Tuesday, January 5, 2010

Bahasa Cinta `Ibukota'

Saya tidak tahu anda tahu atau tidak.

Tetapi saya tahu ada di antara anda yang tidak tahu.

Saya juga suka memberitahu kepada yang tidak tahu supaya anda tahu.

Apa yang saya tahu sekarang anda semua pasti akan tahu selepas saya memberitahu bahawa menulis untuk menggambarkan sesebuah keindahan sebenarnya terlalu sukar untuk dilakukan.

Mengarang ayat dan mengatur kata-kata di dalam bentuk tulisan sebagai pengganti kecantikan individu atau kawasan tidak semudah yang disangkakan.

Perkataan `cantik', `indah', `lawa' dan seumpamanya terlalu abstrak dan payah untuk menterjemahkan maksud sebenar yang ingin disampaikan.

Namun realiti kepayahan itu tidak pernah saya rasa apabila menulis tentang Kuala Lumpur.

Bait perkataan yang lahir dari setiap tulisan saya terlalu ikhlas dan menggambarkan keseronokan mengarang dari hati yang benar-benar lapang.

Bahasa yang digunakan juga kadangkala tidak perlu terlampau `bombastik' tetapi ayat-ayat mudah sudah cukup untuk menggambarkan keikhlasan sesiapa sahaja yang menulis mengenai Kuala Lumpur.

Menterjemah ibukota dari setiap sudut juga tidak payah untuk dilakukan. Keindahan yang dimaksudkan juga bukan omong kosong yang direka untuk menarik hati pembaca kerana realitinya ibukota memang terlalu indah untuk diungkap di dalam perkataan.

Tarikan yang ditawarkan di Kuala Lumpur merupakan `magnet' halusinasi kepada setiap warganya.

Malahan sesiapa juga akan terpesona dengan setiap inci ibukota. Tersergam indah pelbagai bangunan yang menyimpan sejarah tersendiri.

Menterjemah setiap satu lokasi indah di ibukota ini tidak akan selesai dalam sebuah tulisan.

Juga mustahil untuk dikumpulkan isi hati setiap warga yang kagum dengan kehebatannya dalam sebuah kitab tebal kerana ia terlalu panjang dan tidak akan habis dengan satu atau dua siri sahaja.

Tidak keterlaluan juga saya kata tidak habis walau satu kehidupan seseorang individu untuk dibandingkan rentetan cerita mengenai ibukota.

Memang, setiap tulisan pasti lebih indah jika ada sekeping dua lakaran dilampirkan bersama namun saya berkeras untuk melahirkan suasana itu hanya dengan tulisan.

Saya terlalu yakin tulisan juga bisa meruntun perasaan pembaca untuk berkhayal dan menggambarkan keindahan ibukota.

Susunan abjad yang diatur rapi menjadikan ketelusan yang membawa sesiapa sahaja ke alam khayalan.

Kuala Lumpur tidak pernah terlepas daripada menjadi `mangsa' mana-mana penulis untuk melampiskan nafsu mengenai kecantikan.

Pasti `klimaks' diperolehi selepas noktah akhir setiap penghujung bicara namun disambung kembali di dalam `pusingan kedua' yang boleh bermula pada bila-bila masa sahaja.

Termasuk saya yang mengandaikan ibukota sebagai `adinda' yang paling disayangi, seindah Kuala Lumpur, semerdu kehidupannya.

Permainan kata-kata yang diungkap warga kota sendiri untuk menggambarkan lokasi indah ini kepada dunia pasti membawa lebih ramai pengunjung ke `perutnya'.

Apabila mendengar lagu dendangan P. Ramlee bertajuk Bahasa Cinta, saya tahu lagu itu sebenarnya ditujukan kepada Kuala Lumpur.

`Tiada kata secantik bahasa, untuk ku puji adinda, tiada gambar secantik lukisan, nak ku tunjuk perasaan.'

Kuala Lumpur terus gah. Ibukota terus menjadi pujaan hati semua. Walau tanpa gambar, hanya bahasa dan kata-kata sudah terlampau cukup untuk menggambarkan keindahannya...

No comments:

Post a Comment