Sunday, May 9, 2010

Syurga penyeluk saku



Setiap kali menjelang musim perayaan, perhentian bas merupakan antara tempat yang paling sibuk dengan warga kota.
Di ibu negara, selain Hentian Puduraya, Hentian Putra dan beberapa hentian bas sementara, Hentian Pekeliling di Jalan Tun Razak juga tidak kurang sibuknya.
Namun, hentian bas itu agak kurang 'popular' berbanding hentian lain, mungkin kerana ia hanya menyediakan perkhidmatan bas ke kawasan tengah negeri Pahang.
Bagaimanapun, faktor tidak popular itu tidak menjadikan hentian itu selamat daripada sasaran penjenayah, malah ia dikatakan syurga penyeluk saku kerana kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa.
Dalam keadaan berebut-rebut untuk menaiki bas, penjenayah terbabit akan mengambil kesempatan untuk melakukan tugasan mereka.
Utusan Malaysia menerima banyak aduan mengenai 'projek' seluk saku yang difahamkan dilakukan oleh penagih dadah.
Ada juga aduan yang memberitahu, kumpulan penyeluk saku itu terdiri daripada warga asing yang 'menyamar' menaiki bas, malah menolak-nolak penumpang lain bagi mewujudkan suasana kelam-kabut bagi membolehkan mereka menjalankan kerja mereka tanpa disedari.
Ini bermakna penumpang di sana tidak lagi selamat sepenuhnya dan perlu meningkatkan tahap keselamatan diri dan barangan mereka semasa menaiki bas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tahap keselamatan penumpang bas di hentian itu memang terdedah kepada kejadian seluk saku.
'Prosedur' menaiki bas yang lebih kepada konsep berebut-rebut menyumbang kepada peningkatan kes seluk saku.
Malah, penyeluk saku di kawasan itu dikatakan membawa pisau kecil untuk memotong bahagian tepi beg mangsanya terutama beg berzip yang menghalang mereka memasukkan tangan.
Seorang pelajar universiti, Rosli Mohd. Nor, 22, menjelaskan, tahap keselamatan penumpang di Hentian Pekeliling dilihat terlalu rendah dan seolah-olah tidak sistematik.
Katanya, kes-kes seluk saku kerap didengar di sini namun dia bersyukur kerana tidak pernah mengalaminya sehingga ke hari ini.
"Tengok sendiri penumpang yang ingin menaiki bas, mereka berebut-rebut. Ini memberi kelebihan kepada penyeluk saku untuk mencuri. Rempuhan menyebabkan kita tidak sedar jika dompet kita sudah dicuri," ujarnya.
Seorang pelajar kolej, Nurul Asikin Abd. Latif, 18, berkata, pihak berkuasa perlu mengadakan rondaan atau menempatkan beberapa pengawal keselamatan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.
Jelasnya, sepanjang pemerhatian, dia tidak nampak ada pengawal keselamatan meronda hentian itu.
"Mungkin jika ada rondaan yang kerap, penyeluk saku ini akan takut untuk mencuri," katanya.
Seorang penuntut politeknik, Saiful Bukhari Hanafi, 18, berkata, pengusaha bas perlu menguatkuasakan sistem beratur kepada setiap penumpang untuk menaiki bas.
"Cara berebut-rebut bukan sahaja tidak praktikal dan tidak bertamadun tetapi mendorong kepada kegiatan jenayah.
"Sediakan satu laluan khas untuk penumpang ini beratur sebelum menaiki bas supaya orang tua, golongan wanita dan kanak-kanak selesa menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Selain itu, katanya, para penumpang juga perlu prihatin terhadap barangan peribadi mereka dengan memastikan ia sentiasa di dalam jagaan mereka.
Tambahnya, pengusaha bas dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bekerjasama untuk menyediakan sistem menaiki bas yang lebih teratur.
Seorang pekerja swasta, Rajen Thiron, 37, menasihatkan orang ramai supaya meletakkan barangan berharga di dalam seluar.
Katanya, cara itu dilihat paling selamat dan dia yang mengamalkan perkara itu tidak pernah menjadi mangsa penyeluk saku.


'Kita sudah jadi kaum minoriti'




Di satu kawasan di Bandar Sultan Sulaiman di sini, terdapat sebuah kawasan perumahan yang istimewa dan keistimewaan itu ialah sebahagian besar kawasan itu kini didiami oleh warga Bangladesh yang bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.
Tinjauan mendapati 90 peratus daripada penghuni di 10 buah blok di situ didiami oleh warga Bangladesh manakala bakinya warga Indonesia dan sekumpulan kecil warga tempatan.
Kebanyakan mereka dilihat menaiki basikal dan hanya mengambil masa sekitar 15 minit untuk sampai ke tempat kerja mereka.
Yang menariknya, apabila rakyat tempatan memasuki kawasan itu, mereka pula terasa seperti warga asing dan apa yang dibimbangi ialah ada mata yang mengikuti pergerakan serta tindak-tanduk jika ada orang luar masuk ke situ.
Situasi itu sebenarnya menimbulkan kerisauan beberapa penduduk di sana yang merasakan pemantauan kerap daripada pihak berkuasa termasuk pihak polis sebagai sangat perlu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan itu kini benar-benar 'dikuasai' oleh warga bangladesh yang menjadikan kawasan itu sebagai negara mini mereka.
Malah, tidak keterlaluan kalau nama kawasan perumahan itu layak dipanggil Taman Sri Bangla.
Kawasan ini seperti sudah menjadi tanah jajahan mereka dan ini terbukti apabila beberapa premis dilihat menggunakan tulisan bahasa Bangladesh pada ruang iklan di kebanyakan kedai.
Semasa tinjauan dilakukan, kami telah diekori oleh kira-kira 10 warga Bangladesh yang seakan-akan sangsi dan tidak puas hati dengan kehadiran kami.
Mujurlah, mereka tidak mengganggu dan beredar selepas kami berjaya mencari 'perlindungan' di sebuah premis milik rakyat tempatan.
Seorang penduduk di situ, Normah Abdullah, 50, berkata, situasi itu sebenarnya sudah menjadi lumrah kepada mereka sejak 10 tahun yang lalu.
Jelasnya, keadaan itu nampak lebih ketara sejak tiga empat tahun kebelakangan ini dan melihat masalah itu sebagai membimbangkan jika tiada pemantauan daripada pihak berkuasa.
"Kami yang tinggal di sini sudah biasa. Mereka kerap berkumpul di bawah flat dan bergelak ketawa sesama sendiri.
"Memang ada yang mengganggu ketenteraman dengan membuat bising tetapi apa daya, kita hanya minoriti di sini," ujarnya.
Kata Normah lagi, warga Bangladesh yang mendiami kawasan itu disifatkan menakutkan lebih-lebih lagi ada aduan daripada penduduk setempat yang mereka mengganggu anak gadis di situ.
"Kita sudah jadi kaum minoriti di sini. Kita sentiasa berhati-hati takut-takut ada yang mengganggu.
"Mereka akan mula memenuhi kawasan kedai makan di sekitar sini pada waktu malam dan menjadikan sepanjang jalan di hadapan ini seperti medan selera," katanya.
Seorang lagi penduduk, Fauziah Asli , 47, menyifatkan kehadiran 'beribu-ribu' warga Bangladesh di kawasan mereka benar-benar menjadikan keluarganya bimbang.
"Mereka selalu bergaduh sesama sendiri. Kita minta sangat ada pihak berkuasa berkenaan yang memantau mereka ini.
"Takut juga kalau mereka bertindak melampau dan mencuri barangan kami," katanya.
Katanya lagi, penduduk tempatan di sini juga sudah biasa melihat mereka berkumpul dan berbuat bising seolah-olah kawasan ini adalah negara mereka sendiri.
"Biasanya mereka melepak di bawah pokok pada setiap petang selepas habis kerja. Mereka datang secara berbasikal dan akan minum di kedai sekitar sini.
"Mereka akan berada sehingga selewat 1 pagi setiap hari. Kebanyakan kedai di sini juga mengambil warga Bangladesh sebagai pekerja," ujarnya.
Seorang peniaga tempatan, Dedi Bujang, 37, berkata, kebanjiran warga Bangladesh di kawasan itu benar-benar mengurangkan keuntungan jualan harian makanannya.
Jelasnya, masyarakat tempatan seolah-olah tidak berani untuk ke premis makanannya dan sanggup beralih ke kedai yang lebih jauh untuk menjamu selera.
"Orang tempatan mungkin takut dengan kehadiran ramai warga Bangladesh di sini. Mereka mungkin rasa tidak selesa dan memilih untuk mencari kedai makan lain.
"Situasi itu menjadikan saya mengalami kerugian. Jika untung pun tidak banyak dan sekadar lepas kos harian sahaja," katanya.
Sementara seorang suri rumah yang mahu dikenali dengan nama Che Mah, menjelaskan, warga Bangladesh yang mendiami kawasan flat berhampiran lebih banyak dilihat merosakkan kawasan berkenaan.
Katanya, warga Bangladesh berkenaan tidak segan silu untuk membuat kotor dan ada yang memotong pagar semata-mata sebagai jalan pintas ke rumah mereka.
"Tengok sendiri gelagat mereka yang memotong pagar untuk ke rumah, itu belum dikira sampah yang dicampak di tangga serta kain baju yang disidai sesuka hati di mana-mana.
"Apalah hendak jadi di sini. Rasanya warga Bangladesh di sini memang hendak masyarakat tempatan mengosongkan kawasan ini dan merealisasikan impian mewujudkan 'Taman Sri Bangla' mereka," ujarnya.


'Ini tempat kami bermain'




Kasihan melihat kanak-kanak yang sedang bermain di tapak permainan di Jalan Makmur 2, Bandar Tun Razak. Apakan daya, tempat 'sekangkang kera' yang diperuntukkan untuk mereka 'dirampas' penduduk di situ sendiri yang menggunakan kawasan itu untuk meletak kenderaan.
Masalah itu sebenarnya bukan baru - sudah mencecah 20 tahun.Kenderaan diletakkan secara sesuka hati di situ dan sememangnya mengganggu kanak-kanak bermain walaupun realitinya kawasan itu memang kawasan larangan meletak kenderaan.
Jadi, selama ini kanak-kanak di situ bermain di kawasan yang terhad dan terpaksa berhati-hati kerana bimbang merosakkan kenderaan yang 'menjajah' kawasan permainan mereka.
Di mana lagi perlu mereka bermain pada setiap petang selain di tapak permainan yang sudah disediakan.
Risiko yang perlu dihadapi ialah cermin kereta pecah akibat terkena bola selain bersedia dimarahi pemilik kenderaan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Makmur 2 mendapati pemilik kenderaan masih berdegil dan tetap mengganggu kawasan permainan kanak-kanak berkenaan.
Lebih malang, ada beberapa kenderaan buruk yang tersadai di sana tanpa diketahui siapa pemiliknya.
Difahamkan, kereta dan van itu sudah diletakkan melebihi lima tahun dan ada juga beberapa kes kenderaan curi turut diletakkan di sana sebelum ini.
Bukan sekali dua aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibuat, namun sehingga hari ini tiada jalan penyelesaian.
Menurut seorang penduduk, Azman Bidin, 35, masalah itu sudah ditanggung sejak zaman remajanya lagi.
Katanya, tapak itu yang dikhaskan untuk gelanggang permainan langsung tidak diendahkan penduduk taman berkenaan.
"Kami sudah memberi makluman kepada penduduk berkenaan namun semuanya degil. Kenapa mereka tidak menghormati tapak yang sudah dikhaskan untuk kanak-kanak bermain?
"Nampak remeh tetapi mereka yang berkenaan seolah-olah tidak ada otak dan ada juga yang menengking kanak-kanak bermain di sini. Alasan mereka senang, tempat ini sudah menjadi tapak meletak kenderaan," ujarnya.
Jelasnya, aduan kepada pihak DBKL sudah dibuat namun sehingga kini tiada sebarang usaha menyelesaikan masalah dijalankan.
"Aduan memang sudah berkali-kali dibuat namun tiada tindakan diambil.
"Kira-kira enam bulan lepas ada pegawai DBKL datang dan mengambil gambar tapak ini namun kami tidak tahu apa tindakan susulan mereka," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rizal Abd. Kadir, 38, berkata, pemilik kenderaan itu disifatkan tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri.
"Mereka seolah-olah tidak menghormati tempat yang sudah dikhaskan untuk kanak-kanak bermain. Mereka seharusnya meletak kenderaan di hadapan rumah masing-masing dan bukan di sini," ujarnya.
Tambahnya, pihak DBKL perlu bertegas di dalam hal ini dan memasang penghadang supaya kenderaan tidak boleh memasuki tapak permainan kanak-kanak itu.
"Kalau tiada penyelesaian segera, mungkin DBKL boleh meletakkan palang penghalang. Sekurang-kurangnya pemilik kenderaan ini tahu kawasan itu bukan tempat meletak kenderaan.
"DBKL juga boleh menyita atau menarik sahaja kenderaan-kenderaan buruk yang kita sendiri tidak tahu siapa tuannya," jelasnya.
Seorang remaja yang kerap bermain di sana, Mohd. Saifful Imzaini, 15, berkata, dia kerap dimarah oleh pemilik kenderaan dan disuruh pulang.
Jelasnya, lokasi itu dilihat benar-benar strategik dan berhampiran rumah daripada bermain di kawasan lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari kediamannya.
"Lagipun saya tidak berani untuk bermain jauh-jauh. Saya kerap dimarah dan disuruh pulang oleh pemilik kenderaan yang meletak kenderaan di sini.
"Pernah juga ada cermin kereta pecah kerana terkena bola dan kami dimarah habis-habisan serta diminta membayar ganti rugi," katanya.
Sementara itu, pasangan adik-beradik, Hafizi Mohd. Pisol, 15 dan adiknya Hilmi, 9, berkata, pihak berkuasa perlu memikirkan alternatif lain untuk gelanggang permainan mereka dengan segera.
Kata mereka, keutamaan tapak permainan perlu difikirkan dan mengelakkan kanak-kanak di situ dimarahi.
"Kami harap tapak permainan kami tidak diganggu lagi. Kami mahu bermain dengan aman tanpa ada halangan kereta seperti hari ini.
"Mengapa mereka tidak faham. Ini tempat kami bermain dan jangan marah kalau cermin atau kereta pecah dan tercalar kerana terkena bola," ujar mereka.

Rintihan pelukis jalanan




Ruang mencari rezeki untuk 10 orang pelukis ini hanya kira-kira 150 meter sahaja. Di ruang kecil itu, mereka hanya boleh memuatkan empat bingkai gambar dan dinding ruang sempit itu menjadi 'galeri pameran' untuk karya mereka yang lain.
Lebih memilukan, mereka merupakan 'penduduk' asal Pasar Seni tetapi kini terpaksa 'merempat' di ruang kecil di tingkat bawah bangunan Annexe yang berada di luar Pasar Seni.
Perniagaan yang dimulakan seawal Pasar Seni menjadi lokasi kebudayaan dan produk kesenian negara, kini dipinggirkan dan dianaktirikan.
Lebih menyedihkan, pelukis itu seolah-olah ditekan dengan bayaran sewa tinggi yang disifatkan tidak masuk akal terhadap konsep seni jalanan yang dibawa mereka sejak dahulu.
Mereka sudah bertapak di situ melebihi 20 tahun dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka untuk melukis suka duka warga kota tetapi kini mula dipinggirkan.
Apa lagi yang diharapkan oleh saki-baki pelukis Pasar Seni itu. Tidak lebih daripada sedikit rasa dihargai dan tidak 'ditindas' dengan kos penyewaan tapak yang melebihi bajet mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pelukis di situ sudah 'putus asa' dan realiti terpaksa membayar sewa sebanyak RM1,400 sebulan adalah terlalu perit buat mereka.
Itu tidak dikira seandainya mereka mempunyai tunggakan sewa yang kebanyakannya berpunca daripada kekurangan pelanggan.
Sejak mendiami tapak baru yang kecil pada Februari 2007, mereka terpaksa menelan kesusahan dan menerima hakikat hasil lukisan yang diperoleh setiap bulan akan digunakan sepenuhnya untuk membayar sewa premis.
Selebihnya sekadar cukup untuk menampung kehidupan harian secara ala kadar tanpa boleh menyimpan walau satu sen untuk masa depan.
Jauh sekali untuk berseronok atau berjalan-jalan bersama keluarga seperti yang dinikmati semasa membayar sewa sebanyak RM470 ketika berada dalam Pasar Seni satu masa dahulu.
Sejak 'diusir' dua tahun lalu, pelukis Pasar Seni tidak pernah lupa berdoa agar suatu hari nanti rintihan mereka akan didengar oleh mana-mana pihak berkuasa yang prihatin.
Pelukis, Khairuddin Mustaffa atau lebih dikenalidengan nama Dino, 54, berkata, kebajikan pelukis di Pasar Seni seolah-olah dipinggirkan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Katanya, masalah sewa tinggi menjadi punca mereka terpaksa menjadikan tapak kecil itu sebagai 'rumah' kedua.
"Kalau boleh kita mahu 24 jam tunggu pelanggan di sini. Kita terlalu mengharap ada pelanggan yang mahu gambar mereka dilukis.
"Kita terdesak untuk mengejar pembayaran sewa sebanyak RM1,400 sebulan. Bayangkan apa lagi boleh kita harapkan dengan 'perniagaan' bakat sebegini?," jelasnya.
Tambahnya, selain mengharapkan belas warga kota datang untuk mendapatkan khidmat melukis, mereka juga berharap pihak-pihak yang berkenaan kasihan kepada mereka.
Seorang lagi pelukis, Zakaria Mat Isa atau dikenali dengan Baim, 43, berkata, sejak perniagaannya dimulakan pada 1987, keperitan benar-benar dirasakan sejak setahun dua ini.
Katanya, bakat yang dijual kepada orang ramai disifatkan sudah tidak bernilai jika dibandingkan dengan kadar sewa yang perlu dilangsaikan pada setiap akhir bulan.
"Kita diberi kawasan yang agak kecil namun perlu membayar sewa besar. Kita pelukis asal di sini dan tidak keterlaluan dikatakan Pasar Seni mendapat namanya kerana orang-orang seni seperti kami.
"Kita mohon ada yang mendengar dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh pelukis-pelukis di sini," ujarnya sayu.
Sementara seorang lagi pelukis, Shamsuri Atan atau dikenali dengan nama Agusdhanik, 33, pula menyifatkan kadar itu perlu dikaji semula dengan mengambil kira 'jasa' mereka menjadikan Pasar Seni terkenal.
"Kita menjual produk buatan tangan dan hasil bulanan bergantung sepenuhnya kepada pelanggan.
"Jika semua 'keuntungan' diserahkan bulat-bulat untuk membayar sewa, di mana pula duit untuk kita membeli makanan dan menyara keluarga?," jelasnya.
Namun, tambahnya, mahu tidak mahu mereka terpaksa juga menelan segala masalah yang dihadapi dan berusaha meneruskan kehidupan dengan bakat dan tenaga yang ada.
"Apa lagi yang boleh kita buat, kami tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang kadar mengikut cita rasa sendiri.
"Hakikatnya, pelukis di sini perlu mencari rezeki dan menanggung risiko mungkin kerugian pada bulan itu. Nasib kami bergantung sepenuhnya kepada orang ramai,'' katanya.

