Monday, November 23, 2009

Kompleks Meditasi Jantung Alaf Baru di Ibukota


Sakit jantung?

Minta dijauhkan.

Sakit juga?

Tidak mengapa.

Kenapa?

Kerana kompleks baru Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak kini menjadi pusat perkhidmatan perubatan jantung terbaik di negara ini.

Jadi jangan risau. Kompleks indah di permulaan Jalan Tun Razak (jalan paling sesak di awal pagi) kini menjadi lambang binaan serba canggih dan termoden di negara ini.

Lokasinya yang strategik di tengah ibu kota menjadi lambang kemajuan bidang perubatan jantung negara yang kini mendapat pengiktirafan dunia.

Perasmian kompleks baru IJN pada bulan Ogos lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuka satu lagi lembaran baru dalam sejarah perubatan negara.

Kompleks yang menempatkan dua bilik pembedahan, 212 wad dan 35 klinik yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi menjadi bukti kemajuan negara di dalam bidang tersebut.

Saya yang teruja seawal kaki melangkah masuk ke lobi IJN diberitahu, arca kaca yang kelihatan di situ merupakan hasil pelukis dan juru arca prolifik negara, Raja Azhar Raja Lop Idris.

Arca yang bermotif kedamaian dan kebebasan pesakit dari kesakitan itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan dan akan dimasukkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai arca terbesar pernah dihasilkan di negara ini.

Saya terpegun apabila melihat setiap biliknya dihiasi abstrak seni herba tradisional yang menenangkan.

Saya tahu, lukisan herba dan ulam-ulaman tradisional disifatkan dapat merangsang proses penyembuhan.

Saya yakin, lukisan di setiap bilik sebagai `ubat' tambahan yang diharap mampu mempercepatkan proses penyembuhan.

Bangunan baru yang dilengkapi Hybrid Catheterisation Operation Theatre atau nama ringkasnya 'Hybrid Cath OT' merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

Ia merupakan bilik pembedahan 'dua dalam satu' yang menggabungkan makmal kardiovaskular dan bilik pembedahan jantung dalam satu bilik yang akan meningkatkan keupayaan IJN sendiri semasa merawat pesakit jantung.

IJN yang dikorporatkan pada 1 Ogos 1992 berperanan memberi rawatan dan penjagaan kesihatan jantung yang mendahulukan rakyat walaupun bersarungkan imej korporat.

Tiada siapa dapat menafikan bangunan baru itu bakal menjadi penyelesai masalah menunggu sekali gus memberi perkhidmatan perubatan jantung terbaik di negara ini.

Saya tahu kompleks yang menelan belanja lebih RM250 juta itu adalah yang terbaik di dalam kelasnya dan dapat merawat lebih ramai pesakit jantung.

Selain itu, slogan `Caring Beyond Your Heart' yang menjadi pegangan IJN menjadi dasar untuk memastikan setiap pesakit menerima rawatan dan penjagaan yang terbaik.

Bagi saya, khidmat yang diberi merupakan tradisi IJN sendiri sejak dari 1992 dan `perjanjian' kepada masyarakat yang tidak akan dilupakan selama-lamanya.

Dan kompleks baru IJN yang dilawati (bukan kerana sakit jantung) tadi benar-benar membuat saya teruja.

Inilah bangunan indah menjadi mercu ibukota selain pusat meditasi jantung terbaik negara.

2 comments:

  1. Boleh ke kita pegi melawat saja2..macam menarik untuk dilawati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu untuk Sakit jANTUNG.

      bagaimana dengan sakit mata ?

      Manakah kelinik MATAyang terbaik di Malaysia ?

      Delete