Sunday, May 9, 2010

Rintihan pelukis jalanan




Ruang mencari rezeki untuk 10 orang pelukis ini hanya kira-kira 150 meter sahaja. Di ruang kecil itu, mereka hanya boleh memuatkan empat bingkai gambar dan dinding ruang sempit itu menjadi 'galeri pameran' untuk karya mereka yang lain.
Lebih memilukan, mereka merupakan 'penduduk' asal Pasar Seni tetapi kini terpaksa 'merempat' di ruang kecil di tingkat bawah bangunan Annexe yang berada di luar Pasar Seni.
Perniagaan yang dimulakan seawal Pasar Seni menjadi lokasi kebudayaan dan produk kesenian negara, kini dipinggirkan dan dianaktirikan.
Lebih menyedihkan, pelukis itu seolah-olah ditekan dengan bayaran sewa tinggi yang disifatkan tidak masuk akal terhadap konsep seni jalanan yang dibawa mereka sejak dahulu.
Mereka sudah bertapak di situ melebihi 20 tahun dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka untuk melukis suka duka warga kota tetapi kini mula dipinggirkan.
Apa lagi yang diharapkan oleh saki-baki pelukis Pasar Seni itu. Tidak lebih daripada sedikit rasa dihargai dan tidak 'ditindas' dengan kos penyewaan tapak yang melebihi bajet mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pelukis di situ sudah 'putus asa' dan realiti terpaksa membayar sewa sebanyak RM1,400 sebulan adalah terlalu perit buat mereka.
Itu tidak dikira seandainya mereka mempunyai tunggakan sewa yang kebanyakannya berpunca daripada kekurangan pelanggan.
Sejak mendiami tapak baru yang kecil pada Februari 2007, mereka terpaksa menelan kesusahan dan menerima hakikat hasil lukisan yang diperoleh setiap bulan akan digunakan sepenuhnya untuk membayar sewa premis.
Selebihnya sekadar cukup untuk menampung kehidupan harian secara ala kadar tanpa boleh menyimpan walau satu sen untuk masa depan.
Jauh sekali untuk berseronok atau berjalan-jalan bersama keluarga seperti yang dinikmati semasa membayar sewa sebanyak RM470 ketika berada dalam Pasar Seni satu masa dahulu.
Sejak 'diusir' dua tahun lalu, pelukis Pasar Seni tidak pernah lupa berdoa agar suatu hari nanti rintihan mereka akan didengar oleh mana-mana pihak berkuasa yang prihatin.
Pelukis, Khairuddin Mustaffa atau lebih dikenalidengan nama Dino, 54, berkata, kebajikan pelukis di Pasar Seni seolah-olah dipinggirkan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Katanya, masalah sewa tinggi menjadi punca mereka terpaksa menjadikan tapak kecil itu sebagai 'rumah' kedua.
"Kalau boleh kita mahu 24 jam tunggu pelanggan di sini. Kita terlalu mengharap ada pelanggan yang mahu gambar mereka dilukis.
"Kita terdesak untuk mengejar pembayaran sewa sebanyak RM1,400 sebulan. Bayangkan apa lagi boleh kita harapkan dengan 'perniagaan' bakat sebegini?," jelasnya.
Tambahnya, selain mengharapkan belas warga kota datang untuk mendapatkan khidmat melukis, mereka juga berharap pihak-pihak yang berkenaan kasihan kepada mereka.
Seorang lagi pelukis, Zakaria Mat Isa atau dikenali dengan Baim, 43, berkata, sejak perniagaannya dimulakan pada 1987, keperitan benar-benar dirasakan sejak setahun dua ini.
Katanya, bakat yang dijual kepada orang ramai disifatkan sudah tidak bernilai jika dibandingkan dengan kadar sewa yang perlu dilangsaikan pada setiap akhir bulan.
"Kita diberi kawasan yang agak kecil namun perlu membayar sewa besar. Kita pelukis asal di sini dan tidak keterlaluan dikatakan Pasar Seni mendapat namanya kerana orang-orang seni seperti kami.
"Kita mohon ada yang mendengar dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh pelukis-pelukis di sini," ujarnya sayu.
Sementara seorang lagi pelukis, Shamsuri Atan atau dikenali dengan nama Agusdhanik, 33, pula menyifatkan kadar itu perlu dikaji semula dengan mengambil kira 'jasa' mereka menjadikan Pasar Seni terkenal.
"Kita menjual produk buatan tangan dan hasil bulanan bergantung sepenuhnya kepada pelanggan.
"Jika semua 'keuntungan' diserahkan bulat-bulat untuk membayar sewa, di mana pula duit untuk kita membeli makanan dan menyara keluarga?," jelasnya.
Namun, tambahnya, mahu tidak mahu mereka terpaksa juga menelan segala masalah yang dihadapi dan berusaha meneruskan kehidupan dengan bakat dan tenaga yang ada.
"Apa lagi yang boleh kita buat, kami tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang kadar mengikut cita rasa sendiri.
"Hakikatnya, pelukis di sini perlu mencari rezeki dan menanggung risiko mungkin kerugian pada bulan itu. Nasib kami bergantung sepenuhnya kepada orang ramai,'' katanya.

Sunday, March 28, 2010

PPR, PA Lubuk Nyamuk Aedes




Awas penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA). Tempat tinggal anda dikenal pasti sebagai lokasi panas kes denggi di ibu negara.

PPR yang terlibat ialah Taman Mulia, Desa Tun Razak dan Kampung Limau manakala PA yang turut dikenal pasti ialah Sri Selangor, Sri Melaka, Taman Setapak Jaya, Keramat Wangsa (Kelompok Kuang, Teratai, Menara Merak Kayangan), Bandar Baru Sentul (Menara Orkid) dan Kuarters Pos Jalan San Peng.

Perumahan yang berada dalam kategori lokasi panas itu dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sewaktu merasmikan program bebas denggi sempena kempen kebersihan di Sentul Pasar di sini semalam.

Turut hadir timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) DBKL, Datuk Amin Nordin Abd. Aziz.

Menurut Nong Chik, sebanyak 4,472 kes dengan lapan kematian dicatat sepanjang tahun lepas dan 376 daripadanya merupakan positif denggi.

“Sehingga 13 Mac tahun ini sahaja, sebanyak 1,039 kes suspek denggi dilaporkan, dengan satu kematian manakala 472 daripadanya positif,” ujarnya.

Katanya lagi, kesedaran penduduk terutama di PPR dilihat masih rendah dan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mewajibkan kursus kesedaran dan pendidikan berkaitan kebersihan pada masa hadapan.

“Buat masa sekarang kami mahu meningkatkan tahap kesedaran terhadap kebersihan kepada penduduk PPR khasnya dan yang lain juga amnya.

“Kami tidak mahu lokasi PPR menjadi tempat panas denggi yang akan menyebabkan orang ramai mempunyai pandangan negatif terhadapnya,” katanya.

Sehubungan itu jelasnya, program kursus itu akan diadakan untuk membolehkan wakil penduduk atau wakil persatuan sesebuah kawasan perumahan mencari jalan terbaik dalam menyediakan persekitaran yang bersih di kawasan masing-masing.

“Sebab itu kita masukkan program pendidikan kebersihan dalam PPR atau PA.

“Kami mahu membantu menjadikan kawasan perumahan mereka bersih. Menerusi kursus seperti ini, mereka akan mempunyai kesedaran tentang menjaga kebersihan.

“Tidak ada gunanya peruntukan yang besar diberikan kerajaan kalau rakyat sendiri tidak main peranan menjaga kebersihan.

“Sebab itu kita mahu penduduk sendiri sedar untuk menjaga kebersihan. Kerajaan sudah berhabis banyak untuk isu ini dan ia memerlukan kerjasama dua pihak untuk memastikan kejayaannya,” tegasnya.

Lif, Lampu Kaki Lima Bermasalah Di Flora Damansara




Setiap hari, penduduk terpaksa membuang masa antara 15 hingga 30 minit semata-mata menunggu lif untuk turun. Semuanya kerana lif yang disediakan tidak mencukupi berikutan setiap hari ada sahaja lif yang tidak berfungsi.

Itulah luahan penduduk di dua blok apartmen kos rendah 24 tingkat di Flora Damansara dekat sini.

Daripada empat lif yang ada di setiap blok, pasti ada yang rosak.

Berikutan keadaan itu, ada penduduk di sini yang mengambil keputusan keluar rumah seawal pukul 5.30 pagi untuk mengelak daripada terlewat sampai di tempat kerja.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aduan yang diterima daripada penduduk terbabit memang benar-benar berlaku.

Selain lif, tinjauan turut mendapati lampu di kaki lima blok tersebut juga kebanyakannya tidak menyala.

Seorang penduduk, Norianti Mohammad, 28, berkata, masalah kerosakan lif sudah menjadi isu yang biasa kepada mereka di apartmen itu.

Jelasnya, penduduk juga sudah lali walaupun mengakui tertekan kerana terpaksa menghabiskan masa yang agak lama untuk menunggu lif.

“Kalau semua lif berfungsi, rasanya masa menunggu boleh disingkatkan. Ini tidak, kerosakan lif tidak dibaiki untuk masa yang lama.

“Kita mahu pengurusan memberi penjelasan, bukannya kita tidak membayar caj pengurusan tetapi mengapa ini yang kami dapat,” ujarnya.

Katanya lagi, masalah lampu yang tidak dibaiki terutama di kaki lima juga turut menyedihkan penduduk di situ.

“Masalah akan timbul apabila malam. Kita takut ada penjenayah atau orang membuat perkara tidak senonoh di kawasan kediaman kami ini.

“Kita harap pengurusan dapat memantau setiap aduan yang dikemukakan dan tidak menganggap masalah lampu sebagai isu kecil kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada penduduk,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Ayub Ahmad, 29, berkata, dia terpaksa keluar rumah sekurang-kurangnya satu jam lebih awal sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja.

“Sudahlah terpaksa menempuh kesesakan jalan raya, masalah kelewatan lif menambahkan lagi kelewatan setiap penduduk di sini.

“Dengan jumlah lif yang tidak cukup dan akan berhenti di setiap tingkat, untuk sampai ke bawah pasti mengambil masa yang agak lama.

“Masalah ini boleh dikurangkan jika semua keempat-empat lif berfungsi,” ujarnya.

Katanya lagi, penduduk di situ sebenarnya selalu mengadukan masalah itu dan juga masalah lampu di kaki lima kepada pihak pengurusan tetapi ia masih tidak dapat diselesaikan.

“Mungkin kos membaiki lif agak tinggi, namun mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk menukar mentol lampu kaki lima?

“Rasanya kos menggantikan lampu tidaklah terlalu tinggi dan mereka sewajarnya melakukannya dalam masa yang singkat,’’ jelasnya.

Seorang penduduk yang juga pelajar, Ezzy Abd. Shukri, 20, berkata, penduduk sudah banyak kali mengadu kepada pengurusan mengenai kerosakan lif.

Tegasnya, penduduk juga sudah muak untuk membuat aduan kerosakan lif kerana tahu pengurusan benar-benar ‘lambat’ untuk membaikinya.

“Biasa sangat lif ini rosak, ada empat lif dan sekurang-kurangnya satu atau dua lif mesti rosak.

“Rasanya penduduk di sini juga sudah banyak kali membuat aduan namun entahlah, seperti tidak ada sebarang kerja pembaikan dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flora Damansara menjelaskan, isu lif itu memang diketahui oleh pihaknya.

Dia yang enggan dikenali berkata, punca pihak JMB gagal membaiki segera kerosakan lif adalah penduduk sendiri.

“Hutang caj pengurusan penduduk di sini sebenarnya sudah mencecah RM500,000 dan setiap masalah yang diadu boleh diselesaikan dengan syarat setiap penduduk membayar caj pengurusan bulanan.

Angka itu merupakan jumlah hutang pada November lalu dan ia pastinya akan meningkat jika penduduk masih mengabaikan tanggungjawab mereka.

“Bagaimana pihak pengurusan hendak membaiki lif di sini jika hutang penduduk di sini sudah hampir setengah juta?

“Bukannya kami tidak menerima aduan penduduk tetapi kami tidak boleh bertindak jika tidak ada duit. Kita mahu penduduk bekerjasama dan membayar caj pengurusan setiap bulan,” katanya.

Difahamkan, sehingga hari ini, hanya kira-kira 70 peratus penduduk sahaja membayar caj pengurusan sebanyak RM33 sebulan.

Oleh itu, katanya, semua masalah itu akan selesai jika setiap 1,200 keluarga di dua blok di situ mempunyai kesedaran untuk membayar caj setiap bulan.

“Penduduk yang berhutang juga perlu kasihan dan berlaku adil kepada jiran mereka yang membayar caj itu setiap bulan,” katanya

Thursday, February 4, 2010

1Malaysia Puas Sambutan Hari Wilayah




Tahun ini saya berpeluang membuat laporan pada malam Sambutan Hari Wilayah yang diadakan di Dataran Merdeka.

Gembira menyaksikan ia disambut meriah apabila dihadiri kira-kira 10,000 warga kota yang pulang dengan rasa bangga dan puas.

Sambutan HWP 2010 yang bertema '1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera' bermula 29 Januari lalu dan akan berakhir 28 Februari ini.

Di Kuala Lumpur, pelbagai acara telah diatur bersama DBKL, termasuk acara kemuncak yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Dataran Merdeka.

Sementara menunggu detik 12 tengah malam pada majlis pelancaran, pengunjung di Dataran Merdeka dihiburkan dengan Konsert Ambang 1Wilayah Persekutuan, Persembahan Kebudayaan 1Malaysia dan Perarakan Bendera Wilayah Persekutuan.

Suasana di Dataran Merdeka pada malam itu semakin meriah apabila orang ramai mengira detik Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 dan persembahan hiburan diteruskan lagi dengan Persembahan Khas Tarian 1Wilayah Persekutuan serta Pertunjukan Bunga Api.

Di Putrajaya pula saya difahamkan, pelbagai acara juga telah diatur termasuk maraton malam pada 6 Februari, pesta sukan air di Tasik Putrajaya pada 21 Februari.

Acara penutup sambutan kali ini akan diadakan di Labuan pada 28 Februari.

Pelbagai kaum hadir di samping agensi kerajaan dan swasta serta beberapa badan sukarela di ibu kota membayangkan perpaduan yang tidak berbelah bagi di negara ini.

Selaras dengan konsep 1Malaysia, sambutan ini membuktikan pengukuhan serta peranan dan sumbangan berterusan Wilayah Persekutuan terhadap kemajuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, pada sebelah siangnya, Dataran Merdeka sekali lagi dipenuhi pelbagai kaum dan lapisan masyarakat yang datang sejak pagi untuk sama-sama memeriahkan pelbagai acara yang diadakan pada hari pertama Festival Hari Wilayah Persekutuan.

Meriahnya program di seluruh ibu negara yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan kerjasama DBKL ini.

Menariknya acara yang ditonjolkan pada festival kali dan lebih menarik kerana ia bermotif kepada perpaduan dan keluarga berkonsepkan 1Malaysia serta melibatkan pelbagai peringkat usia.

Saya sendiri melihat pelbagai acara yang dijalankan. Semua konsep 1Malaysia dapat dilihat melalui acara sukan tradisional setiap kaum, pakaian beragam kanak-kanak, kawad kaki dan kawad berirama yang disertai 28 buah sekolah seluruh Kuala Lumpur.

Hari pertama festival dimulakan dengan senamrobik, diikuti pelbagai acara lain termasuklah kayuhan basikal pra Le Tour De Langkawi mengelilingi pusat bandar, sukan orang kelainan upaya (OKU) seperti boccia, warga emas dan kanak-kanak.

Siapa tidak datang dia rugi. Ini sambutan Hari Wilayah 1Malaysia. Semua warga kota puas dan bukti perpaduan di ibukota akan kekal untuk selama-lamanya.

Sunday, January 24, 2010

RM38 Untuk `Tebus' Kesalahan Tinggalkan Kuala Lumpur



Hampir dua minggu saya tinggalkan Kuala Lumpur, ibukota penuh keindahan, kotaraya 1Malaysia dan kebanggaan dunia ini.

Hampir dua minggu juga saya merasakan seolah-olah dua tahun meninggalkan Kuala Lumpur semasa menyelesaikan tugasan luar kawasan yang diberi pejabat.

Dua minggu saya terpaksa meninggalkan catatan tentang Kuala Lumpur, sebuah kota yang menyimpan 1001 kenangan kepada warganya.

Terlalu rindu untuk `merayau' pada waktu malam, meninggalkan makanan sedap yang biasa dijamah pada petang hari selain rindu kepada warga 1Malaysia di ibukota sendiri.

Semalam, saya mengambil kesempatan untuk `menebus' kerinduan meninggalkan Kuala Lumpur.

Saya berfikir dan akhirnya menemui jawapan untuk mengubat kerinduan itu dalam masa yang agak singkat.

Pastinya, bas persiaran istimewa yang terdapat di Kuala Lumpur, Hop-On Hop-Off.

Saya mulakan `kisah' KL Hop-on Hop-off ini dengan `mendedahkan' bayaran `masuknya' dahulu.

Hanya RM38 untuk lebih 42 destinasi menarik dan menghabiskan perjalanan menaiki bas istimewa ke seluruh kota raya Kuala Lumpur.

Rasanya harga itu terlalu berpadanan untuk pelancong asing termasuk rakyat negara ini sendiri untuk mengenali tempat-tempat menarik di sekitar ibukota.

Tarikan bas persiaran seperti juga di kota indah dunia yang lain antaranya London dan Paris.

Kuala Lumpur juga tidak pernah ketinggalan untuk berada seiring dengan kemajuan sektor pelancongan dengan menggunakan khidmat bas persiaran seperti kota-kota lain di dunia.

Bas persiaran berbumbung `lutsinar' atau mempunyai dek terbuka pertama negara dan sebenarnya sudah mula beroperasi sejak 28 Disember 2007 itu, menetapkan `bila-bila' naik dan turun kepada penumpangnya.

Destinasi menarik antaranya Masjid Negara, Taman Burung, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Dataran Merdeka dan Istana Negara sebenarnya memudahkan pelancong untuk mengenali dengan lebih dekat destinasi menarik di ibukota.

Ditambah dengan bantuan `pemandu pelancong' yang boleh didapati daripada kit pendengaran lapan bahasa yang disediakan di setiap tempat duduk penumpang, mengembara ke seluruh ibukota benar-benar membawa dimensi baru kepada semua.

Saya membuat kesimpulan perjalanan dan perkhidmatan bas Hop-on Hop-off yang memakan masa kira-kira dua jam 30 minit setiap sesi untuk menghabiskan perjalanan serta durasi 30 minit untuk setiap bas benar-benar menyeronokkan.

Bas istimewa yang memulakan operasi seawal 8.30 pagi sehingga 8.30 malam itu turut memberi kemudahan perjalanan percuma kepada warga emas serta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Tiket pula boleh diperoleh di dalam bas, hotel, agensi pelancongan terpilih dan di beberapa hentian serta secara dalam talian.

Indahnya Kuala Lumpur dari tingkap bas istimewa ini. Saya tahu tarikan bas Hop-on Hop-off merupakan keistimewaan Kuala Lumpur yang seharusnya menjadi salah satu destinasi tarikan dunia.

Pasti, kemudahan melancong di sekitar ibu kota dengan sebuah bas yang menyediakan perkhidmatan `pemandu pelancong’ dalam lapan bahasa memudahkan semua pelancong.

Memilih untuk duduk di dek terbuka di bahagian atas bas, saya tahu, ruang itu sesuai untuk mengambil gambar.

Kemudahan bas yang ditawarkan memudahkan pelancong untuk ke semua destinasi menarik sekitar Kuala Lumpur.

Saya juga dapati kita boleh menukar bas Hop-on Hop-off lain walaupun turun ke mana-mana destinasi. Ia memberi kemudahan kepada semua selama sehari.

Lebih menarik tawaran diskaun yang diberikan kepada penumpang bas ini untuk memasuki Aquaria dan Petrosains. Ia benar-benar bonus kepada semua.

Mengelilingi seluruh Kuala Lumpur dan pengembaraan ke destinasi pelancongan di Kuala Lumpur dengan bas `double decker' itu sendiri merupakan kenangan manis untuk saya.

Kisah menaiki bas yang berwarna-warni itu akan dibawa pulang kepada saudara mara selain disimpan untuk diceritakan kepada sahabat di tempat kerja esok.

Saya yakin pengalaman indah ini turut dirasai pelancong asing sekali gus menjadi pengalaman paling manis ketika mereka berada di Kuala Lumpur.

Dan sesungguhnya tarikan bas seumpama itu sebenarnya menjadi aset penting bagi sektor pelancongan di mana-mana negara yang mahu `kelainan’ dari segi keistimewaan kepada pelancong.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lebih lanjut boleh terus menghubungi syarikat pengendalinya, Elang Wah Sdn. Bhd. di Lot 1535-1538, Lorong Haji Hussein 1, Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur atau menghubungi telefon 03 2691 1382, faksimile 03 2691 2382, emel inquiry@myhoponhopoff.com atau melayari lama web http://www.myhoponhopoff.com.

Betul...cubalah sendiri menaiki bas Hop -on Hop-off ini dan rasa sendiri denyut jantung Kuala Lumpur...Saya sendiri sudah `rasa'...

Tuesday, January 5, 2010

Bahasa Cinta `Ibukota'

Saya tidak tahu anda tahu atau tidak.

Tetapi saya tahu ada di antara anda yang tidak tahu.

Saya juga suka memberitahu kepada yang tidak tahu supaya anda tahu.

Apa yang saya tahu sekarang anda semua pasti akan tahu selepas saya memberitahu bahawa menulis untuk menggambarkan sesebuah keindahan sebenarnya terlalu sukar untuk dilakukan.

Mengarang ayat dan mengatur kata-kata di dalam bentuk tulisan sebagai pengganti kecantikan individu atau kawasan tidak semudah yang disangkakan.

Perkataan `cantik', `indah', `lawa' dan seumpamanya terlalu abstrak dan payah untuk menterjemahkan maksud sebenar yang ingin disampaikan.

Namun realiti kepayahan itu tidak pernah saya rasa apabila menulis tentang Kuala Lumpur.

Bait perkataan yang lahir dari setiap tulisan saya terlalu ikhlas dan menggambarkan keseronokan mengarang dari hati yang benar-benar lapang.

Bahasa yang digunakan juga kadangkala tidak perlu terlampau `bombastik' tetapi ayat-ayat mudah sudah cukup untuk menggambarkan keikhlasan sesiapa sahaja yang menulis mengenai Kuala Lumpur.

Menterjemah ibukota dari setiap sudut juga tidak payah untuk dilakukan. Keindahan yang dimaksudkan juga bukan omong kosong yang direka untuk menarik hati pembaca kerana realitinya ibukota memang terlalu indah untuk diungkap di dalam perkataan.

Tarikan yang ditawarkan di Kuala Lumpur merupakan `magnet' halusinasi kepada setiap warganya.

Malahan sesiapa juga akan terpesona dengan setiap inci ibukota. Tersergam indah pelbagai bangunan yang menyimpan sejarah tersendiri.

Menterjemah setiap satu lokasi indah di ibukota ini tidak akan selesai dalam sebuah tulisan.

Juga mustahil untuk dikumpulkan isi hati setiap warga yang kagum dengan kehebatannya dalam sebuah kitab tebal kerana ia terlalu panjang dan tidak akan habis dengan satu atau dua siri sahaja.

Tidak keterlaluan juga saya kata tidak habis walau satu kehidupan seseorang individu untuk dibandingkan rentetan cerita mengenai ibukota.

Memang, setiap tulisan pasti lebih indah jika ada sekeping dua lakaran dilampirkan bersama namun saya berkeras untuk melahirkan suasana itu hanya dengan tulisan.

Saya terlalu yakin tulisan juga bisa meruntun perasaan pembaca untuk berkhayal dan menggambarkan keindahan ibukota.

Susunan abjad yang diatur rapi menjadikan ketelusan yang membawa sesiapa sahaja ke alam khayalan.

Kuala Lumpur tidak pernah terlepas daripada menjadi `mangsa' mana-mana penulis untuk melampiskan nafsu mengenai kecantikan.

Pasti `klimaks' diperolehi selepas noktah akhir setiap penghujung bicara namun disambung kembali di dalam `pusingan kedua' yang boleh bermula pada bila-bila masa sahaja.

Termasuk saya yang mengandaikan ibukota sebagai `adinda' yang paling disayangi, seindah Kuala Lumpur, semerdu kehidupannya.

Permainan kata-kata yang diungkap warga kota sendiri untuk menggambarkan lokasi indah ini kepada dunia pasti membawa lebih ramai pengunjung ke `perutnya'.