Sunday, March 28, 2010

PPR, PA Lubuk Nyamuk Aedes




Awas penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA). Tempat tinggal anda dikenal pasti sebagai lokasi panas kes denggi di ibu negara.

PPR yang terlibat ialah Taman Mulia, Desa Tun Razak dan Kampung Limau manakala PA yang turut dikenal pasti ialah Sri Selangor, Sri Melaka, Taman Setapak Jaya, Keramat Wangsa (Kelompok Kuang, Teratai, Menara Merak Kayangan), Bandar Baru Sentul (Menara Orkid) dan Kuarters Pos Jalan San Peng.

Perumahan yang berada dalam kategori lokasi panas itu dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sewaktu merasmikan program bebas denggi sempena kempen kebersihan di Sentul Pasar di sini semalam.

Turut hadir timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) DBKL, Datuk Amin Nordin Abd. Aziz.

Menurut Nong Chik, sebanyak 4,472 kes dengan lapan kematian dicatat sepanjang tahun lepas dan 376 daripadanya merupakan positif denggi.

“Sehingga 13 Mac tahun ini sahaja, sebanyak 1,039 kes suspek denggi dilaporkan, dengan satu kematian manakala 472 daripadanya positif,” ujarnya.

Katanya lagi, kesedaran penduduk terutama di PPR dilihat masih rendah dan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mewajibkan kursus kesedaran dan pendidikan berkaitan kebersihan pada masa hadapan.

“Buat masa sekarang kami mahu meningkatkan tahap kesedaran terhadap kebersihan kepada penduduk PPR khasnya dan yang lain juga amnya.

“Kami tidak mahu lokasi PPR menjadi tempat panas denggi yang akan menyebabkan orang ramai mempunyai pandangan negatif terhadapnya,” katanya.

Sehubungan itu jelasnya, program kursus itu akan diadakan untuk membolehkan wakil penduduk atau wakil persatuan sesebuah kawasan perumahan mencari jalan terbaik dalam menyediakan persekitaran yang bersih di kawasan masing-masing.

“Sebab itu kita masukkan program pendidikan kebersihan dalam PPR atau PA.

“Kami mahu membantu menjadikan kawasan perumahan mereka bersih. Menerusi kursus seperti ini, mereka akan mempunyai kesedaran tentang menjaga kebersihan.

“Tidak ada gunanya peruntukan yang besar diberikan kerajaan kalau rakyat sendiri tidak main peranan menjaga kebersihan.

“Sebab itu kita mahu penduduk sendiri sedar untuk menjaga kebersihan. Kerajaan sudah berhabis banyak untuk isu ini dan ia memerlukan kerjasama dua pihak untuk memastikan kejayaannya,” tegasnya.

Lif, Lampu Kaki Lima Bermasalah Di Flora Damansara




Setiap hari, penduduk terpaksa membuang masa antara 15 hingga 30 minit semata-mata menunggu lif untuk turun. Semuanya kerana lif yang disediakan tidak mencukupi berikutan setiap hari ada sahaja lif yang tidak berfungsi.

Itulah luahan penduduk di dua blok apartmen kos rendah 24 tingkat di Flora Damansara dekat sini.

Daripada empat lif yang ada di setiap blok, pasti ada yang rosak.

