap ruang sendiri.

Manakala di tapak bersebelahan, Menara Vista setinggi 62 tingkat itu sekali gus merupakan salah sebuah bangunan tertinggi di ibukota akan menjadi mercu kebanggaan semua.

Pasti mencuri perhatian dengan projek baikpulih bangunan yang secara keseluruhannya `ditambah' dengan hotel konsep baru oleh Hilton.

Secara umumnya lokasinya yang terletak betul-betul di sebelah LRT Ampang Park dan 30 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Lebuhraya Maju (MEX) pasti memukau dan menjadi idaman setiap warga kota.

Dunia pasti lebih bererti apabila The Intermark menyediakan kemudahan jalur lebar terpantas dalam kelasnya di setiap inci kawasannya.

Ia memberi suasana terkini dan `warganya' pasti tidak akan terlepas sebarang perkembangan terbaru mengenai apa sahaja.

Jaminan menunggu kurang daripada 30 saat bagi setiap lif juga boleh dijadikan faktor tambah yang memaksa sesiapa sahaja terpegun dengan teknologi itu.

Tempah letak kereta berjumlah 2,500 keseluruhannya menjadikan kawasan itu menjanjikan era baru yang tidak menyesakkan dan keselesaan setiap pengunjungnya kelak.

Tambahan, tahap keselamatan terbaik yang ditawarkan dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap lif, lobi, di dalam lif dan tempat meletak kereta menjamin keamanan dan kepuasan warganya kelak mengenai isu berkenaan.

Syarikat yang bertanggungjawab menyiapkan projek berkenaan, MGPA yang beribu pejabat di Bermuda juga merupakan sebuah nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

MGPA membariskan rata-rata `ahli kumpulan' yang sudah berkecimpung di dalam dunia pembinaan lebih daripada 20 tahun itu pasti menjadi salah satu faktor utama yang menjadikan The Intermark pasti memukau dunia.

Apa lagi yang warga kota boleh harapkan daripada kehidupan penuh keselesaan dan bekerja di dalam suasana penuh kedamaian dan tampak mewah.

Siapa sangka projek `baikpulih' yang menelan belanja hampir 2 billion itu bakal memulangkan erti kepuasan kepada bandaraya Kuala Lumpur sendiri.

Inilah revolusi pembinaan hartanah di kota. Ini kebanggaan Kuala Lumpur dan tiada siapa boleh menjangka pembinaan baik pulih itu bakal menaikkan nama ibukota sebagai salah sebuah bandaraya terbaik dunia.

Saya tahu, The Intermark bakal menjadi mercu tanda baru kebanggaan ibukota...

Sunday, November 29, 2009

Laman Web Lengkap Ibukota





Tidak susah jika anda benar-benar mahu mengetahui tentang sebuah laman web yang serba lengkap mengenai ibukota.

Katakan apa sahaja dari aspek makanan, fesyen, tempat membeli belah, lokasi tumpuan pelancong atau apa sahaja pasti dapat diperolehi daripada web ini.

Jika anda mahu mencari maklumat tentang ibu negara, ingat laman web www.visitkl.gov.my sebagai rujukan kepada setiap maklumat yang diperlukan.

Bukan itu sahaja, laman web itu turut menyediakan pautan kepada lebih 400 rangkaian web lain yang pastinya membantu orang ramai yang mencari maklumat tentang Kuala Lumpur.

Saya yang menghadiri majlis perasmian laman web itu oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail baru-baru ini percaya, laman web itu akan menjadi antara daya penarik kedatangan pelancong ke sini kerana ia menyediakan kemudahan mengakses informasi penting untuk mereka.

Saya memberi jaminan apa sahaja dari tempat penginapan, destinasi menarik, tempat menjamu selera, hiburan dan sebagainya, semuanya ada.

Malahan, laman serba lengkap itu juga akan memberi gambaran keseluruhan tentang Kuala Lumpur.

Ketika saya melayari laman itu sebentar tadi, teruja juga apabila mendapati ia menyediakan kemudahan maklumat lokasi Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE), selain pelbagai promosi yang sedang dan akan diadakan di ibu kota.

Saya pasti, ruang percuma yang disediakan untuk mengiklan dan promosi hanya akan dipilih berdasarkan acara yang utama, besar dan menarik perhatian masyarakat sahaja.

Tidak bosan dengan paparan konsep ceria serta mudah digunakan, lama web itu pasti menjadi pilihan orang ramai untuk mendapat maklumat yang mereka perlukan dengan segara.

Jadi, apa lagi yang anda perlukan, layari http://www.visitkl.gov.my/ untuk segala maklumat mengenai ibukota.

Monday, November 23, 2009

Hotel Tertinggi Negara Di Ibukota


Saya jamin sesiapa yang melalui Jalan Pahang di ibukota pasti menoleh dua kali ke sebuah hotel tinggi mencakar langit di situ.

Masakan tidak, hotel setinggi 184 meter itu sebenarnya merupakan hotel tertinggi negara ini.

Terpegun dengan ketinggian 40 tingkat dan 800 bilik di hotel itu sebenarnya merupakan permulaan untuk terus saya `meneroka' hotel yang pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) kerana ketinggiannya pada Julai 2002 itu.

Kedudukannya yang terletak betul-betul di tengah ibukota dan hanya 55 minit memandu daripada Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hotel ini disifatkan berbeza daripada hotel lain di seluruh Kuala Lumpur.

Lokasinya yang terletak di akses paling mudah untuk ke mana-mana sahaja di ibukota pasti menjamin pengunjungnya untuk menetap di sini.

Ditambah dengan rekod hotel tertinggi di negara ini, sesiapa sahaja pasti teruja untuk menetap di sini selepas mengetahui dapat melihat panorama Kuala Lumpur di hampir setiap biliknya.

Pemandangan yang didapati daripada tingkat atas hotel ini adalah senario keseluruhan Kuala Lumpur yang menjadikan keistimewaannya tidak dapat ditandingi hotel lain di ibukota.

Selain itu, kemudahan serba mewah di setiap bilik dan jalur lebar di seluruh kawasan hotel itu sendiri memberi erti penghargaan kepada mereka.

Dewan utamanya yang boleh memuatkan sehingga 1,300 tetamu dalam satu masa menjadi tarikan syarikat besar untuk mengadakan majlis santai atau berbentuk korporat.

Majlis perkahwinan yang diadakan di dewan itu juga tampak lebih meriah dengan dekorasi dan sistem pencahayaan serta bunyi terkini yang menjadikannya setiap acara yang diadakan dikenang sepanjang hayat.

Itu tidak termasuk 13 bilik mesyuarat yang sedia menanti mana-mana ahli korporat untuk berbincang dan membuat keputusan penting untuk syarikat mereka.

`Penerokaan' diteruskan apabila saya ke tingkat atas hotel berkenaan untuk melihat sendiri pelantar khas yang membolehkan sesiapa meninjau panorama ibukota.

Cantiknya keseluruhan ibukota dari sini lebih-lebih lagi jika selepas hujan.

Unik sungguh pemandangan yang hanya boleh diperolehi dari hotel ini. Anda boleh lihat dua lagi menara tertinggi negara (KLCC dan Menara KL) dengan jelas dari sini.

Terpegun, teruja dan terkasima melihat keindahan Kuala Lumpur lebih-lebih lagi selepas hujan. Terlalu indah dan yang pasti ia hanya boleh dilihat daripada atas Hotel Grand Seasons.

Selain itu, kemudahan pusat bisnes, kolam renang, serta tempat mesyuarat peribadi menjadi faktor tambah yang menjadikan hotel ini benar-benar istimewa.

Apa lagi yang diperlukan penginap di sini. Kemudahan pengantara kepada penginap di sini ke KLCC dan Bukit Bintang menjadi salah satu tarikan kepada sesiapa sahaja.

Menariknya, kemudahan pengantara itu juga ditambah seorang pemandu pelancong yang akan menerangkan penginap serba sedikit mengenai Kuala Lumpur sebelum mereka tiba di destinasi berkenaan.

Inilah sebuah hotel yang tahu `nilai' wang anda, kadar di Hotel Grand Seasons yang berbaloi dengan bilik dan keselesaan keseluruhannya pasti memukau sesiapa sahaja di sini.

Ini hotel yang bakal menyimpan 1001 kenangan manis kepada penginapnya. Ini juga hotel tertinggi negara ini yang menjadi kebanggaan negara kerana rekod ketinggiannya sendiri.

Hampir semua komen daripada laman maya mengenai hotel ini memaparkan ulasan positif dan tidak ketinggalan memberi penghargaan kepada keunikan hotel tertinggi negara ini.

Kebanyakannya memuji keselesaan di setiap bilik, kemudahan tambah gred bilik, diskaun yang ditawarkan serta ramah mesra kakitangannya kepada semua.

Jadi apa lagi yang diperlukan oleh seorang penginap hotel?

Saya pasti semuanya pasti ada di sini.

Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi Hotel Grand Seasons di talian 03 2697 8888, faksimile 03 2698 5888, emel sales@grandseasons.com, layari www.grandseasons.com atau terus ke 72, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Kompleks Meditasi Jantung Alaf Baru di Ibukota


Sakit jantung?

Minta dijauhkan.

Sakit juga?

Tidak mengapa.

Kenapa?

Kerana kompleks baru Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak kini menjadi pusat perkhidmatan perubatan jantung terbaik di negara ini.

Jadi jangan risau. Kompleks indah di permulaan Jalan Tun Razak (jalan paling sesak di awal pagi) kini menjadi lambang binaan serba canggih dan termoden di negara ini.

Lokasinya yang strategik di tengah ibu kota menjadi lambang kemajuan bidang perubatan jantung negara yang kini mendapat pengiktirafan dunia.

Perasmian kompleks baru IJN pada bulan Ogos lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuka satu lagi lembaran baru dalam sejarah perubatan negara.

Kompleks yang menempatkan dua bilik pembedahan, 212 wad dan 35 klinik yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi menjadi bukti kemajuan negara di dalam bidang tersebut.

Saya yang teruja seawal kaki melangkah masuk ke lobi IJN diberitahu, arca kaca yang kelihatan di situ merupakan hasil pelukis dan juru arca prolifik negara, Raja Azhar Raja Lop Idris.

Arca yang bermotif kedamaian dan kebebasan pesakit dari kesakitan itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan dan akan dimasukkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai arca terbesar pernah dihasilkan di negara ini.

Saya terpegun apabila melihat setiap biliknya dihiasi abstrak seni herba tradisional yang menenangkan.

Saya tahu, lukisan herba dan ulam-ulaman tradisional disifatkan dapat merangsang proses penyembuhan.

Saya yakin, lukisan di setiap bilik sebagai `ubat' tambahan yang diharap mampu mempercepatkan proses penyembuhan.

Bangunan baru yang dilengkapi Hybrid Catheterisation Operation Theatre atau nama ringkasnya 'Hybrid Cath OT' merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

Ia merupakan bilik pembedahan 'dua dalam satu' yang menggabungkan makmal kardiovaskular dan bilik pembedahan jantung dalam satu bilik yang akan meningkatkan keupayaan IJN sendiri semasa merawat pesakit jantung.

IJN yang dikorporatkan pada 1 Ogos 1992 berperanan memberi rawatan dan penjagaan kesihatan jantung yang mendahulukan rakyat walaupun bersarungkan imej korporat.

Tiada siapa dapat menafikan bangunan baru itu bakal menjadi penyelesai masalah menunggu sekali gus memberi perkhidmatan perubatan jantung terbaik di negara ini.

Saya tahu kompleks yang menelan belanja lebih RM250 juta itu adalah yang terbaik di dalam kelasnya dan dapat merawat lebih ramai pesakit jantung.

Selain itu, slogan `Caring Beyond Your Heart' yang menjadi pegangan IJN menjadi dasar untuk memastikan setiap pesakit menerima rawatan dan penjagaan yang terbaik.

Bagi saya, khidmat yang diberi merupakan tradisi IJN sendiri sejak dari 1992 dan `perjanjian' kepada masyarakat yang tidak akan dilupakan selama-lamanya.

Dan kompleks baru IJN yang dilawati (bukan kerana sakit jantung) tadi benar-benar membuat saya teruja.

Inilah bangunan indah menjadi mercu ibukota selain pusat meditasi jantung terbaik negara.

Friday, November 20, 2009

Kisah Kompleks `Otai' Ibukota




Ada pepatah mengatakan kehidupan seseorang bermula pada usia 40 tahun.

Kata pujangga itu juga menyamakan angka 40 sebagai lambang kematangan bagi sesiapa sahaja.

Saya sendiri baru berusia 30 tahun. Maknanya saya masih belum matang dan kehidupan juga masih belum bermula.

Angka itu sebenarnya tidak boleh disamakan dengan sebuah pusat membeli belah `otai' di ibukota.

Kurang dari empat tahun lagi, pusat membeli belah tertua di ibukota, Ampang Park ini akan meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-40.

Selepas kelahirannya pada 15 Mac 1973, bangunan itu sebenarnya tidak pernah `sunyi' daripada pengunjung tetapnya.

Sejak dari awal 1970-an, ia terus membangun dan menjadi sebuah kompleks tersohor di ibukota serta lokasi `impian’ untuk pengunjung dari kampung yang tiba ke Kuala Lumpur.

Pada masa itu, nama Ampang Park dilihat begitu gah dan menjadi siulan remaja seawal tahun 1980-an.

Peredaran masa juga menyaksikan kelahiran beberapa lagi pusat beli-belah moden sehingga ada `suara’ yang menyifatkan Ampang Park akan `terkubur’ dengan pembangunan pesat ibukota.

Biarlah kedudukannya hari ini diapit pusat beli-belah bertaraf antarabangsa, Ampang Park yang terletak di Jalan Ampang tidak pernah `mati' malah menjadi lokasi paling strategik golongan berpendapatan pertengahan untuk membeli belah.

Paling menarik, kompleks beli-belah paling tua di ibukota itu tetap utuh dan terus menjadi saksi pembangunan Kuala Lumpur selama ini.

Usia sebenar Ampang Park yang menjangkau 36 tahun kini tidak menafikan langsung kehebatannya menarik pelanggan yang tidak pernah lekang kepercayaan terhadap setiap premis di dalamnya.

Katakan sahaja daripada keperluan harian sehingga pakaian suit bertaraf menteri, semuanya boleh didapati di sini.

Itu tidak termasuk pusat hiburan serta salon yang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan saban hari sehingga larut malam pada setiap hari.

Realitinya di sini, kebanyakan pelanggan adalah `orang lama' yang sudah terlalu biasa dengan setiap pemilik-pemilik premis di Ampang Park.

Saya yang melangkah masuk ke Ampang Park teruja melihat suasana `mesra' pelanggan yang ditunjukkan kebanyakan pemilik premis di sini.

Melihat sendiri keadaan hampir 90 peratus pemilik premis berbangsa Melayu dan saya yakin lebih setengah daripada mereka sudah memulakan perniagaan di Ampang Park melebihi 30 tahun.

Kebanyakan daripada mereka juga mewarisi perniagaan daripada ahli keluarga sejak pusat perniagaan itu mula-mula dibuka dahulu.

Kompleks warisan keluarga Tan Sri Low Keng Seng itu sebenarnya mempunyai satu `kembar' di Singapura dan dinamakan People's Park. Seiring kompleks warisan keluarga, kini ia menjadi salah sebuah pusat tumpuan keluarga, kebanyakannya daripada golongan pertengahan.

Tiada siapa boleh menafikan Ampang Park sebagai pusat membeli belah pertama di ibukota.

Tidak ada seorang boleh mempertikaikan kehebatannya satu masa dahulu namun tetap teguh sehingga hari ini walaupun pelbagai pusat membeli belah dibina berhampiran.

Bangunan yang didiami 214 premis pelbagai kategori dan mempunyai 353 lot letak kereta itu seolah mempunyai tarikan tersendiri kepada warga kota.

Antara rekod yang pernah dicatat oleh Ampang Park ialah pusat membeli belah pertama di negara ini selain membuat dodol terbesar pada tahun 2000.

Menggunakan slogan `Di mana semua orang mengenali anda', Ampang Park disifatkan sebuah pasar raya berkonsep sebuah keluarga besar yang sangat rapat.

Percaya atau tidak, kebanyakan pemilik kedai di sini mempunyai pelanggan mereka yang sudah dikenali sejak bertahun-tahun. Saya pasti layanan mereka bersifat peribadi dan istimewa untuk setiap individu.

Saya tahu setiap pemilik premis kenal muka yang biasa di Ampang Park. Saya anggap warga kompleks ini sudah seperti sebuah keluarga besar yang faham memahami sejak sekian lama.

Saya tersenyum seorang diri dan yakin dengan kemampuan Ampang Park yang boleh `hidup' walau 1,000 tahun lagi.

Tidak teterlaluan jika hari ini saya mahu menjadi wakil keluarga Ampang Park dan mengucapkan terima kasih kepada warga kota yang masih meletakkan kepercayaan kepada kompleks itu walaupun banyak bangunan baru tumbuh di Kuala Lumpur.

Jangan hendak temberang. Orang lama ibukota jangan hendak tukar sejarah. Terimalah kenyatannya.

Kata sahaja siapa tidak kenal Ampang Park. Ini lokasi memori warga Kuala Lumpur untuk membeli belah, berjalan-jalan, beriadah, tempat lepak untuk remaja serta lokasi `dating' paling menarik satu ketika dahulu.

Wednesday, November 18, 2009

Senyumlah Kuala Lumpur


Bait-bait lagu `Senyumlah Kuala Lumpur' yang saya dengar di dalam kereta semasa menuju ke pejabat di Chan Sow Lin tengah hari tadi benar-benar menyentuh perasaan.

Ditambah dengan hujan lebat yang turun mencurah-curah pada setiap hari secara tidak langsung menambah kesyahduan lagu nyanyian Alleycats itu sendiri.

Kisah cinta yang diungkap dalam lagu itu saya andaikan berarah kepada ibukota Kuala Lumpur sendiri.

Tidak keterlaluan saya kata, lagu itu memang ditujukan kepada semua warga kota walaupun menyedari ia boleh juga diberi kepada kekasih yang mungkin ditemui dan bercinta di ibukota.

Saya petik tiga perenggan pertama daripada enam rangkap lagu ini;

``Kuala Lumpur senyumanmu, Dipagi ini, Sungguh bererti,Kerna cinta bersemi lagi, Setelah kemarau panjang, Dilebuhraya Dipapan tanda, Tergambar wajahmu, Dengan kalimat, Cinta untuk kita, Semoga kekal selamanya, Bila ku bisikan puisi cinta, Dan tugu peringatan negara, Bagai tersenyum, Dalam diam bergembira, Memberi sokongan cinta, Agar bersinar sentiasa.''

Syahdu, patah-patah ayat itu sendiri memberi kisah mendalam kepada keindahan Kuala Lumpur. Semangat warga kota yang semakin menebal ditambah saya sendiri merupakan anak jati Kuala Lumpur (lahir di Hospital Kuala Lumpur) semakin mendalam.

Saya sayang Kuala Lumpur

Kagum apabila mendengar lagu ini. Seolah Alleycats mengetahui rahsia di sebalik cinta Kuala Lumpur atau mereka sendiri pernah mengalami setiap peristiwa yang dilalui warga kota sebelum ini.

Terus `hanyut' dalam alunan muzik saya hayati lagi tiga rangkap terakhir lagu itu;

``Berganding tangan, Kita berdua,Menyusuri jalan, Ditengah kota, Sambil senandungkan lagu, Lagu kisah cinta lama, Bilaku bisikan puisi cinta, Dan tugu peringatan negara, Bagai tersenyum, Dalam diam bergembira, Memberi sokongan cinta, Agar bersinar sentiasa, Terimakasih kuucapkan, Oh kepadamu Kuala Lumpur, Kerna kau telah temukan, Cinta antara kami berdua.''

Oh Tuhan, ini baru lagu, saya tahu banyak lagi `unsur' yang diabadikan orang ramai termasuk anak-anak seni terhadap Kuala Lumpur.

Dan saya akan terus `mengorek' rahsia kotaraya. Terus `menyelami' hatinya. Terus `meneroka' perasaannya.

Terima kasih `Senyumlah Kuala Lumpur'. Lagu ini benar-benar memberi erti dalam kehidupan saya sendiri.

Perit getir dan suka duka kehidupan di ibukota. Saya tahu semua pernah merasainya. Saya yakin setiap warga kota pernah jatuh dan bangun semula di dalam hutan batu ini.

Saya tidak sanggup meninggalkan kotaraya. Ini tempat saya dilahirkan, bercinta, susah, senang dan menghabiskan hari-hari yang bakal menjelang.

Lantas saya mendail nombor isteri dan berkata;

``Sayang, di Kuala Lumpur inilah kita bertemu.''

Tuesday, November 17, 2009

Syyy. Ini Rahsia Kita


``Syyy. Ini rahsia. Rahsia kita berdua. Mari ikut saya ke satu tempat yang dinamakan syurga ibukota. ’’

Ketika melalui Lorong Kuda, Off Jalan Stonor tadi, saya terpandang satu papan tanda pembangunan pembangunan sebuah projek pembangunan kediaman dan komersial bersepadu bertaraf dunia seluas 3.6 hektar di sana.

Saya tahu inilah mercu tanda baru ibukota. Selain KLCC dan Menara KL yang sudah menjadi popular di seluruh negara, saya yakin Platinum Park, sebuah projek Kumpulan Naza, TTDI Development Sdn. Bhd. (TTDI) bakal menjadi salah satu mercu tanda kebanggaan negara berada di tengah bandar.

Ibarat `syurga dalam bandar', infrastruktur bernilai RM3.5 bilion itu boleh diibaratkan seperti sebutir permata yang berkilau dan berstatus lebih dari lima bintang daripada pandangan semua.

Seperti tidak sabar menunggu tujuh tahun lagi untuk projek itu siap sepenuhnya, saya tahu penantian untuk merealisasikan mercu tanda itu dilihat adalah penantian yang sangat berbaloi.

Projek untuk semua lapisan masyarakat yang meliputi taman landskap, tujuh menara, termasuk tiga menara kondominium mewah dengan 287 unit kediaman, tiga menara pejabat gred A dan sebuah menara apartmen perkhidmatan lima bintang itu juga bakal menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Apa lagi yang hendak dibuktikan oleh tentang kehebatan Platinum Park, sebuah projek mega yang bakal meletakkan satu mercu tanda negara itu sebaris dengan bangunan hebat lain di peringkat antarabangsa.

Projek yang mendapat reaksi positif kerajaan termasuk daripada pelabur luar negara itu pasti memberi keuntungan kepada pelabur berkenaan.