Apabila mendengar lagu dendangan P. Ramlee bertajuk Bahasa Cinta, saya tahu lagu itu sebenarnya ditujukan kepada Kuala Lumpur.

`Tiada kata secantik bahasa, untuk ku puji adinda, tiada gambar secantik lukisan, nak ku tunjuk perasaan.'

Kuala Lumpur terus gah. Ibukota terus menjadi pujaan hati semua. Walau tanpa gambar, hanya bahasa dan kata-kata sudah terlampau cukup untuk menggambarkan keindahannya...

Sunday, January 3, 2010

Jangan `Main-Main' Dengan Kuala Lumpur

26,100,000 kali nama Kuala Lumpur disebut di dalam enjin pencari google dan masih ada yang hendak menafikan kehebatan ibukota ini?

Tolonglah, ini bukan calang-calang ibukota, ini bukan cerita `gebang' atau `provokasi' yang hendak menceritakan benda yang tidak ada.

Ini Kuala Lumpur, bandaraya 1Malaysia yang serba maju dan menjadi ikutan banyak negara lain.

Sebab itu saya kata jangan main-main dengan Kuala Lumpur, ini bandar hebat, bukan kota lekeh, bukan untuk di gelak kerana cacat cela tapi harus digeruni kerana kehebatannya.

Konsep ibukota moden yang menjadi `bingkai' Kuala Lumpur pasti menyaksikan sebuah anjakan besar yang memahat sebuah sejarah bagi ibunegara Malaysia.

Apa lagi ungkapan yang boleh memberi maksud keindahan Kuala Lumpur?

Apa lagi bahasa atau gambaran yang boleh menandingi kecantikan ibukota ini?

Kota 1Malaysia yang tersergam indah didalamnya pelbagai monumen sejarah serta tumpuan dunia ini tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana bandar lain.

Seolah menjadi pelancong di negara sendiri, lawatan ke setiap ceruk ibukota tidak akan membosankan malah menjadi kenangan paling indah yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Saya cinta Kuala Lumpur, dan saya tahu ramai lagi yang cintakannya.

Tidak kira bangsa, Melayu, Cina, India atau apa kaum sekali pun akan jatuh cinta pada Kuala Lumpur bandaraya contoh 1Malaysia ini

Bandar lengkap yang mempunyai segala-galanya. Makanan, gaya hidup, destinasi, malahan lokasi paling ideal untuk apa sahaja majlis, tanpa segan silu saya secara peribadi memberi undi penuh kepada kemahsyuran Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur itu sendiri `diucap' sebanyak 26,100,000 kali di dalam enjin carian google sekali gus membuktikan popularitinya yang maha gah di alam maya.

Dan bukti jelas alam maya tidak perlu diterjemahkan lagi di alam nyata. Kekuatan itu sendiri memberi impak jelas kepada sesiapa yang pernah bernafas di dalamnya.

Tambahan, bandar tumpuan 1Malaysia ini tidak pernah `lelap' malah tetap setia meneman warganya yang mencari erti kehidupan.

Namakan tempat menarik seperti Muzium Negara, KLCC, Planetarium dan pelbagai lagi (kalau hendak ditulis semuanya pasti berjela panjangnya) , ia lokasi tumpuan yang tidak boleh dipertikaikan sesiapa.

Sebutkan pula makanan yang terdapat di bandar ini, semuanya menggambarkan negara Malaysia.

Tidak perlu kemana-mana, cukup di sini, cukup di Kuala Lumpur, sempurna `tawaf' di seluruh negara.

Sebut sahaja Kuala Lumpur, pasti setiap orang akan terbayang keindahan malah pelbagai tulisan sebelum ini mengenai kotaraya sejarah ini menterjemahkannya sebagai antara paling menarik di dunia.

Saya sendiri tidak pernah puas menatap keindahan Kuala Lumpur. Walaupun mengakui `merayau' hampir setiap pelusuk daerahnya pada setiap hari.

Saya yakin sesiapa juga tidak akan puas kepada ibukota ini walaupun tinggal di dalamnya berpuluh-puluh tahun lamanya.

Saya juga memberi jaminan pelancong asing akan datang kembali ke kota indah 1Malaysia ini selepas membuat lawatan pertama mereka.

Hujung ke hujung, Kuala Lumpur tidak akan mengecewakan sesiapa. Percayalah...