Wednesday, November 18, 2009

Senyumlah Kuala Lumpur


Bait-bait lagu `Senyumlah Kuala Lumpur' yang saya dengar di dalam kereta semasa menuju ke pejabat di Chan Sow Lin tengah hari tadi benar-benar menyentuh perasaan.

Ditambah dengan hujan lebat yang turun mencurah-curah pada setiap hari secara tidak langsung menambah kesyahduan lagu nyanyian Alleycats itu sendiri.

Kisah cinta yang diungkap dalam lagu itu saya andaikan berarah kepada ibukota Kuala Lumpur sendiri.

Tidak keterlaluan saya kata, lagu itu memang ditujukan kepada semua warga kota walaupun menyedari ia boleh juga diberi kepada kekasih yang mungkin ditemui dan bercinta di ibukota.

Saya petik tiga perenggan pertama daripada enam rangkap lagu ini;

``Kuala Lumpur senyumanmu, Dipagi ini, Sungguh bererti,Kerna cinta bersemi lagi, Setelah kemarau panjang, Dilebuhraya Dipapan tanda, Tergambar wajahmu, Dengan kalimat, Cinta untuk kita, Semoga kekal selamanya, Bila ku bisikan puisi cinta, Dan tugu peringatan negara, Bagai tersenyum, Dalam diam bergembira, Memberi sokongan cinta, Agar bersinar sentiasa.''

Syahdu, patah-patah ayat itu sendiri memberi kisah mendalam kepada keindahan Kuala Lumpur. Semangat warga kota yang semakin menebal ditambah saya sendiri merupakan anak jati Kuala Lumpur (lahir di Hospital Kuala Lumpur) semakin mendalam.

Saya sayang Kuala Lumpur

Kagum apabila mendengar lagu ini. Seolah Alleycats mengetahui rahsia di sebalik cinta Kuala Lumpur atau mereka sendiri pernah mengalami setiap peristiwa yang dilalui warga kota sebelum ini.

Terus `hanyut' dalam alunan muzik saya hayati lagi tiga rangkap terakhir lagu itu;

``Berganding tangan, Kita berdua,Menyusuri jalan, Ditengah kota, Sambil senandungkan lagu, Lagu kisah cinta lama, Bilaku bisikan puisi cinta, Dan tugu peringatan negara, Bagai tersenyum, Dalam diam bergembira, Memberi sokongan cinta, Agar bersinar sentiasa, Terimakasih kuucapkan, Oh kepadamu Kuala Lumpur, Kerna kau telah temukan, Cinta antara kami berdua.''

Oh Tuhan, ini baru lagu, saya tahu banyak lagi `unsur' yang diabadikan orang ramai termasuk anak-anak seni terhadap Kuala Lumpur.

Dan saya akan terus `mengorek' rahsia kotaraya. Terus `menyelami' hatinya. Terus `meneroka' perasaannya.

Terima kasih `Senyumlah Kuala Lumpur'. Lagu ini benar-benar memberi erti dalam kehidupan saya sendiri.

Perit getir dan suka duka kehidupan di ibukota. Saya tahu semua pernah merasainya. Saya yakin setiap warga kota pernah jatuh dan bangun semula di dalam hutan batu ini.

Saya tidak sanggup meninggalkan kotaraya. Ini tempat saya dilahirkan, bercinta, susah, senang dan menghabiskan hari-hari yang bakal menjelang.

Lantas saya mendail nombor isteri dan berkata;

``Sayang, di Kuala Lumpur inilah kita bertemu.''

3 comments: