Tuesday, December 1, 2009

Ciri Negara Di Royal Chulan Kuala Lumpur


Tiada siapa dapat menafikan realiti bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai terlalu banyak hotel bertaraf lima bintang.

Namun pencarian untuk sebuah hotel yang benar-benar bercirikan Malaysia disifatkan sesuatu yang sangat sukar.

Menyedari kekurangan itu, The Royale Chulan di Jalan Conlay di ibu negara tampil dengan ciri-ciri tersebut yang bukan sahaja terserlah Malaysianya tetapi juga Melayunya.

Terletak di satu kawasan yang strategik, Royale Chulan bukan sahaja menawarkan pemandangan Menara Berkembar Petronas dari hampir setiap biliknya tetapi yang lebih penting, ciri-ciri uniknya.

Dengan reka bentuk dan dekorasi dalaman bercirikan Malaysia serta layanan kelas pertama daripada kakitangannya, penginapan di hotel itu pastinya sukar dilupakan sepanjang hayat.

Royale Chulan yang mempunyai 402 bilik termasuk 102 apartmen servis terbentuk dari dua menara - satu lima tingkat dan satu lagi 13 tingkat berbentuk U.

Dengan hanya 10 minit berjalan kaki ke KLCC, lima minit dari Bukit Bintang dan 15 minit dari Menara Kuala Lumpur, kedudukan hotel ini yang terlalu `sempurna’ bagi setiap pengunjung dan penghuninya.

Melangkah masuk ke kawasan hotel, pengunjung pasti tertawan dengan struktur bumbung rumah Melayu yang menjadikan suasana nyaman pada setiap masa.

Kombinasi hotel yang bersambung dengan Menara Chulan itu menjadikan kedua-dua bangunan itu benar-benar mempersona dan tidak hairan mana-mana individu yang melintasi hotel ini pasti akan menoleh semula dek keindahannya.

Hasil ukiran kayu awan larat sepenuhnya di kawasan awam di hadapan hotel itu merupakan hasil dari hutan Terengganu.

Kemasan yang diilhamkan daripada rumah tradisional Terengganu dan dihasilkanoleh tukang diraja itu benar-benar menjadikan hasilnya yang terbaik dan tersendiri.

Teruja benar saya dengan keindahan dan keunikan corak awan larat yang terdapat di setiap sudut hotel itu sendiri.

Saya tahu keindahan corak yang tidak terdapat di mana-mana hotel lain ibu kota ini membawa konsep tradisional yang tidak ditelan kemodenan.

Pastinya pemandangan indah dari lebih 300 bilik hotel yang mengadap KLCC benar-benar menjanjikan kepuasan kepada pengunjung. Katakan sahaja aspek tradisional Malaysia, semuanya terdapat di sini.

Hotel yang lengkap dan beroperasi sepenuhnya pada awal September lepas itu juga menyediakan pelbagai fasiliti termasuk restoran kelas satu yang menyediakan pelbagai jenis makanan tradisional Melayu sehingga paling moden untuk pengunjungnya.

Namakan sahaja apa makanan tradisi masyarakat Melayu sehingga yang paling moden semuanya akan disediakan chef hotel itu yang berpengalaman.

Sungguh saya terpegun apabila mengetahui misi mereka yang mahu mengekalkan konsep sejarah dan kontemporari kepada setiap pengunjung.

Selain mempamerkan keindahan hotel, saya dapati pihak pengurusan juga tidak dapat lari daripada menarik perhatian golongan korporat untuk ke sana.

Penyediaan bilik mesyuarat eksekutif yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk Wi-Fi untuk apa juga acara korporat menjadi satu kewajipan kepada mereka untuk memastikan setiap perjalanan majlis korporat sesempurna mungkin dan konsep `one stop centre’ menjadi penyelesaian kepada setiap tetamu korporat hotel itu.

Apabila melangkah masuk ke dalam biliknya pula, saya seakan hilang kata-kata untuk menggambarkan keindahannya yang cukup menawan.

Terlalu indah. Campuran kayu, tekstil dan seramik yang menjadi asas setiap bilik disifatkan benar-benar sempurna.

Saya tahu, adunan seni yang diambil dari setiap negeri di negara ini menjadikan hotel itu benar-benar melambangkan seni dan budaya negara.

Tengok sahaja corak awan larat Terengganu, labu sayung yang direka sebagai lampu, dataran Mahsuri yang diambil namanya untuk tempat makan dan dewan besar yang dinamakan sempena sejarah negeri Melaka, itu sudah cukup rasanya untuk menggambarkan kehebatan hotel ini yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Apa lagi bahasa yang boleh menggambarkan erti lengkap, padat dan setiap lokasi lengkap dengan sejarahnya yang tersendiri.

Saya yakin pelancong tempatan dan asing akan puas apabila menetap di sini.

Belum puas saya berkhayal tentang keindahan bilik, keterujaan semakin bertambah apabila dihidangkan dengan kemudahan kontemporari moden seperti televisyen paparan cecair kristal (LCD) dan talian internet jalur lebar.

Unik, sungguh unik kerana di setiap bilik di Royale Chulan disiapkan beranda untuk tetamu berehat sambil menikmati udara segar dan pemandangan ibu negara.

Dalam hati saya berdetik;

``Ini konsep `ambil angin’ di luar rumah yang lazim diamalkan oleh orang Melayu di kampung dan diaplikasikan sepenuhnya dalam setiap bilik di hotel ini.''

Saya tahu pihak hotel ini tidak boleh tidak perlu mengekalkan konsep rakyat negara ini yang lebih senang mengambil angin di luar rumah sambil menikmati pemandangan cantik di luar sana.

Konsep balkoni ala rumah kampung ini menjadi satu kekuatan hotel ini dan ia benar-benar berbeza daripada hotel lain yang berhampiran.

Sesungguhnya, seindah namanya, Royale Chulan pasti menjadi kenangan paling manis untuk pengunjung yang benar-benar tahu menilai keindahan sebuah penginapan bertaraf diraja.

Betul kan kata saya. Semuanya ada di ibukota...

No comments:

Post a Comment