Pasti warga kota akan terpegun apabila menara ini disiapkan kelak kerana aplikasi konsep seni bina lengkap dengan rangkaian komunikasi dan sistem keselamatan terkini akan disediakan kepada penghuninya.

Bangunan berkonsep `hijau' yang bakal menggunakan tenaga, air serta material paling optimum itu akan `menyambut' pelanggan mereka dengan senario tenang dan aman yang pasti memuaskan hati sesiapa sahaja yang berkunjung.

Sempat saya berhenti di tepi Jalan Stonor, membayangkan reka bentuk kontemporari yang akan menjadi dasar pembinaan Platinum Park pasti menjadi `idaman' setiap individu
yang mahukan makna sebenar kepuasan diri dan ketenangan jiwa.

Saya tahu, apabila ia siap kelak, bangunan ini akan menjadi simbol kemewahan tapak dan tidak meninggalkan reka bentuk kontemporari yang terkini serta tidak ditelan zaman.

Jadi tidak salah kalau saya kata inilah syurga di dalam bandar selain menjadi salah satu pembinaan terhebat di negara ini.

Ini juga `port’ baru warga kota yang pasti menawarkan taraf kehidupan terkini dan sempurna kepada mereka.

Tidak percaya lagi ia syurga ibukota? Ambil peranti internet kamu dan layari sendiri laman http://www.platinumpark.com.my

``Syyy. Tapi kamu kena ingat. Ini rahsia. Saya beritahu kamu seorang sahaja.’’

Sunday, November 15, 2009

Lumba Kereta F1 Di Menara KL?



Ingin memandu kereta F1?Atau ingin merasai sendiri debaran berlumba di litar sebenar seluruh dunia?

Sebenarnya warga kota boleh merasai semua itu di Menara KL. Percaya atau tidak sebuah premis di Menara KL mempunyai semua itu.

Premis konsep simulator F1 yang pertama kali diadakan di negara ini, ia merupakan tarikan terbaru di Menara KL.

Izinkan saya membawa anda semua ke sebuah lokasi strategik untuk pelbagai peringkat umur melepak sambil menguji ketangkasan diri memandu kereta lumba.

Dengan caj hanya RM10 yang dikira sekali di atas permintaan pengunjung ke Menara KL, kadar itu dikira terlalu murah dengan pengalaman yang bakal diperolehi.

Setengah hari saya di sini dan kagum kerana premis itu tidak pernah putus dengan pengunjung dalam serta luar negara yang mahu memandu kereta F1.

Saya bernasib baik kerana kebetulan bertemu pemilik galeri simulator F1 itu, Sithambaran Kuppoo atau lebih mesra dengan panggilan Param yang berkata, konsep simulator sebenar itu sebenarnya sudah lama diperkenalkan di luar negara.

Jelas Param, program komputer yang dipasang pada setiap lapan kereta simulator di sini adalah rekaan sepenuhnya daripada konsep pemanduan sebenar.

Saya diberi peluang mencuba sendiri memandu kereta simulator dan benar-benar teruja dengan teknologi ini.

Janji Param kepada semua bakal pelanggannya;

``Pelanggan yang datang ke sini akan dibawa ke alam tersendiri. Kita memberi jaminan mereka akan benar-benar `layan'.

``Masuk ke dalam kereta simulator sebenar yang pasti melekakan. Gegaran mengambil pusingan dan ketakutan kemalangan akan menjadi faktor utama setiap pemandu tidak akan puas di sini.''

Galeri ini dibuka seawal 10 pagi sehingga 8 malam. Galeri ini juga menyediakan `kelas' untuk peminat F1 yang baru hendak belajar memandu laju.

Sempat juga saya bertemu dengan lima kakitangan `cun' serta `handsome' yang bekerja dengan Param dan difahamkan sudah dilengkapi latihan khusus untuk mengajar pengunjung berlumba kereta.

Dan semasa bersalaman dengan petugas di sana yang memperkenalkan nama mereka sebagai Florance, Madusari, Mala, Seha dan Charles, saya yakin mereka pasti memberi tunjuk ajar terbaik kepada setiap pengunjung yang mengunjungi salah satu lokasi lepak paling strategik untuk warga kota.

Memorial Bapa Kemerdekaan - Di Sini Sejarah Negara Dilahirkan


Pagi ini saya berkesempatan ke Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Bangunan yang dibina sebagai simbol menghargai jasa baik dan bakti seorang negarawan terulung dan Bapa Kemerdekaan.

Lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar iaitu di Jalan Dato' Onn menjadi pusat himpunan semua warisan, nilai-nilai kepimpinan dan pusat perolehan bahan yang menghidupkan sejarah negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri pertama negara.

Projek hasil usaha kerajaan dan rakyat untuk memperingati seorang negarawan terhadap perjuangan, pengorbanan, harapan serta aspirasi seorang pemimpin terhadap negara, bangsa dan agama.

Menyusuri tiga bangunan di sana dengan melihat air pancut yang memaparkan kisah kehidupan ringkas Tunku yang terpahat di atas batu granit di dalam kolam berkenaan membawa pengunjung rentetan hidup tokoh negara berkenaan.

Sejarahnya dari dilahirkan, susur galur kehidupan sehingga nafas terakhirnya menimbulkan rasa keinsafan terhadap pejuang kemerdekaan negara yang terulung.

Bangunan itu sendiri menempatkan ruang pameran, gedung simpanan bahan, bilik penyelidikan, auditorium, ruang kerja serta pejabat asal Tunku.

Reka bentuknya yang merangkumi tiga bangunan penting iaitu Bangunan Residensi sebagai kompleks terbesar serta dua lagi bangunan iaitu di sebelah kiri dan kanan bangunan utama.

Bangunan di sebelah kiri dan kanan pula menempatkan ruang pameran, tempat simpanan, ruang penyelidikan serta pejabat.

Keluasan kawasan seluas 2.5 hektar yang mula dibina pada 7 Julai 1992 dan dirasmikan pada 10 November 1994 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Tempoh pembinaan selama 18 bulan berharga kira-kira RM33 juta itu benar-benar mencipta sejarah terhadap pembinaan sebuah bangunan memorial tidak ternilai di negara ini.

Saya yang berpeluang `meneroka' memorial ini benar-benar teruja dengan barangan peninggalan asli daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Bangunan Residensi benar-benar membuat sesiapa sahaja terpegun kerana ia merupakan kediaman rasmi Ketua Menteri Tanah Melayu pertama, Perdana Menteri Tanah Melayu pertama dan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia pertama.

Almarhum Tunku menduduki rumah itu dari tahun 1956 sehingga 1970 iaitu selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

Bangunan kediaman dua tingkat yang memuatkan pejabat peribadi Tunku, bilik Cairo, makan, rehat dan menunggu di tingkat bawah.

Manakala tingkat dua pula memuatkan bilik tidur utama Tunku, bilik tidur utama serta bilik rehat yang dilengkapi perabot asal semasa Tunku menduduki rumah itu satu masa dahulu.

Bangunan Blok A yang mempunyai tiga aras memuatkan galeri Tunku dan sejarah kemerdekaan negara di tingkat bawah.

Sementara aras satu dijadikan tempat pameran tetap Tunku dan aras dua dijadikan auditorium yang digunakan sebagai lokasi ceramah, tayangan filem, persembahan serta seminar.

Ia dilengkapi alat-alat sistem tayangan filem selain boleh menempatkan seramai 220 orang pada sesetiap masa.

Begitu juga bangunan Blok B turut mempunyai tiga aras yang menempatkan perpustakaan serta dewan penyelidikan di tingkat bawah.

Menariknya dewan ini boleh memuatkan 30 penyelidik dalam satu masa selain mudah dikunjungi kerana letaknya berhampiran dengan pintu masuk memorial.

Aras satu pula menjadi gedung simpanan barangan Tunku yang `dipelihara' dalam kawalan suhu yang sesuai.

Manakala aras tiga pula memuatkan pejabat pengurusan serta dokumen pengisytiharan kemerdekaan yang ditulis di atas batu granit hitam bertulisan jawi dalam bahasa Malaysia dan rumi dalam bahasa Inggeris.

Paling saya terpegun apabila melihat meja mesyuarat kabinet pertama serta bangunan pejabat lama asli yang berada di sini.

Ditambah dengan menyaksikan sendiri ruang makan serta bilik tidur dan tetamu Tunku, saya rasakan, inilah memorial paling indah yang boleh didapati di ibukota.

Pengunjung juga tidak boleh melepaskan peluang membeli `buah tangan' di kedai cenderamata yang menjual barangan serta pelbagai penerbitan berkaitan Tunku.

Memorial ini dibuka pada setiap hari termasuk cuti am dan semasa cuti sekolah kecuali hari Isnin pada pukul 10 pagi sehingga 5.30 petang.

Kemasukan adalah percuma dan sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi pihak Memorial Tunku Abdul Rahman di talian 03 26947277 atau fax 03 26947187.

Sepetang Di Brickfields


Biar saya mulakan dengan mengucapkan Tahniah! Tetapi sedap sedikit kalau disebut menggunakan bahasa Tamil `Valztugal', ertinya sama sahaja tetapi pasti menambah perisa dan keistimewan kepada penduduk ibukota yang berbilang kaum.

Bukan apa, saya tidak sabar hendak menunggu wajah baru kawasan tumpuan orang India di ibukota, Brickfields awal tahun depan.

Petang tadi, walaupun hujan, saya sempat menjengah Brickfields. Saya memilih untuk menaiki LRT sahaja kerana tahu senang benar untuk ke sini.

Semuanya kerana KL Sentral yang merupakan pusat kenderaan awam (LRT, Komuter dan ERL) selain Stesen Monorail berada benar-benar di `jantung' Brickfields.

Memilih untuk duduk di sebuah kedai makan sambil menikmati tosai `original', saya tiba-tiba teringat;

Sejak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini mengumumkan mahu menjadikan Brickfields sebagai Little India tahun depan, saya tahu, ia pasti menjadi tempat baru tumpuan pelancong.

Sebelum ini pun, kawasan ini sudah digelar Little India kerana majoriti penduduk dan peniaga di sana adalah kaum India.

Pengumuman yang dibuat selepas membuat lawatan bersama Timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Pengerusi Persatuan Peniaga Brickfields, S. Barath di sana tempoh hari pasti membuat semua tersenyum.

Teringat juga stail Nong Chik menggayakan salam 1Malaysia sambil menunjukkan jari telunjuknya, pengumuman Datuk itu pasti menggembiran masyarakat di sana.

Saya tahu, Nong Chik sendiri pasti sudah lebih awal tahu, kawasan Brickfields itu bukan tempat sembarangan, ia boleh menjana keuntungan kepada penduduk di sana. Ia akan menjadi lokasi terpenting kaum India di ibukota sekali gus menjana sumber pendapatan dalam sektor pelancongan .

Saya petik kata-kata Nong Chik;

``Kita akan menjadikan kawasan ini secara rasmi sebagai Little India awal tahun depan. Kita mahu kawasan ini diiktiraf sebagai lokasi pelancongan dan tumpuan orang India.

``Perbincangan mengenai projek itu sudah di tahap akhir. Kita mahu ia dikomersialkan seperti Jalan Petaling yang menjadi China Town untuk orang Cina di ibu kota.''

Kedudukannya di dalam koordinat 3°7′47″N 101°41′3″E Kuala Lumpur pasti menjadi titik temu yang wajib diingat pelancong selepas mereka kembali ke negara masing-masing.

Saya yakin pelancong yang ke sini akan bercerita tentang kehebatan Little India Malaysia dan tidak keterlaluan jika mungkin ada yang berpendapat kawasan ini sudah menggambarkan keseluruhan negara India sendiri.

Masakan tidak, wangian rempah ratus India dan jualan kalungan bunga di sepanjang jalan tidak termasuk makanan tradisional mereka pasti membangkitkan rasa kepada apa sahaja berkenaan kaum itu.

Katakan apa sahaja, pengunjung Brickfields boleh mendapatkan apa sahaja daripada alatan sembahyang dan perhiasan rumah, pelbagai jenis pakaian tradisional kaum India seperti Saree, Vetti, Jeepa, Kurtas dan Punjabi atau pelbagai manisan seperti Laddu, Gilebi, Kendi dan Bundi selain ditemani irama muzik lagu Tamil dan Hindustan apabila saya berjalan kaki menyusuri di sepanjang jalannya.

Ya, perbincangan khusus untuk menjadikan Brickfields secara rasmi sebagai Little India juga sudah berada di tahap akhir dan menunggu beberapa prosedur untuk diluluskan.

Jadi bila Nong Chik kata, keperluan untuk menjadikan Brickfields sebagai Little India dilihat penting untuk kemajuan kawasan itu sendiri, saya tahu pasti ada sesuatu kejutan yang akan dilakukan untuk menjadikannya satu lokasi yang bakal menjadi bualan ramai.

``Rende Velli (Dua ringgit).'' Pelayan restoran ini benar-benar mengejutkan lamunan saya tentang Little India.

Dan selepas membayar harga untuk sekeping tosai dan teh tarik, saya beredar dengan 1001 harapan serta keyakinan untuk melihat nama Brickfields bakal menjadi gah setanding gelaran Little Indianya.

Friday, November 13, 2009

Yakin Boleh Nong Chik


Saya sebenarnya terkejut apabila Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak mengumumkan nama Kementerian Wilayah Persekutuan ditambah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tempoh hari.

Terbayang di mata, kerja keras yang akan dipikul Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang selama ini sudah bekerja gigih untuk memajukan ibukota dari setiap sudut.

Namun saya juga melihat pengumuman kerajaan itu sebagai tanda positif dan simbol simbolik kerajaan untuk memberi lebih tumpuan kepada isu berkaitan kesejahteraan bandar.

Yakin boleh Nong Chik, lihat pengumuman itu juga tanda kepercayaan kerajaan kepada usaha yang telah dilakukan selama ini, pertukaran nama itu juga memberi skop lebih luas terhadap peranan kementerian serta tambahan tugas yang perlu dilakukan kini.

Saya tahu, misi kementerian Nong Chik sendiri untuk menghapuskan kemiskinan di ibu kota juga dilihat dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat.

Kerana itu apabila bertemu sendiri dengan Nong Chik baru-baru ini, Menteri yang sudah melepasi separuh abad itu berjanji akan memberi lebih penekanan kepada isu (kemiskinan) bandar dan katanya tanggungjawab ini akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Baguslah Datuk kalau begitu...selama ini kita mungkin melihat masih ada kelemahan di ibukota, kita sedar ada ruang yang perlu dibaiki, ada lompong yang masih dambakan perubahan.

Jadi apabila Nong Chik membuat muka senyum ala-ala umur 20-annya, saya tahu impiannya untuk melihat Wilayah Persekutuan maju secara keseluruhannya bukan lagi omong kosong.

Selain itu, Nong Chik menjelaskan penambahan nama kementeriannya juga merupakan tanda penghargaan kerajaan sekali gus memberi kesan positif kepada usaha untuk menghapuskan kemiskinan di bandar.

Yakin boleh Datuk, warga kota tahu Nong Chik boleh buat.

Lagi-lagi selepas Nong Chik kata pengumuman kerajaan untuk menambah pembinaan rumah mampu milik juga menjadi teras yang membuktikan usaha Najib untuk membela rakyat selama ini bukan ‘cakap kosong’.

Saya sendiri faham dan merasai sendiri betapa gigihnya Nong Chik ini membela warga kota. Beliau sendiri timbul daripada kesusahan setinggan Kerinchi dan berjuang selama ini untuk memajukan penduduk setempat.

Selamat maju jaya Nong Chik, pengumuman Najib sebenarnya cabaran kerajaan untuk melihat Datuk terus ` jalan ke depan' (baca mengikut intonasi iklan Petronas).

Warga kota semua yakin hasrat kerajaan yang membuktikan keinginannya membela masyarakat akan menjadi kesinambungan kepada Nong Chik untuk terus menjadikan hasrat itu sebagai kenyataan.

Jangan risau Datuk, saya jamin semua akan berdiri di belakang Datuk untuk menyokong setiap usaha memajukan Wilayah Persekutuan.

Penat pasti penat dan hasilnya nanti akan dikenang sehingga akhir hayat

Dan apabila mendengar sendiri janjinya kepada warga kota;

“Saya akan memikul tanggungjawab besar ini dan memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan lancar. Ini tekad saya dan semuanya akan cuba direalisasikan dengan berkesan.”

Berdetik hati saya, orang tua ini pasti boleh, saya yakin dia boleh buat, dia bukan calang-calang manusia...

Thursday, November 12, 2009

Pasar Seni - Cermin Kebudayaan Negara


Sejak bangunan ini memulakan operasi sebagai sebuah pasar basah kira-kira 121 tahun lalu, realitinya Pasar Seni tidak pernah lesu dan lengang daripada menjadi tumpuan masyarakat.

Saya terbuka hati untuk mengunjungi semula bangunan indah yang mencatat tahun penubuhan 1888 dan menjadi pusat menjual pelbagai produk segar pada masa itu, menyedari kini telah mengalami banyak perubahan.

Namun perubahan menuju sebuah lokasi budaya dan pusat festival sejak awal 1980-an benar-benar memberikan Pasar Seni, satu evolusi baru terhadap produk pelancongan negara.

Katakan apa sahaja budaya tradisi di 14 negeri dalam Malaysia,semuanya ada di sini, lebih tepat lagi Pasar Seni merupakan cermin kepada pelbagai budaya, kesenian dan kraftangan tempatan.

Dibuka secara rasmi pada 15 April 1986, Pasar Seni mengekalkan struktur bangunan asalnya walaupun sudah menjadi sebuah pusat seni dan kebudayaan.

Bayangkan sebuah pasar basah satu ketika dahulu kini menjadi sebuah pusat pelancongan paling menarik di ibukota.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kunjungan pelancong ke negara ini tidak akan lengkap tanpa berkunjung ke Pasar Seni.

Terletak di sepanjang Jalan Hang Kasturi dan beberapa minit berjalan kaki dari Jalan Petaling, bangunan keramat itu juga dilihat jantung kepada Kuala Lumpur.

Lokasinya mudah untuk dikunjungi. Bertanyalah kepada siapa sahaja warga Kuala Lumpur, pasti mereka boleh menunjukkan jalan ke Pasar Seni.

Tiada hairanlah jika ramai yang menjadikan Pasar Seni sebagai titik pertemuan untuk bertemu rakan-rakan sebelum ke tempat lain.

Selain menggunakan sistem transit aliran ringan (LRT), pelbagai perkhidmatan bas juga boleh digunakan untuk ke Pasar Seni.

Malah, semasa bas mini beroperasi di ibu negara suatu ketika dahulu,semua perkhidmatan bas tersebut pasti melalui Pasar Seni atau lebih terkenal dengan nama CM (Central Market) di kalangan konduktor bas mini.

Ketika melangkah masuk ke Pasar Seni, pengunjung akan dapat merasakan suasana harmoni yang meliputi budaya tiga etnik terbesar di negara ini.

Konsep Melayu, Cina dan India yang diilhamkan sebagai tema di setiap sudut Pasar Seni cukup menjadi bukti bangunan itu sebenarnya lambang kepada keharmonian dan seni budaya negara.

Selain itu, pengumuman Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) baru-baru ini yang mahu menjadikan Pasar Seni sebagai pusat kesenian setempat dalam menyemarakkan seni dan budaya juga disifatkan langkah membangun dan memartabatkan lagi kebudayaan dan kesenian ke tahap yang lebih tinggi.

Kehadiran kira-kira 13,000 pengunjung pada hari biasa dan mencecah sehingga 18,000 orang pada hari minggu membuktikan Pasar Seni sememangnya mempunyai tarikan tersendiri.

Jumlah itu merangkumi 40 peratus pelancong asing dan selebihnya rakyat tempatan.

Sempat saya bertemu beberapa pelancong dan salah seorang adalah pelancong dari New Zealand, Andrew Bradi yang berkata, Pasar Seni merupakan salah satu lokasi yang wajib dikunjungi di negara ini.

Sambil mengaku sudah melawat Malaysia sebanyak empat kali, Bradi menjelaskan, Pasar Seni sudah melalui banyak perubahan yang menarik.

"Saya mesti ke sini untuk mencari cenderamata. Pasar Seni menghimpunkan semua budaya yang terdapat di negara ini.

"Saya sudah melancong sehingga ke Sabah dan mendapati setiap produk budaya di negeri-negeri itu boleh diperoleh di sini," ujarnya.

Katanya lagi, Pasar Seni juga menjadi bualan kawan-kawan di negaranya sebagai satu tempat tumpuan selain Menara Kuala Lumpur dan KLCC.


Bangunan Pusat Seni dibinapada 1888 dan menjadi pusat menjual pelbagai produk segar pada masaitu, kini telah mengalami banyak perubahan.


"Saya rasa Pasar Seni sudah lengkap dengan segala-galanya. Ia menggambarkan Malaysia dari setiap aspek.

"Harga barangannya juga berpatutan jika hendak dibandingkan dengan tempat asal cenderamata itu sendiri. Sebagai contoh saya dapat membeli kain batik Kelantan dengan harga yang tidak jauh beza jika dibeli disana," katanya.

Perjalanan diteruskan dengan bertemu pula dengan seorang lagi pelancong dari New Zealand, Norma menjelaskan,pembahagian tiga lorong iaitu Lorong Melayu, Selat Cina dan Little India dilihat sebagai keunikan bagi menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan masyarakatnya berbilang kaum.

"Ini (pembahagian kepada tiga lorong) usaha yang menunjukkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara yang mewakili pelbagai bangsa," jelasnya.

Pelancong Kanada, Ted Fromson pula berkata, perasaannya teruja apabila pertama kali melawat Pasar Seni kerana sebelum ini hanya membaca sahaja tentangnya.

"Saya membaca mengenai Pasar Seni di beberapa laman web dan mendapati realitinya jauh lebih cantik daripada gambar di Internet.

"Menarik dan saya akan datang lagi ke sini jika ke Malaysia satu hari nanti," katanya.

Isterinya, Jill turut mengakui kecantikan Pasar Seni dan sempat 'memborong' cenderamata kenangan untuk kawan-kawan di negaranya.

"Saya sudah mengelilingi Malaysia dan merumuskan Pasar Seni sememangnya menjadi cermin kepada negara ini.

"Katakan apa sahaja dari makanan atau pakaian etnik negara ini, semuanya ada di Pasar Seni," ujarnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Pasar Seni dan aktiviti berkaitan boleh melayari www.centralmarket.com.my, menghubungi talian 1300-22-8688 atau faks 03-2032 2399.