Sunday, November 15, 2009

Lumba Kereta F1 Di Menara KL?



Ingin memandu kereta F1?Atau ingin merasai sendiri debaran berlumba di litar sebenar seluruh dunia?

Sebenarnya warga kota boleh merasai semua itu di Menara KL. Percaya atau tidak sebuah premis di Menara KL mempunyai semua itu.

Premis konsep simulator F1 yang pertama kali diadakan di negara ini, ia merupakan tarikan terbaru di Menara KL.

Izinkan saya membawa anda semua ke sebuah lokasi strategik untuk pelbagai peringkat umur melepak sambil menguji ketangkasan diri memandu kereta lumba.

Dengan caj hanya RM10 yang dikira sekali di atas permintaan pengunjung ke Menara KL, kadar itu dikira terlalu murah dengan pengalaman yang bakal diperolehi.

Setengah hari saya di sini dan kagum kerana premis itu tidak pernah putus dengan pengunjung dalam serta luar negara yang mahu memandu kereta F1.

Saya bernasib baik kerana kebetulan bertemu pemilik galeri simulator F1 itu, Sithambaran Kuppoo atau lebih mesra dengan panggilan Param yang berkata, konsep simulator sebenar itu sebenarnya sudah lama diperkenalkan di luar negara.

Jelas Param, program komputer yang dipasang pada setiap lapan kereta simulator di sini adalah rekaan sepenuhnya daripada konsep pemanduan sebenar.

Saya diberi peluang mencuba sendiri memandu kereta simulator dan benar-benar teruja dengan teknologi ini.

Janji Param kepada semua bakal pelanggannya;

``Pelanggan yang datang ke sini akan dibawa ke alam tersendiri. Kita memberi jaminan mereka akan benar-benar `layan'.

``Masuk ke dalam kereta simulator sebenar yang pasti melekakan. Gegaran mengambil pusingan dan ketakutan kemalangan akan menjadi faktor utama setiap pemandu tidak akan puas di sini.''

Galeri ini dibuka seawal 10 pagi sehingga 8 malam. Galeri ini juga menyediakan `kelas' untuk peminat F1 yang baru hendak belajar memandu laju.

Sempat juga saya bertemu dengan lima kakitangan `cun' serta `handsome' yang bekerja dengan Param dan difahamkan sudah dilengkapi latihan khusus untuk mengajar pengunjung berlumba kereta.

Dan semasa bersalaman dengan petugas di sana yang memperkenalkan nama mereka sebagai Florance, Madusari, Mala, Seha dan Charles, saya yakin mereka pasti memberi tunjuk ajar terbaik kepada setiap pengunjung yang mengunjungi salah satu lokasi lepak paling strategik untuk warga kota.

No comments:

Post a Comment