Berikutan keadaan itu, ada penduduk di sini yang mengambil keputusan keluar rumah seawal pukul 5.30 pagi untuk mengelak daripada terlewat sampai di tempat kerja.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aduan yang diterima daripada penduduk terbabit memang benar-benar berlaku.

Selain lif, tinjauan turut mendapati lampu di kaki lima blok tersebut juga kebanyakannya tidak menyala.

Seorang penduduk, Norianti Mohammad, 28, berkata, masalah kerosakan lif sudah menjadi isu yang biasa kepada mereka di apartmen itu.

Jelasnya, penduduk juga sudah lali walaupun mengakui tertekan kerana terpaksa menghabiskan masa yang agak lama untuk menunggu lif.

“Kalau semua lif berfungsi, rasanya masa menunggu boleh disingkatkan. Ini tidak, kerosakan lif tidak dibaiki untuk masa yang lama.

“Kita mahu pengurusan memberi penjelasan, bukannya kita tidak membayar caj pengurusan tetapi mengapa ini yang kami dapat,” ujarnya.

Katanya lagi, masalah lampu yang tidak dibaiki terutama di kaki lima juga turut menyedihkan penduduk di situ.

“Masalah akan timbul apabila malam. Kita takut ada penjenayah atau orang membuat perkara tidak senonoh di kawasan kediaman kami ini.

“Kita harap pengurusan dapat memantau setiap aduan yang dikemukakan dan tidak menganggap masalah lampu sebagai isu kecil kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada penduduk,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Ayub Ahmad, 29, berkata, dia terpaksa keluar rumah sekurang-kurangnya satu jam lebih awal sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja.

“Sudahlah terpaksa menempuh kesesakan jalan raya, masalah kelewatan lif menambahkan lagi kelewatan setiap penduduk di sini.

“Dengan jumlah lif yang tidak cukup dan akan berhenti di setiap tingkat, untuk sampai ke bawah pasti mengambil masa yang agak lama.

“Masalah ini boleh dikurangkan jika semua keempat-empat lif berfungsi,” ujarnya.

Katanya lagi, penduduk di situ sebenarnya selalu mengadukan masalah itu dan juga masalah lampu di kaki lima kepada pihak pengurusan tetapi ia masih tidak dapat diselesaikan.

“Mungkin kos membaiki lif agak tinggi, namun mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk menukar mentol lampu kaki lima?

“Rasanya kos menggantikan lampu tidaklah terlalu tinggi dan mereka sewajarnya melakukannya dalam masa yang singkat,’’ jelasnya.

Seorang penduduk yang juga pelajar, Ezzy Abd. Shukri, 20, berkata, penduduk sudah banyak kali mengadu kepada pengurusan mengenai kerosakan lif.

Tegasnya, penduduk juga sudah muak untuk membuat aduan kerosakan lif kerana tahu pengurusan benar-benar ‘lambat’ untuk membaikinya.

“Biasa sangat lif ini rosak, ada empat lif dan sekurang-kurangnya satu atau dua lif mesti rosak.

“Rasanya penduduk di sini juga sudah banyak kali membuat aduan namun entahlah, seperti tidak ada sebarang kerja pembaikan dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flora Damansara menjelaskan, isu lif itu memang diketahui oleh pihaknya.

Dia yang enggan dikenali berkata, punca pihak JMB gagal membaiki segera kerosakan lif adalah penduduk sendiri.

“Hutang caj pengurusan penduduk di sini sebenarnya sudah mencecah RM500,000 dan setiap masalah yang diadu boleh diselesaikan dengan syarat setiap penduduk membayar caj pengurusan bulanan.

Angka itu merupakan jumlah hutang pada November lalu dan ia pastinya akan meningkat jika penduduk masih mengabaikan tanggungjawab mereka.

“Bagaimana pihak pengurusan hendak membaiki lif di sini jika hutang penduduk di sini sudah hampir setengah juta?

“Bukannya kami tidak menerima aduan penduduk tetapi kami tidak boleh bertindak jika tidak ada duit. Kita mahu penduduk bekerjasama dan membayar caj pengurusan setiap bulan,” katanya.

Difahamkan, sehingga hari ini, hanya kira-kira 70 peratus penduduk sahaja membayar caj pengurusan sebanyak RM33 sebulan.

Oleh itu, katanya, semua masalah itu akan selesai jika setiap 1,200 keluarga di dua blok di situ mempunyai kesedaran untuk membayar caj setiap bulan.

“Penduduk yang berhutang juga perlu kasihan dan berlaku adil kepada jiran mereka yang membayar caj itu setiap bulan,” katanya

Thursday, February 4, 2010

1Malaysia Puas Sambutan Hari Wilayah




Tahun ini saya berpeluang membuat laporan pada malam Sambutan Hari Wilayah yang diadakan di Dataran Merdeka.

Gembira menyaksikan ia disambut meriah apabila dihadiri kira-kira 10,000 warga kota yang pulang dengan rasa bangga dan puas.

Sambutan HWP 2010 yang bertema '1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera' bermula 29 Januari lalu dan akan berakhir 28 Februari ini.

Di Kuala Lumpur, pelbagai acara telah diatur bersama DBKL, termasuk acara kemuncak yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Dataran Merdeka.

Sementara menunggu detik 12 tengah malam pada majlis pelancaran, pengunjung di Dataran Merdeka dihiburkan dengan Konsert Ambang 1Wilayah Persekutuan, Persembahan Kebudayaan 1Malaysia dan Perarakan Bendera Wilayah Persekutuan.

Suasana di Dataran Merdeka pada malam itu semakin meriah apabila orang ramai mengira detik Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 dan persembahan hiburan diteruskan lagi dengan Persembahan Khas Tarian 1Wilayah Persekutuan serta Pertunjukan Bunga Api.

Di Putrajaya pula saya difahamkan, pelbagai acara juga telah diatur termasuk maraton malam pada 6 Februari, pesta sukan air di Tasik Putrajaya pada 21 Februari.

Acara penutup sambutan kali ini akan diadakan di Labuan pada 28 Februari.

Pelbagai kaum hadir di samping agensi kerajaan dan swasta serta beberapa badan sukarela di ibu kota membayangkan perpaduan yang tidak berbelah bagi di negara ini.

Selaras dengan konsep 1Malaysia, sambutan ini membuktikan pengukuhan serta peranan dan sumbangan berterusan Wilayah Persekutuan terhadap kemajuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, pada sebelah siangnya, Dataran Merdeka sekali lagi dipenuhi pelbagai kaum dan lapisan masyarakat yang datang sejak pagi untuk sama-sama memeriahkan pelbagai acara yang diadakan pada hari pertama Festival Hari Wilayah Persekutuan.

Meriahnya program di seluruh ibu negara yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan kerjasama DBKL ini.

Menariknya acara yang ditonjolkan pada festival kali dan lebih menarik kerana ia bermotif kepada perpaduan dan keluarga berkonsepkan 1Malaysia serta melibatkan pelbagai peringkat usia.

Saya sendiri melihat pelbagai acara yang dijalankan. Semua konsep 1Malaysia dapat dilihat melalui acara sukan tradisional setiap kaum, pakaian beragam kanak-kanak, kawad kaki dan kawad berirama yang disertai 28 buah sekolah seluruh Kuala Lumpur.

Hari pertama festival dimulakan dengan senamrobik, diikuti pelbagai acara lain termasuklah kayuhan basikal pra Le Tour De Langkawi mengelilingi pusat bandar, sukan orang kelainan upaya (OKU) seperti boccia, warga emas dan kanak-kanak.

Siapa tidak datang dia rugi. Ini sambutan Hari Wilayah 1Malaysia. Semua warga kota puas dan bukti perpaduan di ibukota akan kekal untuk selama-lamanya.