Sunday, May 9, 2010

Rintihan pelukis jalanan




Ruang mencari rezeki untuk 10 orang pelukis ini hanya kira-kira 150 meter sahaja. Di ruang kecil itu, mereka hanya boleh memuatkan empat bingkai gambar dan dinding ruang sempit itu menjadi 'galeri pameran' untuk karya mereka yang lain.
Lebih memilukan, mereka merupakan 'penduduk' asal Pasar Seni tetapi kini terpaksa 'merempat' di ruang kecil di tingkat bawah bangunan Annexe yang berada di luar Pasar Seni.
Perniagaan yang dimulakan seawal Pasar Seni menjadi lokasi kebudayaan dan produk kesenian negara, kini dipinggirkan dan dianaktirikan.
Lebih menyedihkan, pelukis itu seolah-olah ditekan dengan bayaran sewa tinggi yang disifatkan tidak masuk akal terhadap konsep seni jalanan yang dibawa mereka sejak dahulu.
Mereka sudah bertapak di situ melebihi 20 tahun dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka untuk melukis suka duka warga kota tetapi kini mula dipinggirkan.
Apa lagi yang diharapkan oleh saki-baki pelukis Pasar Seni itu. Tidak lebih daripada sedikit rasa dihargai dan tidak 'ditindas' dengan kos penyewaan tapak yang melebihi bajet mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pelukis di situ sudah 'putus asa' dan realiti terpaksa membayar sewa sebanyak RM1,400 sebulan adalah terlalu perit buat mereka.
Itu tidak dikira seandainya mereka mempunyai tunggakan sewa yang kebanyakannya berpunca daripada kekurangan pelanggan.
Sejak mendiami tapak baru yang kecil pada Februari 2007, mereka terpaksa menelan kesusahan dan menerima hakikat hasil lukisan yang diperoleh setiap bulan akan digunakan sepenuhnya untuk membayar sewa premis.
Selebihnya sekadar cukup untuk menampung kehidupan harian secara ala kadar tanpa boleh menyimpan walau satu sen untuk masa depan.
Jauh sekali untuk berseronok atau berjalan-jalan bersama keluarga seperti yang dinikmati semasa membayar sewa sebanyak RM470 ketika berada dalam Pasar Seni satu masa dahulu.
Sejak 'diusir' dua tahun lalu, pelukis Pasar Seni tidak pernah lupa berdoa agar suatu hari nanti rintihan mereka akan didengar oleh mana-mana pihak berkuasa yang prihatin.
Pelukis, Khairuddin Mustaffa atau lebih dikenalidengan nama Dino, 54, berkata, kebajikan pelukis di Pasar Seni seolah-olah dipinggirkan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Katanya, masalah sewa tinggi menjadi punca mereka terpaksa menjadikan tapak kecil itu sebagai 'rumah' kedua.
"Kalau boleh kita mahu 24 jam tunggu pelanggan di sini. Kita terlalu mengharap ada pelanggan yang mahu gambar mereka dilukis.
"Kita terdesak untuk mengejar pembayaran sewa sebanyak RM1,400 sebulan. Bayangkan apa lagi boleh kita harapkan dengan 'perniagaan' bakat sebegini?," jelasnya.
Tambahnya, selain mengharapkan belas warga kota datang untuk mendapatkan khidmat melukis, mereka juga berharap pihak-pihak yang berkenaan kasihan kepada mereka.
Seorang lagi pelukis, Zakaria Mat Isa atau dikenali dengan Baim, 43, berkata, sejak perniagaannya dimulakan pada 1987, keperitan benar-benar dirasakan sejak setahun dua ini.
Katanya, bakat yang dijual kepada orang ramai disifatkan sudah tidak bernilai jika dibandingkan dengan kadar sewa yang perlu dilangsaikan pada setiap akhir bulan.
"Kita diberi kawasan yang agak kecil namun perlu membayar sewa besar. Kita pelukis asal di sini dan tidak keterlaluan dikatakan Pasar Seni mendapat namanya kerana orang-orang seni seperti kami.
"Kita mohon ada yang mendengar dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh pelukis-pelukis di sini," ujarnya sayu.
Sementara seorang lagi pelukis, Shamsuri Atan atau dikenali dengan nama Agusdhanik, 33, pula menyifatkan kadar itu perlu dikaji semula dengan mengambil kira 'jasa' mereka menjadikan Pasar Seni terkenal.
"Kita menjual produk buatan tangan dan hasil bulanan bergantung sepenuhnya kepada pelanggan.
"Jika semua 'keuntungan' diserahkan bulat-bulat untuk membayar sewa, di mana pula duit untuk kita membeli makanan dan menyara keluarga?," jelasnya.
Namun, tambahnya, mahu tidak mahu mereka terpaksa juga menelan segala masalah yang dihadapi dan berusaha meneruskan kehidupan dengan bakat dan tenaga yang ada.
"Apa lagi yang boleh kita buat, kami tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang kadar mengikut cita rasa sendiri.
"Hakikatnya, pelukis di sini perlu mencari rezeki dan menanggung risiko mungkin kerugian pada bulan itu. Nasib kami bergantung sepenuhnya kepada orang ramai,'' katanya.

No comments:

Post a Comment