Sunday, May 9, 2010

Kafe judi terus berleluasa




Isu kafe siber dijadikan pusat judi bukan sesuatu yang baru. Ia telah kerap dilaporkan oleh media dan pelbagai peraturan turut diperkenalkan untuk membanterasnya.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangat pengusaha premis untuk terus menawarkan perkhidmatan tersebut kerana ia membawa pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.
Malah, di Seksyen 3 Taman Kinrara di sini, pengusahanya 'mengubah suai' sedikit taktik mereka dengan meletakkan papan tanda kedai makan dan pusat snuker bagi mengabui kegiatan judi haram yang dijalankan.
Tinjauan mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga premis seperti itu di kawasan tersebut.
Penduduk di kawasan mempersoalkan bagaimana premis itu boleh beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan untuk satu tempoh yang agak panjang.
"Di mana pegawai yang seharusnya membuat pemeriksaan lesen atau hal berkaitan sehingga boleh menyebabkan lebih daripada tiga premis perjudian itu terus beroperasi," tanya mereka.
Kawasan yang agak tersembunyi daripada orang ramai itu boleh diibaratkan menjadi syurga bagi 'kaki judi' yang sanggup menghabiskan wang dan masa seharian di situ.
Tinjauan Utusan Malaysia yang memperoleh maklumat daripada pembaca baru-baru ini mendapati premis judi itu 'hidup' dengan purata kira-kira lapan orang berada di dalam sesebuah premis pada satu-satu masa.
Kedai yang menggunakan cermin gelap sepenuhnya itu kelihatan agak 'eksklusif' walaupun penjaga setiap kedai itu hanyalah pekerja warga Bangladesh atau Indonesia.
Penulis dan jurugambar yang berjaya memasuki sebuah premis berkenaan mendapati setiap komputer yang diubah suai menyediakan permainan judi berlainan.
Permainan roulette, slot games, black jack, baccarat dan jackpot menjadi pilihan setiap pengunjung untuk 'melabur' wang mereka di situ.
Kelihatan juga beberapa pengunjung yang bermain judi sambil meneguk minuman keras.
Melihatkan penjaga premis judi itu melemparkan renungan sinis, penulis dan jurugambar memutuskan untuk keluar daripada kedai berkenaan.
Seorang penduduk di situ, Novarica C. Thoblan, 26, menjelaskan, isu kafe siber yang ditukar menjadi kedai judi bukan perkara baru di kawasan itu.
Jelasnya, pihak penguat kuasa ada datang membuat rondaan serta operasi sita namun tindakan itu tidak mampu melumpuhkan operasi premis tersebut.
"Pengusaha ini seperti kebal dan boleh membuka kedai lain selepas sehari kedainya diserbu penguat kuasa.
"Pertambahan kedai begini memungkinkan masalah sosial meningkat. Bayangkan sendiri apa yang tahi judi boleh lakukan jika kesempitan wang," ujarnya.
Seorang guru memandu, Vincent Chong, 52, berkata, kewujudan premis judi itu menimbulkan kebimbangan penduduk dan orang ramai.
"Orang ramai akan takut. Apabila lebih ramai kaki judi wujud, akan menyebabkan kes curi meningkat, konsepnya tidak banyak beza dengan penagih.
"Kita juga mempersoalkan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan di sini. Mengapa kelihatan terlalu longgar sehingga empat atau lima premis begini wujud di kawasan yang sama," jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Hishamudin Mat Seden, 34, menjelaskan, kewujudan premis judi itu sebenarnya sudah lama dipertikaikan.
"Apa tiada penguat kuasa yang membuat rondaan di sini? Kita hanya mahu kawasan ini dibersihkan daripada judi, itu sahaja.
"Jangan sampai menjadi pusat jenayah pula sehingga menakutkan masyarakat untuk berbelanja di kedai runcit berdekatan," ujarnya.
Dalam pada itu, penduduk yang juga kakitangan kerajaan, Salina Maslan, 42, berkata, pemilik pusat internet itu mungkin telah menyalahgunakan lesen yang diperoleh.
Tegasnya, pemeriksaan bersepadu perlu dijalankan dengan lebih kerap untuk memastikan operasinya dihentikan segera.
"Nampak susah sebab kedai sebegini sudah merebak hampir ke seluruh negeri. Mereka boleh menyediakan dan menutup kedai dalam masa yang singkat.
"Penguat kuasa perlu selalu ada, lesen mesti selalu diperiksa dan jangan 'takut' untuk menyita mana-mana peniaga kafe siber yang menawarkan permainan judi," katanya.

No comments:

Post a Comment