Thursday, December 3, 2009
PCMC - Hospital Masa Depan Di Ibukota
Sinonim bagi sebuah hospital adalah bau ubat yang menusuk kuat setiap kali kita masuk ke dalamnya dan keadaan di ruang legar atau kaunter pendaftaran yang agak sibuk.
Bau yang akan menusuk hidung itu tidak dapat dinafikan sudah menjadi salah satu `lambang’ kepada kebanyakan hospital di negara ini.
Akibat bau ubat itu juga, kadangkala ia menimbulkan rasa `takut’ kepada mana-mana pesakit yang ingin mendapatkan rawatan, lantaran mewujudkan situasi yang tidak mendorong kepada pemulihan yang lebih cepat.
Bau dan suasana di hospital itu akan terus `menghantui' pesakit sehingga mengganggu emosi mereka di saat pertama mereka melangkah masuk ke hospital.
Namun, suasana itu terlalu jauh bezanya, malah tidak wujud langsung di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Jalan Kia Peng di sini.
Kunjungan saya mendapati hospital itu bukan sahaja tidak berbau ubat, malah suasana dan keselesaannya terasa seperti memasuki sebuah hotel bertaraf antarabangsa.
Hospital milik penuh syarikat peneraju dalam minyak dan gas negara ini, Petronas dilihat benar-benar mampu memenuhi cita rasa pesakit dan keluarga mereka.
Hospital serba eksklusif yang dibuka pada bulan Julai 2008 itu dilihat membuka revolusi baru konsep hospital dan perkhidmatan rawatan terbaik untuk pesakit.
Walaupun disokong penuh oleh pasukan pengurusan antarabangsa, namun PCMC menggunakan sepenuhnya tenaga doktor pakar tempatan.
Hospital itu juga merupakan satu-satunya di negara ini yang bekerjasama di bawah konsortium dengan sebuah universiti penyelidikan perubatan yang terbesar di Eropah iaitu Medical University of Vienna (MUV).
Melangkah masuk ke hospital yang menjadi salah satu mercu tanda baru di ibu kota, tidak keterlaluan kalau dikatakan, inilah ciri hospital masa depan.
Kemudahan lobi bertaraf antarabangsa dengan ruang luas dan layanan pembantu yang sedia memberi sebarang maklumat mengenai apa sahaja pertanyaan, PCMC menjadi salah sebuah hospital terbaik di dalam kelasnya di negara ini.
Hospital yang dilengkapi dengan 300 katil persendirian setiap satu dan memenuhi standard Joint Commission International (JCI) sebagai salah sebuah hospital penuh sempurna dari aspek keselamatan serta kualiti kepada setiap pesakitnya.
Saya tahu, lima jabatan yang diwakili jantung dan paru-paru, rawatan kanser, perubatan ginjal dan urologi, wanita, kanak-kanak dan lelaki, kosmetik dan masalah kulit serta kebakaran itu dilihat cukup lengkap untuk keperluan setiap pesakit di sini.
Saya juga yakin perkhidmatan terbaik melalui servis paling sempurna untuk setiap pesakit dengan mengutamakan keselamatan pesakit selain meletakkan tanda aras tertinggi untuk kepuasan setiap pesakit ke PCMC
Penggunaan perisian terbaik, Total Hospital Information System (THIS) dapat memastikan kelancaran urusan pesakit daripada pendaftaran sehingga selesai prosedur rawatan.
PCMC melihat usaha itu bakal menjadikan mereka salah satu hospital terbaik di rantau ini.
Indahnya konsep hospital hijau di dalam taman yang memberi suasana berbeza kepada pesakitnya menjadi satu faktor yang membezakan PCMC daripada pusat perubatan lain.
Ditambah dengan suasana santai yang mewarnai persekitaran PCMC sebenarnya turut membantu proses penyembuhan seseorang pesakit.
Pasti setiap pesakit di sini akan merasa tidak seperti di hospital. Ruang sekeliling yang hijau, nyaman tidak akan memberi sebarang tekanan kepada mereka.
Keindahan faktor ini menjadikan keselesaan salah satu aspek yang mempercepatkan proses pemulihan.
Lokasinya di ibukota dan konsep ruang luas ini bakal menjadikannya sebagai satu keunikan kepada pendekatan perubatan yang moden.
Bangunan PCMC pula merupakan sebuah binaan enam tingkap dengan rekaan futuristik yang diilhamkan oleh firma seni bina dari Melbourne, Peddle Thorpe.
Pembinaannya melibatkan kos sebanyak RM544 juta manakala RM182 juta lagi dibelanjakan bagi pembelian peralatan perubatan yang menjadi penanda aras penubuhannya merupakan satu usaha memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat negara ini.
Pembinaannya juga merupakan sambutan kepada hasrat kerajaan untuk membangunkan program pelancongan kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan dan rawatan bertaraf antarabangsa dan kos-efektif bagi pesakit dari luar negara.
Semestinya status PCMC sebagai pusat perubatan swasta yang diakreditasi oleh JCI menjadikannya sebuah hospital berciri eksklusif dan bertaraf antarabangsa kepada para pesakit.
Lihat matlamatnya dalam menjadi pemberi penjagaan kesihatan swasta yang unggul, PCMC menerima pengurusan klinikal, teleperubatan dan sokongan perundingan dari MUV yang terkenal dengan asas penyelidikan mereka.
Selain itu, MUV juga menawarkan khidmat klinikal dan hala tuju pengurusan antarabangsa dengan penekanan diberikan terhadap keselamatan pesakit dan pengurusan risiko.
Kewujudan PCMC yang berazam memberikan lebih daripada jangkaan pesakit menerusi kepakaran dan teknologi yang dimilikinya pasti memberikan dimensi baru dalam pembangunan industri perkhidmatan hospital di negara ini.
Jadi, saya pasti, selain hasrat dan cita-cita PCMC sendiri untuk menjadi salah sebuah hospital terbaik negara dan rantau ini, kewujudannya tentu menambah keindahan Kuala Lumpur.
Dan seharusnya tidak syak lagi, ia sebenarnya menjadi salah satu mercu tanda ibukota yang pasti membanggakan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment