Sunday, November 15, 2009

Memorial Bapa Kemerdekaan - Di Sini Sejarah Negara Dilahirkan


Pagi ini saya berkesempatan ke Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Bangunan yang dibina sebagai simbol menghargai jasa baik dan bakti seorang negarawan terulung dan Bapa Kemerdekaan.

Lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar iaitu di Jalan Dato' Onn menjadi pusat himpunan semua warisan, nilai-nilai kepimpinan dan pusat perolehan bahan yang menghidupkan sejarah negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri pertama negara.

Projek hasil usaha kerajaan dan rakyat untuk memperingati seorang negarawan terhadap perjuangan, pengorbanan, harapan serta aspirasi seorang pemimpin terhadap negara, bangsa dan agama.

Menyusuri tiga bangunan di sana dengan melihat air pancut yang memaparkan kisah kehidupan ringkas Tunku yang terpahat di atas batu granit di dalam kolam berkenaan membawa pengunjung rentetan hidup tokoh negara berkenaan.

Sejarahnya dari dilahirkan, susur galur kehidupan sehingga nafas terakhirnya menimbulkan rasa keinsafan terhadap pejuang kemerdekaan negara yang terulung.

Bangunan itu sendiri menempatkan ruang pameran, gedung simpanan bahan, bilik penyelidikan, auditorium, ruang kerja serta pejabat asal Tunku.

Reka bentuknya yang merangkumi tiga bangunan penting iaitu Bangunan Residensi sebagai kompleks terbesar serta dua lagi bangunan iaitu di sebelah kiri dan kanan bangunan utama.

Bangunan di sebelah kiri dan kanan pula menempatkan ruang pameran, tempat simpanan, ruang penyelidikan serta pejabat.

Keluasan kawasan seluas 2.5 hektar yang mula dibina pada 7 Julai 1992 dan dirasmikan pada 10 November 1994 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Tempoh pembinaan selama 18 bulan berharga kira-kira RM33 juta itu benar-benar mencipta sejarah terhadap pembinaan sebuah bangunan memorial tidak ternilai di negara ini.

Saya yang berpeluang `meneroka' memorial ini benar-benar teruja dengan barangan peninggalan asli daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Bangunan Residensi benar-benar membuat sesiapa sahaja terpegun kerana ia merupakan kediaman rasmi Ketua Menteri Tanah Melayu pertama, Perdana Menteri Tanah Melayu pertama dan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia pertama.

Almarhum Tunku menduduki rumah itu dari tahun 1956 sehingga 1970 iaitu selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

Bangunan kediaman dua tingkat yang memuatkan pejabat peribadi Tunku, bilik Cairo, makan, rehat dan menunggu di tingkat bawah.

Manakala tingkat dua pula memuatkan bilik tidur utama Tunku, bilik tidur utama serta bilik rehat yang dilengkapi perabot asal semasa Tunku menduduki rumah itu satu masa dahulu.

Bangunan Blok A yang mempunyai tiga aras memuatkan galeri Tunku dan sejarah kemerdekaan negara di tingkat bawah.

Sementara aras satu dijadikan tempat pameran tetap Tunku dan aras dua dijadikan auditorium yang digunakan sebagai lokasi ceramah, tayangan filem, persembahan serta seminar.

Ia dilengkapi alat-alat sistem tayangan filem selain boleh menempatkan seramai 220 orang pada sesetiap masa.

Begitu juga bangunan Blok B turut mempunyai tiga aras yang menempatkan perpustakaan serta dewan penyelidikan di tingkat bawah.

Menariknya dewan ini boleh memuatkan 30 penyelidik dalam satu masa selain mudah dikunjungi kerana letaknya berhampiran dengan pintu masuk memorial.

Aras satu pula menjadi gedung simpanan barangan Tunku yang `dipelihara' dalam kawalan suhu yang sesuai.

Manakala aras tiga pula memuatkan pejabat pengurusan serta dokumen pengisytiharan kemerdekaan yang ditulis di atas batu granit hitam bertulisan jawi dalam bahasa Malaysia dan rumi dalam bahasa Inggeris.

Paling saya terpegun apabila melihat meja mesyuarat kabinet pertama serta bangunan pejabat lama asli yang berada di sini.

Ditambah dengan menyaksikan sendiri ruang makan serta bilik tidur dan tetamu Tunku, saya rasakan, inilah memorial paling indah yang boleh didapati di ibukota.

Pengunjung juga tidak boleh melepaskan peluang membeli `buah tangan' di kedai cenderamata yang menjual barangan serta pelbagai penerbitan berkaitan Tunku.

Memorial ini dibuka pada setiap hari termasuk cuti am dan semasa cuti sekolah kecuali hari Isnin pada pukul 10 pagi sehingga 5.30 petang.

Kemasukan adalah percuma dan sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi pihak Memorial Tunku Abdul Rahman di talian 03 26947277 atau fax 03 26947187.

No comments:

Post a Comment