Monday, December 21, 2009

Ini Dataran Sejarah Kita


Malam itu saya benar-benar runsing.

Mungkin tekanan dan beban kerja yang berat ditambah beberapa masalah peribadi menjadikan saya mahu mencari sebuah tempat untuk menenangkan diri.

Merehatkan minda tanpa ganguan dan melihat langit ibukota menjadi kegemaran sekali gus disifatkan penawar seandainya saya berada di dalam kekusutan.

Seolah jenaka namun percayalah saya bisa menenangkan diri apabila berada di Dataran Merdeka.

Angin lembut yang bertiup saban malam pasti membawa pengunjungnya ke dunia lain penuh ketenangan dan benar-benar membahagiakan.

Kawasan seluas padang bola yang menyamankan ditambah pemandangan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Kelab Diraja Selangor banyak memberi saya kepuasan dan menenangkan jiwa.

Bayangkan malam yang tenang di sini, lari daripada hiruk pikuk kotaraya yang menyerabutkan.

Inilah lokasi indah untuk berehat sekali gus tempat mengambil gambar kenangan kepada pelancong asing.

Saya jamin, Dataran Merdeka bukan tempat asing bagi warga kota.

Malahan, tiada sesiapa di Kuala Lumpur ini yang tidak tahu lokasi di mana Dataran Merdeka.

Ini dataran paling bersejarah di dalam negara kita dan ia terletak di ibukota. Pasti ini menjadi salah satu tarikan kepada mana-mana pelancong asing yang datang ke Malaysia.

Dataran yang tidak pernah sunyi daripada orang ini sebenarnya menyimpan sejarah kehebatan negara.

Sejarahnya Dataran Merdeka ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor dan terletak di pusat pentadbiran lama Kuala Lumpur.

Pada asalnya ia merupakan padang kriket bagi Kelab Selangor namun kini dinamakan Kelab Diraja Selangor.

Mencuri pemandangan mengelilingi padang tersebut adalah bangunan bersejarah termasuk Bangunan Kelab Diraja Selangor yang terletak di penjuru padang di mana orang-orang penting Kuala Lumpur sering bertemu untuk berbincang mengenai pelbagai cerita perniagaan serta kehidupan di ibukota.

Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Sejarah Kebangsaan, dan Perpustakaan Peringatan yang dibina pada 1909, kathedral St Mary's Anglican, bangunan stail Gothik yang berusia lebih seratus tahun dan kompleks Dayabumi moden yang menakjubkan dapat dilihat apabila anda berada di sini.

Tolehlah ke utara, selatan, timur atau barat, semuanya lokasi indah yang menjadi tumpuan pelancong asing di ibukota.

Mungkin tidak keterlaluan saya bicara Dataran Merdeka boleh menjadi titik mula perjalanan seorang pelancong asing untuk terus mengembara meneroka sekeliling Kuala Lumpur.

Di sinilah juga, di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957.

Dan semenjak dari itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 52 tahun dahulu.

Pelbagai acara pernah diadakan di sini seperti Citrawarna dan Larian Merdeka.

Tiang bendera setinggi 95-meter yang terdapat di penjuru selatan Dataran Merdeka juga merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Semua orang tahu, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan mercu tanda yang paling penting yang dibina oleh pihak British, yang mengadap kearah Dataran Merdeka.

Seni bina Moorish yang indah ini siap dibina pada 1897, menjadi pejabat beberapa jabatan penting semasa pentadbiran British satu masa dahulu.

Bangunan kayu separuh Tudor dibina pada 1890 dan menjadi tempat paling nostalgia menonton perlawanan Kriket pada petang Ahad.

Bangunan Kelab Diraja Selangor stail Tudor, yang dibina pada 1890 jauh berbeza dengan bangunan seni bina Moorish bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak arah bersetentangan dataran.

Lega, selepas `berehat' selama dua jam dan mengimbas sejarah dataran saya pulang ke rumah dengan hati yang benar-benar lapang daripada sebarang tekanan.

2 comments: