Sunday, November 15, 2009

Sepetang Di Brickfields


Biar saya mulakan dengan mengucapkan Tahniah! Tetapi sedap sedikit kalau disebut menggunakan bahasa Tamil `Valztugal', ertinya sama sahaja tetapi pasti menambah perisa dan keistimewan kepada penduduk ibukota yang berbilang kaum.

Bukan apa, saya tidak sabar hendak menunggu wajah baru kawasan tumpuan orang India di ibukota, Brickfields awal tahun depan.

Petang tadi, walaupun hujan, saya sempat menjengah Brickfields. Saya memilih untuk menaiki LRT sahaja kerana tahu senang benar untuk ke sini.

Semuanya kerana KL Sentral yang merupakan pusat kenderaan awam (LRT, Komuter dan ERL) selain Stesen Monorail berada benar-benar di `jantung' Brickfields.

Memilih untuk duduk di sebuah kedai makan sambil menikmati tosai `original', saya tiba-tiba teringat;

Sejak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini mengumumkan mahu menjadikan Brickfields sebagai Little India tahun depan, saya tahu, ia pasti menjadi tempat baru tumpuan pelancong.

Sebelum ini pun, kawasan ini sudah digelar Little India kerana majoriti penduduk dan peniaga di sana adalah kaum India.

Pengumuman yang dibuat selepas membuat lawatan bersama Timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Pengerusi Persatuan Peniaga Brickfields, S. Barath di sana tempoh hari pasti membuat semua tersenyum.

Teringat juga stail Nong Chik menggayakan salam 1Malaysia sambil menunjukkan jari telunjuknya, pengumuman Datuk itu pasti menggembiran masyarakat di sana.

Saya tahu, Nong Chik sendiri pasti sudah lebih awal tahu, kawasan Brickfields itu bukan tempat sembarangan, ia boleh menjana keuntungan kepada penduduk di sana. Ia akan menjadi lokasi terpenting kaum India di ibukota sekali gus menjana sumber pendapatan dalam sektor pelancongan .

Saya petik kata-kata Nong Chik;

``Kita akan menjadikan kawasan ini secara rasmi sebagai Little India awal tahun depan. Kita mahu kawasan ini diiktiraf sebagai lokasi pelancongan dan tumpuan orang India.

``Perbincangan mengenai projek itu sudah di tahap akhir. Kita mahu ia dikomersialkan seperti Jalan Petaling yang menjadi China Town untuk orang Cina di ibu kota.''

Kedudukannya di dalam koordinat 3°7′47″N 101°41′3″E Kuala Lumpur pasti menjadi titik temu yang wajib diingat pelancong selepas mereka kembali ke negara masing-masing.

Saya yakin pelancong yang ke sini akan bercerita tentang kehebatan Little India Malaysia dan tidak keterlaluan jika mungkin ada yang berpendapat kawasan ini sudah menggambarkan keseluruhan negara India sendiri.

Masakan tidak, wangian rempah ratus India dan jualan kalungan bunga di sepanjang jalan tidak termasuk makanan tradisional mereka pasti membangkitkan rasa kepada apa sahaja berkenaan kaum itu.

Katakan apa sahaja, pengunjung Brickfields boleh mendapatkan apa sahaja daripada alatan sembahyang dan perhiasan rumah, pelbagai jenis pakaian tradisional kaum India seperti Saree, Vetti, Jeepa, Kurtas dan Punjabi atau pelbagai manisan seperti Laddu, Gilebi, Kendi dan Bundi selain ditemani irama muzik lagu Tamil dan Hindustan apabila saya berjalan kaki menyusuri di sepanjang jalannya.

Ya, perbincangan khusus untuk menjadikan Brickfields secara rasmi sebagai Little India juga sudah berada di tahap akhir dan menunggu beberapa prosedur untuk diluluskan.

Jadi bila Nong Chik kata, keperluan untuk menjadikan Brickfields sebagai Little India dilihat penting untuk kemajuan kawasan itu sendiri, saya tahu pasti ada sesuatu kejutan yang akan dilakukan untuk menjadikannya satu lokasi yang bakal menjadi bualan ramai.

``Rende Velli (Dua ringgit).'' Pelayan restoran ini benar-benar mengejutkan lamunan saya tentang Little India.

Dan selepas membayar harga untuk sekeping tosai dan teh tarik, saya beredar dengan 1001 harapan serta keyakinan untuk melihat nama Brickfields bakal menjadi gah setanding gelaran Little Indianya.

No comments:

Post a Comment