Friday, December 4, 2009

Malam `Habibi' Di Jalan Damai


Mencari sebuah kawasan `habibi' di ibukota jika tahu lokasinya tidaklah susah.

Saya sendiri pada asalnya terkejut kerana terdapat sebuah kawasan di Jalan Damai mempunyai deretan kedai Arab yang menawarkan kehidupan mereka di sana.

Pasti ada di sini jika anda inginkan kehidupan malam ala `Arab' dan menikmati kepulan asap sisha wangi daripada ekstrak tembakau buah-buahan.

Atau anda ingin merasai sendiri hidangan Arab yang berkonsep tersendiri dan pastinya terlalu jauh ramuannya berbeza daripada makanan negara.

Siapa sangka segala-galanya bukan lagi mustahil di sini. Jalan ini seolah-olah menjadi bayangan negara Arab.

Saya yang `ketagih' untuk melepak di sini pada hampir setiap malam terpegun dengan corak kehidupan mereka.

Lokasinya yang berhampiran kediaman kedutaan Perancis di Malaysia dan Plaza Yow CHuan akan `hidup' seawal pukul 8 malam sehingga jam 2 pagi pada setiap hari.

Suaasana itu pastinya menjadi lebih meriah apabila malam minggu.

Kawasan yang menjadi tumpuan anak-anak muda ibukota, pelajar serta keluarga menjamu selera itu tidak pernah lengang daripada peminatnya yang tersendiri.

Tujuan mereka sama, menikmati hidangan Arab dan sekali sekala beralih selera daripada makanan negara yang terkenal dengan `kepedasannya'.

Jelas, kepuasan terpancar daripada muka setiap pelanggannya yang datang selepas menikmati hidangan yang dipesan.

Namakan sahaja makanan Arab seperti kabssa ayam atau kambing, tashreeb, ummus dan tahinan, keju manaqeesh, makhalamah atau shakshukah.

Semuanya terdapat di sini dengan cita rasa sebenar seolah-olah menikmati hidangan di luar negara.

Walaupun nama makanan yang disebutkan agak ganjil namun percayalah, pelanggan yang mengunjungi kedai Arab ini akan tersenyum lebar selepas menikmati hidangan mereka.

Kelihatan juga beberapa tempat khas berkusyen yang diletakkan di dalam khemah di dalam kawasan restoran.

Saya tahu, kehadiran restoran seumpama ini sebenarnya menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini sekali gus mempromosi Kuala Lumpur sendiri sebagai sebuah destinasi wajib datang kepada mana-mana pelancong di dunia.

Sesunggunya ibukota kita tidak pernah sunyi daripada kemeriahan. Seharusnya itu yang dicari oleh setiap warganya. Keseronokan dan keceriaan di dalam perut ibukota sendiri.

Saya meninggalkan kedai Arab pada pukul 1.45 pagi dengan bau wangi asap sisha melekat di baju.

Saya pasti termimpi seorang `habibi' malam ini menemani tidur sehingga ke esok pagi.

2 comments: