Sunday, December 27, 2009

Kuala Lumpur Kota 1Malaysia


Jika ada yang mencari sebuah lokasi di mana konsep 1Malaysia sudah dipraktikkan, saya boleh memberitahu tempatnya.

Saya juga bisa membawa sesiapa sahaja untuk membuktikan kehidupan 1Malaysia sudah lama wujud di sini.

Saya berani menjadi pemandu pelancong untuk menunjukkan semua tempat di sekitar ibukota yang menempatkan masyarakat majmuk dan berbilang kaum serta hidup di dalam aman harmoni.

Di bandar besar ini, di kota metropolitan ini, semangat 1Malaysia sudah lama diamalkan malah menjadi pegangan sesiapa sahaja yang sudah menjadi warganya.

Ada sesiapa yang hendak menafikan jika saya kata Kuala Lumpur ini kota 1Malaysia?

Atau mungkin ada individu yang hendak mempertikaikan kenyataan bandar 1Malaysia ini adalah Kuala Lumpur?

Pasti slogan 1Malaysia yang dicetus Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu seharusnya menjadi impian yang sebenarnya sudah lama direalisasikan di bandar metropolitan Kuala Lumpur.

Ini kenyataan di Kuala Lumpur. 1Malaysia sebenarnya menjadi kunci kepada keharmonian serta keamanan masyarakat majmuk di ibukota besar.

Malah tidak keterlaluan saya kata, tanpa 1Malaysia, masyarakat berbilang kaum di negara ini dan Kuala Lumpur terutamanya akan hidup di dalam keadaan kacau bilau dan tidak tenteram.

Pandang kiri anda akan lihat orang Melayu, toleh kanan menjelma pula orang Cina dan jenguk ke depan tentu ada orang India yang mewarnai kehidupan di kotaraya yang penuh keindahan ini.

Mencuri tumpuan dengan bandar 1Malaysia iaitu Kuala Lumpur ini, beberapa kawasan sekitar yang menjadi `tapak jajahan' orang Melayu, Cina dan India sendiri yang sudah diterima sejak berkurun dahulu.

Perhatikan pembentukan tiga kaum terbesar negara yang menghuni ibukota ini membentuk masyarakat majmuk penuh harmoni sekali gus mewujudkan komuniti sebenar 1Malaysia.

Orang Melayu boleh berbangga dengan kawasan Kampung Baru atau Kampung Kerinchi yang masih mengekalkan rentak hidup Melayu sebenar.

Dua kawasan yang penuh dengan tradisi kemasyarakatan serta kejiranan dan mengamalkan amalan bertukar juadah masih menjadi asas kehidupan di kedua kampung di `bandaraya' ini.

Menapak sedikit ke hadapan pasti akan terlihat kawasan orang India, Brickfields, yang masih `berirama' India.

Katakan apa sahaja juadah atau gaya hidup orang India, inilah lokasinya dan sejarah Brickfields sebagai Little India negara tidak akan terpudar sehingga bila-bila.

Datanglah pada bila-bila masa sahaja di sini, pasti kedengaran lagu India serta jualan juadah serta pelbagai barangan berkaitan kaum ini.

Sementara China Town di kawasan Jalan Petaling melambangkan kemeriahan kaum Cina yang hidup dan menjalankan aktiviti perniagaan dalam suasana aman tenteram.

Aktiviti `berniaga' orang Cina yang sudah lama menjadi sumber rezeki kepada mereka itu akan `dihurung' oleh orang Melayu dan India sebagai pelanggannya.

Dan kemesraan tawar-menawar di antara pembeli dan penjual yang pelbagai kaum di sini sebenarnya menjadi daya penarik kemesraan 1Malaysia.

Tiga kaum terbesar negara yang diadun dengan begitu cantik di dalam kehidupan kota penuh pancaroba melahirkan dunia 1Malaysia di Kuala Lumpur.

Suasana indah persepakatan berbilang kaum dan agama yang hidup didalam keamanan ini menjadi kebanggaan yang hanya boleh diperolehi di ibukota.

Toleh kiri, kanan, atas atau bawah, kesemua kaum ini pasti memeriahkan ibu negara Malaysia.

Tiada ajaibnya apabila melihat sebuah gerai orang India sekitar Kuala Lumpur yang dipenuhi masyarakat berbilang kaum.

Orang Melayu atau Cina sendiri sudah tidak malu mengakui tosai menjadi makanan utama mereka pada pagi hari.

Tiada hairannya juga melihat situasi sebuah kedai nasi lemak orang Melayu dipenuhi orang Cina atau India yang meminta sambal lebih dan menjadi rutin makanan pada waktu petang atau malam.

Tiada bezanya bangsa di bandar Kuala Lumpur ini. Semuanya sama. Semuanya 1Malaysia. Semuanya harmoni dan berkongsi suka duka bersama di sebuah ibu kota kebanggaan negara.

Saya yakin konsep 1Malaysia yang dicetus Najib dan menjadi salam 1Malaysia `identiti' Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan diikut seluruh warga kota.

Sesungguhnya konsep 1Malaysia sudah lama terserap di jiwa warga kota. Sememangnya kehidupan orang Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain di Kuala Lumpur sudah lama menjadi satu.

Kesefahaman warga kota seperti sebuah keluarga yang tidak akan terpisah selama-lamanya.

Kesepakatan masyarakat berbilang kaumnya akan tetap teguh dan utuh seperti pepatah persaudaraan erat `Air dicincang tidak akan putus'.

Dan adakah masih ada yang hendak berkata `tidak' serta menafikan Kuala Lumpur sebagai bandar 1Malaysia?

Kuala Lumpur ini kunci kejayaan 1Malaysia. `Umat' Melayu, Cina dan India yang menghuninya pasti mahu keharmonian ini kekal selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment