Tuesday, December 1, 2009

Kisah `Biduan' Di Kuala Lumpur


Acap kali saya menitiskan airmata apabila mendengar lagu-lagu berkaitan ibukota. Saya terfikir apakah erti sebenar Kuala Lumpur ini bagi warganya.

Masakan tidak, setiap lagu yang mempunyai bait-bait berkenaan ibukota atau Kuala Lumpur pasti mempunyai maksud mendalam malah tidak keterlaluan ia menggambarkan suka duka ibu negara dari pelbagai sudut.

Ada yang beranggapan ia sebuah kota lengkap yang sedang maju malahan ada juga yang menganggap Kuala Lumpur sebuah tempat yang banyak mengajar anak-anak desa tentang erti kesusahan.

Entahlah, semua ada hak untuk berkata, semua boleh bersuara dan memberikan pendapat mereka tentang Kuala Lumpur.

Katakan apa sahaja tentang ibukota, tiada yang salah, malahan tiada siapa yang boleh mendabik dada dan berkata Kuala Lumpur ini milik mereka.

Sesungguhnya Kuala Lumpur ini milik semua.

Pagi tadi saya tersentuh lagi, mendengar lagu dendangan orang lama, Dahlan Zainuddin bertajuk Kisah Seorang Biduan.

Lagu tiga rangkap yang benar-benar menggambarkan kesusahan yang dialami perantau desa ke kota.

Lirik yang menggunakan perlambangan `biduan' sebagai perantau di kota itu boleh ditakrifkan harapan setiap anak desa ke Kuala Lumpur.

Saya amati satu persatu ayatnya;

``Dari sebuah desa, Berbekal gitar tua, Datang ke ibukota, Dengan penuh harapan, Menjadi seorang biduan. Oh biduan pujaan, Pujaan tua muda, Kau ditaburi cahaya, Dan sinar kekaguman, Dan riuhnya tepukan. Meskipun kau tersenyum, Namun orang pun tahu, Apa isi hati mu, Tatkala kau lagukan, Lagu mu lagu sedih, Perjalanan hidup mu, Ditinggal kekasih mu.''

Biduan yang bermaksud penyanyi lelaki itu pasti menjadi lambang warga kota yang mengharung perit getir tinggal di Kuala Lumpur.

Sedarlah saya, betapa `keramatnya' Kuala Lumpur. Penuh misteri dan menyimpan rahsia setiap warganya dengan rapi.

Apa khabar agaknya penyanyi lagu itu, beliau yang kini berusia 68 tahun pasti tersenyum apabila lagu dendangannya masih berkumandang di radio.

Ibukota Kuala Lumpur yang letaknya di koordinat 3.1357°N 101.688°E sebenarnya terlalu indah walaupun warganya terus melalui perit getir kehidupan di perutnya.

Itulah Kuala Lumpur. Bandar kecil yang lahir pada 1850an sebagai sebuah bandar bijih di pertemuan Sungai Gombak dan Klang.

Seharusnya nama asalnya `Pengkalan Lumpur' namun kini bertukar kepada Kuala Lumpur selepas menjadi idaman setiap pelabur serata dunia kerana prospeknya dalam setiap bahagian ekonomi.

Kisah seorang biduan, lagu yang meniti di bibir setiap anak muda pada awal 1970an sebenarnya menjadi saksi perkembangan Kuala Lumpur, sebuah bandar yang tidak akan mati walaupun berbelas-belas generasi tinggal di sini.

Walaupun usia Kuala Lumpur kini sudah mencecah lebih 160 tahun dari kelahirannya, ia tidak pernah tua daripada warganya yang bersilih-ganti.

Dan Kuala Lumpur tidak akan melabuhkan tirainya malah akan kekal menjadi tumpuan dunia walau untuk 1000 tahun lagi.

2 comments:

  1. alamakk... sedey plak cite ni... pepagi dh layan sedih uhhh sobsob... kuala lumpur yg kurindui....

    ReplyDelete
  2. jangan la dirindui kuala lumpur kerana ia tetap ada dan menyimpan setiap rahsia warganya...

    ReplyDelete