Sunday, May 9, 2010

Daifnya apartmen Desa Tasik




Melangkah masuk ke kawasan apartmen empat blok di Desa Tasik Fasa 1A di sini, satu pertanyaan terus muncul di fikiran, apakah kediaman ini rumah tinggal atau baru dilanda ribut.
Masakan tidak, kawasan apartmen yang mengandungi 530 unit serta berusia kira-kira 13 tahun itu seolah-olah sudah ditinggalkan selama untuk satu tempoh yang panjang sehingga kelihatan begitu usang.


Kawasan yang letaknya di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu seolah-olah dianak tiri dan dibiarkan tanpa sebarang penjagaan.

Menurut penduduk di sana, alasan DBKL ialah penghuni berhutang caj perkhidmatan dan kerana itu, semua usaha penjagaan infrastruktur dihentikan atau diperlahankan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati cat bangunan itu bukan sahaja sudah pudar tetapi banyak bahagian yang sudah menjadi kehitam-hitaman akibat terjahan cuaca.

Yang pasti, bangunan itu tidak pernah dicat semula sehingga benar-benar mencacatkan pemandangan.

Lebih memburukkan keadaan, ada dinding yang sudah diliputi lumut dan bau busuk di tangga menjadikan kawasan itu benar-benar menyedihkan.

Pengalaman menaiki lif di keempat-empat blok itu boleh diumpama memasuki keranda buruk yang reput dan benar-benar menakutkan.

Salah sebuah daripada dua lif di setiap blok juga rosak sejak bulan Mei lalu dan tiada usaha membaikinya dibuat.

Ini bermakna sebahagian penghuni terpaksa memanjat atau menurun tangga sebanyak empat tingkat untuk menggunakan lif.

Hampir separuh daripada butang untuk menaiki lif pula sudah hilang dan apa yang tinggal hanyalah wayar yang mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang menyentuhnya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Desa tasik Fasa 1A, Tan Ban Seng menjelaskan, masalah itu sudah lama diadu kepada DBKL namun sehingga kini tiada tindakan drastik diambil.

Tegasnya, infrastruktur buruk serta tidak diselenggara oleh pihak pengurusan menampakkan kelemahan mereka walaupun penghuni diminta membayar caj pengurusan kira-kira RM70 sebulan.

"Kita sudah mengadu dan meminta DBKL membetulkan pelbagai kerosakan di sini. Namun sedihnya mereka memberi alasan ada penduduk yang tidak membayar caj pengurusan.

"Ini tanggungjawab DBKL. Jika mereka tidak mahu menjaga kawasan ini siapa lagi yang perlu kami adu?," katanya yang mendiami kawasan itu sejak ia dibuka.

Tambahnya, pihak persatuan penduduk berhasrta mahu membawa perkara itu ke pengetahuan Menteri Wilayah Persekutuan seandainya tiada tindakan susulan segera daripada DBKL.

"Kita akan berjumpa menteri dan jika boleh Perdana Menteri untuk meminta pembelaan. Apa yang terjadi hari ini terlalu teruk dan kita seolah-olah dibiarkan," ujarnya.

Seorang penduduk, G. Jivarattinam, 48, berkata, masalah lif rosak yang tidak pernah selesai sudah dihadapinya sejak hari pertama dia mendiami kawasan itu lapan tahun dahulu.

Jelasnya, selain lif, dinding yang tidak dicat serta ketiadaan lampu di tangga menambahkan lagi kepayahan penduduk.

"Tengok sendiri lif di sini. Menakutkan, gelap dan kerap rosak. Mana DBKL yang seharusnya menyelesaikan pelbagai masalah kami? Ini benar-benar menyusahkan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Agus Norman Abd. Rahman, 35, menjelaskan, selain lif, penguatkuasaan keselamatan yang terlalu lemah menjadikan banyak kes kecurian berlaku di situ.

Namun, katanya, langkah persatuan penduduk mengupah syarikat keselamatan lain membawa sedikit perubahan dari segi keselamatan kawasan.

"Jumlah kes kecurian yang terlalu tinggi dahulu, kini berkurangan selepas kami menukar syarikat pengawal keselamatan.

"Kita minta DBKL menghentikan perkhidmatan pengawal keselamatan lama dan mengurangkan caj pengurusan mereka," katanya.

Katanya, keadaan di apartmen itu benar-benar menyedihkan dan penduduk kini terpaksa berhadapan dengan risiko setiap hari.

"Paling ketara lif yang ketiadaan panel serta sistem kebakaran yang tidak sempurna pasti mengundang kesusahan jika sebarang kecemasan berlaku," katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ben, 35, berkata, isu kelemahan DBKL dan pelbagai kecacatan di apartmen mereka menjatuhkan nilai kawasan perumahan itu.

"Semasa beli dahulu harganya mencecah RM100,000 namun jika dijual kini pasti turun nilainya.

"Siapa hendak beli rumah yang buruk dan terpaksa berhadapan masalah lif setiap kali balik kerja?," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Ridhuan Abdullah, 52, berkata, penduduk di sana sudah lali dengan masalah itu dan bosan dengan tindakan lambat DBKL.

Katanya, sikap DBKL yang melengah-lengahkan kerja akan menjadikan penduduk di situ memandang negatif kepada pihak berkuasa tempatan itu.

"Kita sudah tidak tahan dengan kelembapan DBKL bekerja dan memastikan penduduk di sini mendapat keselesaan yang wajib diberi mereka.

"Kenapa kami diabaikan? DBKL seharusnya bertindak segera sebelum kemarahan persatuan penduduk di sini benar-benar memuncak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment