Sunday, May 9, 2010

'Ini tempat kami bermain'




Kasihan melihat kanak-kanak yang sedang bermain di tapak permainan di Jalan Makmur 2, Bandar Tun Razak. Apakan daya, tempat 'sekangkang kera' yang diperuntukkan untuk mereka 'dirampas' penduduk di situ sendiri yang menggunakan kawasan itu untuk meletak kenderaan.
Masalah itu sebenarnya bukan baru - sudah mencecah 20 tahun.Kenderaan diletakkan secara sesuka hati di situ dan sememangnya mengganggu kanak-kanak bermain walaupun realitinya kawasan itu memang kawasan larangan meletak kenderaan.
Jadi, selama ini kanak-kanak di situ bermain di kawasan yang terhad dan terpaksa berhati-hati kerana bimbang merosakkan kenderaan yang 'menjajah' kawasan permainan mereka.
Di mana lagi perlu mereka bermain pada setiap petang selain di tapak permainan yang sudah disediakan.
Risiko yang perlu dihadapi ialah cermin kereta pecah akibat terkena bola selain bersedia dimarahi pemilik kenderaan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Makmur 2 mendapati pemilik kenderaan masih berdegil dan tetap mengganggu kawasan permainan kanak-kanak berkenaan.
Lebih malang, ada beberapa kenderaan buruk yang tersadai di sana tanpa diketahui siapa pemiliknya.
Difahamkan, kereta dan van itu sudah diletakkan melebihi lima tahun dan ada juga beberapa kes kenderaan curi turut diletakkan di sana sebelum ini.
Bukan sekali dua aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibuat, namun sehingga hari ini tiada jalan penyelesaian.
Menurut seorang penduduk, Azman Bidin, 35, masalah itu sudah ditanggung sejak zaman remajanya lagi.
Katanya, tapak itu yang dikhaskan untuk gelanggang permainan langsung tidak diendahkan penduduk taman berkenaan.
"Kami sudah memberi makluman kepada penduduk berkenaan namun semuanya degil. Kenapa mereka tidak menghormati tapak yang sudah dikhaskan untuk kanak-kanak bermain?
"Nampak remeh tetapi mereka yang berkenaan seolah-olah tidak ada otak dan ada juga yang menengking kanak-kanak bermain di sini. Alasan mereka senang, tempat ini sudah menjadi tapak meletak kenderaan," ujarnya.
Jelasnya, aduan kepada pihak DBKL sudah dibuat namun sehingga kini tiada sebarang usaha menyelesaikan masalah dijalankan.
"Aduan memang sudah berkali-kali dibuat namun tiada tindakan diambil.
"Kira-kira enam bulan lepas ada pegawai DBKL datang dan mengambil gambar tapak ini namun kami tidak tahu apa tindakan susulan mereka," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rizal Abd. Kadir, 38, berkata, pemilik kenderaan itu disifatkan tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri.
"Mereka seolah-olah tidak menghormati tempat yang sudah dikhaskan untuk kanak-kanak bermain. Mereka seharusnya meletak kenderaan di hadapan rumah masing-masing dan bukan di sini," ujarnya.
Tambahnya, pihak DBKL perlu bertegas di dalam hal ini dan memasang penghadang supaya kenderaan tidak boleh memasuki tapak permainan kanak-kanak itu.
"Kalau tiada penyelesaian segera, mungkin DBKL boleh meletakkan palang penghalang. Sekurang-kurangnya pemilik kenderaan ini tahu kawasan itu bukan tempat meletak kenderaan.
"DBKL juga boleh menyita atau menarik sahaja kenderaan-kenderaan buruk yang kita sendiri tidak tahu siapa tuannya," jelasnya.
Seorang remaja yang kerap bermain di sana, Mohd. Saifful Imzaini, 15, berkata, dia kerap dimarah oleh pemilik kenderaan dan disuruh pulang.
Jelasnya, lokasi itu dilihat benar-benar strategik dan berhampiran rumah daripada bermain di kawasan lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari kediamannya.
"Lagipun saya tidak berani untuk bermain jauh-jauh. Saya kerap dimarah dan disuruh pulang oleh pemilik kenderaan yang meletak kenderaan di sini.
"Pernah juga ada cermin kereta pecah kerana terkena bola dan kami dimarah habis-habisan serta diminta membayar ganti rugi," katanya.
Sementara itu, pasangan adik-beradik, Hafizi Mohd. Pisol, 15 dan adiknya Hilmi, 9, berkata, pihak berkuasa perlu memikirkan alternatif lain untuk gelanggang permainan mereka dengan segera.
Kata mereka, keutamaan tapak permainan perlu difikirkan dan mengelakkan kanak-kanak di situ dimarahi.
"Kami harap tapak permainan kami tidak diganggu lagi. Kami mahu bermain dengan aman tanpa ada halangan kereta seperti hari ini.
"Mengapa mereka tidak faham. Ini tempat kami bermain dan jangan marah kalau cermin atau kereta pecah dan tercalar kerana terkena bola," ujar mereka.

No comments:

Post a Comment