Tuesday, December 29, 2009

Tiada `Lena' Di Ibukota


Malam di Kuala Lumpur tidak pernah melabuhkan tirainya.

Tidak keterlaluan disifatkan ibukota ini tidak pernah tidur dan tetap menjadi tumpuan warga 1Malaysianya walau menjelang dinihari.

Katakan apa sahaja tempat berhibur, makan atau hanya lokasi untuk menghabiskan masa, semuanya terdapat di sini.

Dari hujung ke hujung ibukota, warganya sentiasa `hidup' dan memenuhi semua lokasi tumpuan malam di Kuala Lumpur.

Menyusuri pelbagai pusat hiburan di Bukit Bintang, Jalan Pinang dan Jalan Sultan Ismail yang sentiasa meriah pada waktu malam, saya menggambarkan Kuala Lumpur ini sentiasa ceria dan meriah kepada warganya.

Pusat berhibur yang dikategorikan lokasi dansa atau sekadar karaoke bersama teman-teman sehingga jam 3 pagi pada setiap hari di ibukota tidak pernah lengang daripada menyambut tetamu yang silih berganti saban malam.

Selain itu, warga kota juga gemar `menghidupkan' malam mereka dengan melepak di kedai makan di sekitar Kuala Lumpur.

Mencari kelainan dengan sekadar menghirup teh tarik atau menikmati makanan berat seperti nasi lemak, peminat kedai makan ini akan `bertapa' sehingga embun menitis pada pagi hari.

Mungkin berbual kosong atau bergelak ketawa di kedai makan yang `berbumbung' langit malam boleh memberi kelegaan dan mengurangkan tekanan di selepas seharian di tempat kerja.

Selain pusat hiburan dan gerai makan, warga kota turut menghabiskan malam mereka di pelbagai pusat membeli belah bertaraf dunia di sini.

Ada warga kota sekadar menjadi penggemar `window shopping' dan tidak ketinggalan membawa keluarga menikmati suasana malam di Kuala Lumpur.

Saya sendiri berpandangan kehidupan malam di ibukota tidak pernah `tidur' dan sentiasa menawarkan tarikan tersendiri pada setiap masa.

Malam saya juga kerap dihabiskan dengan menghirup teh tarik sebelum pulang ke rumah selepas selesai kerja.

Saya suka menikmati keindahan malam di kotaraya. Ia tidak pernah sunyi dan banyak tempat menjadi tumpuan sehingga pagi menjelma.

Selain makan, kadangkala saya sekadar berjalan-jalan dan bertukar-tukar lokasi menghirup teh tarik sambil `mencuci mata' di sekitar Kuala Lumpur.

Saya akui, kotaraya yang tidak pernah sunyi ini turut menyediakan pelbagai lokasi menarik yang menjadikannya sentiasa meriah pada setiap masa.

Tengok sendiri dan saksikan bagaimana warga kota sebenarnya seolah-olah tidak pernah tidur pada setiap malam.

Hampir setiap kawasan di Kuala Lumpur dihurung peminat tersendiri dan mereka gembira melakukan aktiviti sama hampir pada setiap malam.

Kadangkala, ada ketika saya menghabiskan malam bersama rakan-rakan dengan bersiar-siar dan menikmati kemeriahannya pada malam hari.

Saya yakin, ungkapan `Kuala Lumpur tidak pernah mati' yang disebut ramai benar-benar membuktikan `penghuninya' tidak pernah lena dengan pelbagai aktiviti malam mereka.

Aktiviti menarik seperti berhibur dan banyaknya lokasi menjamu selera di Kuala Lumpur menjadikannya salah satu destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Tarikan itu disifatkan dapat menambah keuntungan negara selain pada masa sama dapat mempromosi negara di mata dunia.

Mencari takrif di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat mengenai perkataan `Lena' itu sendiri yang bermaksud tidur benar-benar (sehingga tidak mudah dikejutkan); benar-benar tidak wujud untuk menggambarkan kemeriahan Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur untuk selama-lamanya.

Dan kotaraya ini akan terus `sedar' serta `terjaga' untuk menghiburkan warganya...

No comments:

Post a Comment