Friday, November 20, 2009

Kisah Kompleks `Otai' Ibukota




Ada pepatah mengatakan kehidupan seseorang bermula pada usia 40 tahun.

Kata pujangga itu juga menyamakan angka 40 sebagai lambang kematangan bagi sesiapa sahaja.

Saya sendiri baru berusia 30 tahun. Maknanya saya masih belum matang dan kehidupan juga masih belum bermula.

Angka itu sebenarnya tidak boleh disamakan dengan sebuah pusat membeli belah `otai' di ibukota.

Kurang dari empat tahun lagi, pusat membeli belah tertua di ibukota, Ampang Park ini akan meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-40.

Selepas kelahirannya pada 15 Mac 1973, bangunan itu sebenarnya tidak pernah `sunyi' daripada pengunjung tetapnya.

Sejak dari awal 1970-an, ia terus membangun dan menjadi sebuah kompleks tersohor di ibukota serta lokasi `impian’ untuk pengunjung dari kampung yang tiba ke Kuala Lumpur.

Pada masa itu, nama Ampang Park dilihat begitu gah dan menjadi siulan remaja seawal tahun 1980-an.

Peredaran masa juga menyaksikan kelahiran beberapa lagi pusat beli-belah moden sehingga ada `suara’ yang menyifatkan Ampang Park akan `terkubur’ dengan pembangunan pesat ibukota.

Biarlah kedudukannya hari ini diapit pusat beli-belah bertaraf antarabangsa, Ampang Park yang terletak di Jalan Ampang tidak pernah `mati' malah menjadi lokasi paling strategik golongan berpendapatan pertengahan untuk membeli belah.

Paling menarik, kompleks beli-belah paling tua di ibukota itu tetap utuh dan terus menjadi saksi pembangunan Kuala Lumpur selama ini.

Usia sebenar Ampang Park yang menjangkau 36 tahun kini tidak menafikan langsung kehebatannya menarik pelanggan yang tidak pernah lekang kepercayaan terhadap setiap premis di dalamnya.

Katakan sahaja daripada keperluan harian sehingga pakaian suit bertaraf menteri, semuanya boleh didapati di sini.

Itu tidak termasuk pusat hiburan serta salon yang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan saban hari sehingga larut malam pada setiap hari.

Realitinya di sini, kebanyakan pelanggan adalah `orang lama' yang sudah terlalu biasa dengan setiap pemilik-pemilik premis di Ampang Park.

Saya yang melangkah masuk ke Ampang Park teruja melihat suasana `mesra' pelanggan yang ditunjukkan kebanyakan pemilik premis di sini.

Melihat sendiri keadaan hampir 90 peratus pemilik premis berbangsa Melayu dan saya yakin lebih setengah daripada mereka sudah memulakan perniagaan di Ampang Park melebihi 30 tahun.

Kebanyakan daripada mereka juga mewarisi perniagaan daripada ahli keluarga sejak pusat perniagaan itu mula-mula dibuka dahulu.

Kompleks warisan keluarga Tan Sri Low Keng Seng itu sebenarnya mempunyai satu `kembar' di Singapura dan dinamakan People's Park. Seiring kompleks warisan keluarga, kini ia menjadi salah sebuah pusat tumpuan keluarga, kebanyakannya daripada golongan pertengahan.

Tiada siapa boleh menafikan Ampang Park sebagai pusat membeli belah pertama di ibukota.

Tidak ada seorang boleh mempertikaikan kehebatannya satu masa dahulu namun tetap teguh sehingga hari ini walaupun pelbagai pusat membeli belah dibina berhampiran.

Bangunan yang didiami 214 premis pelbagai kategori dan mempunyai 353 lot letak kereta itu seolah mempunyai tarikan tersendiri kepada warga kota.

Antara rekod yang pernah dicatat oleh Ampang Park ialah pusat membeli belah pertama di negara ini selain membuat dodol terbesar pada tahun 2000.

Menggunakan slogan `Di mana semua orang mengenali anda', Ampang Park disifatkan sebuah pasar raya berkonsep sebuah keluarga besar yang sangat rapat.

Percaya atau tidak, kebanyakan pemilik kedai di sini mempunyai pelanggan mereka yang sudah dikenali sejak bertahun-tahun. Saya pasti layanan mereka bersifat peribadi dan istimewa untuk setiap individu.

Saya tahu setiap pemilik premis kenal muka yang biasa di Ampang Park. Saya anggap warga kompleks ini sudah seperti sebuah keluarga besar yang faham memahami sejak sekian lama.

Saya tersenyum seorang diri dan yakin dengan kemampuan Ampang Park yang boleh `hidup' walau 1,000 tahun lagi.

Tidak teterlaluan jika hari ini saya mahu menjadi wakil keluarga Ampang Park dan mengucapkan terima kasih kepada warga kota yang masih meletakkan kepercayaan kepada kompleks itu walaupun banyak bangunan baru tumbuh di Kuala Lumpur.

Jangan hendak temberang. Orang lama ibukota jangan hendak tukar sejarah. Terimalah kenyatannya.

Kata sahaja siapa tidak kenal Ampang Park. Ini lokasi memori warga Kuala Lumpur untuk membeli belah, berjalan-jalan, beriadah, tempat lepak untuk remaja serta lokasi `dating' paling menarik satu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment