Friday, December 4, 2009

Jangan `Kau Lupa Janji'


Petang tadi sempat saya menjengah ke Tasik Putrajaya berhampiran Menara Putrajaya Holdings (Pjh).

Saya tahu, pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin terletak di aras empat menara itu.

Lantas saya teringat janji Nong Chik yang pernah dilafaz di hadapan saya pada awal tahun ini.

Katanya yang mengakui cabaran sebagai menteri yang digalasnya kini adalah suatu tanggungjawab dan tugas yang berat.

Meskipun pada awalnya terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantiknya ke jawatan itu, Nong Chik bertekad membalas kepercayaan itu dengan berusaha lebih keras dan sedaya mungkin untuk mendalami dan menyelesaikan permasalahan warga kota.

Jangan lupa, Datuk sudah beranji untuk bekerja lebih kuat kerana setiap pergerakan kini dalam 'perhatian' rakyat.

Berpenampilan `low profile', Nong Chik barangkali kurang dikenali oleh mereka dari luar Kuala Lumpur. Tetapi bagi warga kota khususnya di Lembah Pantai dan Bangsar, sebut sahaja nama `Datuk Raja', pantas tersebar luahan tentang komitmen dan kesungguhannya dalam membantu menyelesaikan masalah setempat.

Berpengalaman luas dalam politik UMNO, daripada pemeriksa kira-kira di peringkat cawangan, ketua pemuda, ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, sehinggalah ke jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang disandang sekarang.

Saya jelas dan sedar, Kuala Lumpur bukannya asing buat Nong Chik, semua orang tahu sejak kecil lagi Datuk sudah berada di sini meskipun beliau berasal dari Taiping.

Sejarah Nong Chik sendiri yang ke sekolah dulu dengan menaiki bas merata dalam KL ini pasti mengukuhkan landasan untuk memastikan kesusahan semua kaum di ibukota dirasai dan dibela dengan segera.

Sebab itu janji Nong Chik lagi, matlamat beliau atas kapasiti jawatan Menteri adalah mahu membasmi dan mengurangkan semaksimum mungkin kemiskinan di bandar.

Jelasnya, masalah perumahan untuk warga kota dan tapak berniaga adalah isu yang akan diselesaikan dengan segera.

Saya bertanya lagi, adakah beliau maksudkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Pantai, Nong Chik berkata;

``Ya, ketika ini ia disewa dan saya sedang dalam proses untuk membantu penyewa di situ membeli kediaman mereka.''

Usaha untuk menukar syarat rumah sewa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini bagi membolehkan penyewanya membeli unit kediaman mereka pernah dibangkitkan untuk pertimbangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac lalu - beberapa hari menjelang pilihan raya umum ke-12. Namun, perkara itu 'tergantung' sehinggalah diusahakan kembali oleh Raja Nong Chik.

Dianggarkan lebih 3,000 penyewa rumah PPR berhasrat membeli rumah berkenaan.

Mengikut bancian DBKL, terdapat 20,000 setinggan melibatkan 3,689 keluarga tinggal di sekitar Lembah Pantai pada 2008.

Bagaimanapun sehingga hari ini sebanyak 3,189 keluarga telah dipindahkan dan yang belum berbuat demikian hanya lebih kurang 500 keluarga.

Nong Chik percaya kira-kira 30,000 orang berminat membeli rumah PPR berkenaan.

Bagi tapak berniaga pula, Nong Chik berkata, dalam keadaan ekonomi yang suram ketika ini, beliau bertekad mahu memberi peluang kepada keluarga yang berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan.

Dalam pada itu, Nong Chik juga tidak menolak bahawa perhatian serius akan diberi ke atas keberkesanan DBKL dalam menangani masalah warga kota. Ini kerana hampir 90 peratus aduan diterima oleh DBKL.

Antara isunya berkisar permintaan supaya ditambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sibuk, pusat beli-belah dan tempat tumpuan pelancong, kes pembuangan sampah dalam saluran air di kawasan tumpuan penjaja dan masalah banjir di beberapa kawasan yang memerlukan pembinaan tadahan air.

Saya tersenyum lagi teringat janjinya;

``Saya sudah merancang untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan berkelas dunia.

``Tetapi matlamat saya pada masa ini adalah untuk menumpukan kepada mereka yang berpendapatan rendah yang meliputi semua lapisan masyarakat.''

Jangan lupa Nong Chik, itu semua janji Datuk kepada warga kota, dan kami tahu ia akan direalisasikan dalam sedikit tempoh lagi.

Dan ketika saya meminta diri, saya menoleh dan melihat Nong Chik beberapa ketika kemudian kembali melemparkan pandangan ke Tasik Putrajaya.

Saya yakin hatinya berdebar teringatkan janji dan cabaran warga kota yang perlu dipenuhinya - Datuk kini berada dalam 'perhatian' rakyat.

Jangan lupa ya Datuk...

1 comment: