Sunday, December 6, 2009

Ingat Aduan , Ingat 1800 88 3255


Apa lagi yang diharapkan oleh warga kota Kuala Lumpur selain setiap masalah mereka didengar dan diambil tindakan segera.

Apa juga yang berlaku di Kuala Lumpur seharusnya menjadi titik tolak melihat kecemerlangan dan penambahan kepada aspek kualiti sekali gus kecenderungan kepada kemajuan ibukota sendiri.

Katakan apa sahaja masalah atau rasa tidak puas hati terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT), warga kota disifatkan perlu mempunyai sebuah pusat aduan yang mendengar sekali gus mencatat masalah mereka untuk tindakan selanjutnya.

Saya sendiri salah seorang warga kota, saya pasti mahu ibukota ini sentiasa sempurna dan jika boleh tidak mahu sebarang kecacatan terdapat di Kuala Lumpur.

Masuklah di jalan mana sekali pun, jenguklah di lorong mana pun, atau jengahlah di kawasan perumahan mana di jajahan DBKL, tiada siapa mahu ia cacat atau tidak sempurna.

Saya tahu, keselesaaan dan keindahan Kuala Lumpur dapat menarik pelancong asing ke sini dan melawat pelbagai tempat indah di ibukota.

Kerana itu, warga kota kini boleh mengorak senyum lebar kerana Integrasi Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam (iSPAAA) yang akan dilancarkan sepenuhnya awal tahun depan akan menjadi pusat setempat yang mengambil setiap aduan dan bertindak segera untuk menyelesaikannya.

Apa yang perlu dilakukan adalah mengingat nombor 1800 88 3255 untuk sebarang aduan mengenai apa sahaja berkenaan PBT untuk warga kota.

Menggunakan sistem pembahagian aduan serta analisis berita di dalam akhbar, iSPAAA ini dijangka menyelesaikan banyak masalah serta isu warga kota sendiri.

Ketika mengumumkan berita gembira itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail menjelaskan, seramai 20 kakitangan terlatih akan menjadi kumpulan pertama yang bakal mengendali pusat iSPAAA di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tambahnya, buat permulaan, pusat itu akan beroperasi bermula pada pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan dijangka dibuka 24 jam menjelang tahun depan.

Ahmad Fuad akui, sistem itu masih di tahap ujian untuk melihat kemampuan pusat itu sendiri sebagai tempat mengambil aduan. Dari gerak bibirnya saya sendiri tahu ujian itu adalah tahap awal jaminan kakitangan yang bertanggungjawab di sana benar-benar terlatih dan penambahan ahli pasti akan diserap perlahan-lahan sehingga semuanya sempurna.

Kembang hidung saya sebagai seorang warga kota apabila mengetahui pusat pengendalian berkomputer itu merupakan usaha pertama PBT di negara ini sekali gus memuaskan masyarakat kota.

Saya tahu, iSPAAA bukannya pusat aduan hangat-hangat tahi ayam. Ini pusat untuk warga kota mengadu masalah mereka dan memastikan ibukota terus cemerlang sebagai sebuah bandaraya serba sempurna di mata dunia.

No comments:

Post a Comment